Pasukan ini terdiri daripada tujuh kategori anggota pelbagai disiplin iaitu pakar perubatan kesihatan keluarga, pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat, jurupulih pekerjaan, jurupulih anggota (Physiotherapist) dan pakar diet.

Inisiatif EnPHC ini bagi membendung trend peningkatan masalah risiko Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan kematian pramatang yang tinggi rakyat negara ini berbanding negara lain di Asia.

Hasil Penyelidikan Sistem Kesihatan Malaysian (MHSR) pada tahun 2015 mendapati trend penyakit NCD ini sangat membimbangkan.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, secara keseluruhannya terdapat peningkatan bagi kebanyakan risiko NCD dalam kalangan penduduk Malaysia berbanding dengan kajian-kajian NHMS yang lalu.

Kajian itu mendapati golongan berusia 18 tahun ke atas memiliki risiko tinggi menghadapi masalah diabetes, hipertensi dan kolestrol berikutan kurang bersenam, tidak prihatin menjalani gaya hidup sihat dan sikap enggan mengambil tahu tahap kesihatan terkini masing-masing.

  • Kira-kira 3.5 juta (17.5%) penduduk negara ini mengalami masalah diabetes.
  • Sebanyak 6.1 juta orang (30.3%) menghidap hipertensi iaitu satu daripada tiga orang
  • Hampir 9.6 juta orang mempunyai paras kolestrol yang tinggi di dalam darah.

Manfaat Program Pengukuhan Penjagaan Kesihatan Primer - EnPHC)

  • Fokus utama pengawalan terletak kepada masyarakat, melalui usaha memperkasa anggota masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam EnPHC. Penglibatan masyarakat bukan bererti, penglibatan yang terhad dalam pelaksanaan perkhidmatan sahaja, tetapi memberi makna yang lebih luas termasuk dalam membuat keputusan, merumus polisi dan strategi.
  • Penjagaan diri – meningkatkan kebolehan individu dalam mengendalikan kesihatan diri sendiri.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerapkan progam pengukuhan penjagaan kesihatan primer kepada 20 buah pusat kesihatan sepanjang 2017 meliputi Johor (11), Selangor (9) dan lebih banyak akan diwujudkan pada tahun 2018.

Program Pengukuhan Penjagaan Kesihatan Primer merupakan suatu pendekatan proaktif yang menekankan kepada kepentingan pencegahan awal penyakit.

Ia juga dijadikan sebagai satu model intervensi di peringkat penjagaan kesihatan primer bagi mengatasi masalah penyakit NCD di negara ini.

Ia memfokuskan kepada tiga komponen utama iaitu komuniti, klinik kesihatan dan jaringan intergrasi dengan penyedia penjagaan kesihatan.

Dengan pelaksanaan program ini, persepsi masyarakat akan diubah daripada hanya datang ke klinik kerana sakit kepada datang ke klinik untuk sihat.

Menerusi program EnPHC, Kementerian Kesihatan telah menerapkan Konsep Doktor Keluarga di klinik kesihatan bagi membolehkan rakyat mendapatkan rawatan berterusan.

Penggunaan slogan ‘Saya Sihat, Keluarga Bahagia’ dalam konsep ini diharap akan memberikan impak kepada masyarakat berbanding perkhidmatan sedia ada.

Ini kerana pelanggan dan ahli keluarga mendapat penjagaan kesihatan berterusan daripada pasukan kesihatan yang sama. Secara tidak langsung menerusi EnPHC pelanggan akan mendapat lebih banyak manfaat yang lebih baik. Antara kebaikannya ialah:

  • Pelanggan akan mendapat rawatan susulan dan rujukan ke hospital (jika perlu) secara sistematik.
  • Meningkatkan penglibatan ahli keluarga dalam rawatan pesakit.
  • Hubungan doktor dan pelanggan lebih erat.
  • Doktor lebih memahami status sosioekonomi pelanggan yang boleh mempengaruhi keadaan penyakit.
  • Meningkatkan kepatuhan pelanggan terhadap nasihat doktor.
  • Pasukan kesihatan bersedia dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih berorientasikan keperluan pelanggan.

Perkhidmatan ini telah diperkenalkan di 20 buah klinik Kesihatan sebagai projek perintis sejak 4 Julai 2017 dengan memfokuskan penambahbaikan tiga penyakit NCD iaitu Diabetes Mellitus, Hipertensi dan Hypercholeterolaemia (tinggi kolestrol) tanpa perubahan bayaran pesakit luar.

2 Perkhidmatan Perawatan Domisiliari (PPD)

Objektif utama

  • Menyediakan sistem kesihatan yang lancar dan berterusan bagi pesakit yang terlantar lama di atas katil yang telah dibenar keluar daripada hospital
  • Memperkasa dan mendidik penjaga atau keluarga pesakit dalam menyediakan kualiti penjagaan pesakit.
  • Mengurangkan tempoh masa kemasukan ke hospital

Kementerian Kesihatan Malaysia telah memulakan khidmat DHC di 160 klinik kesihatan di seluruh negara dan sebanyak 8,302 pesakit dan keutamaan kepada warga emas.

Melalui program ini pesakit mampu:

  • Meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti hidup pesakit.
  • Menerima latihan dan pendidikan penjagaan kesihatan diri.
  • Menerima rawatan daripada pelbagai disiplin, memfokuskan kepada penjagaan dan rehabilitasi di rumah.

3 Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (PIK) (National Imunisation Program - NIP)

Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) diperkenalkan pada awal 1950-an. NIP Malaysia dirangka berdasarkan Program Perkembangan Imunisasi (EPI) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Seperti dimaklumkan, hasilnya pihak KKM mendapati kematian kanak-kanak telah menurun sebanyak 85 peratus bagi tempoh 1970 hingga 2000 antaranya hasil daripada peningkatan skop perkhidmatan kesihatan termasuk imunisasi.

Program imunisasi juga telah berjaya membasmi cacar (Smallpox). Penyakit Polio pula berjaya dibasmi dikebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia.

EPI menggalakkan semua negara memberi imunisasi kepada enam penyakit kanak-kanak, bagaimanapun Program Imunisasi Kebangsaan di Malaysia telah menambah perlindungan untuk 12 penyakit majoriti kanak-kanak.

Penyakit berjangkit adalah penyebab utama berlakunya kecacatan dan kematian dalam kalangan kanak-kanak. Penyakit berjangkit ini boleh mengakibatkan morbiditi yang tinggi dan mortaliti.

Penyelesaian kepada permasalahan kesihatan bukan sahaja melalui rawatan mengubati penyakit, bahkan antara langkah efektif yang boleh dilakukan adalah menerusi kaedah pencegahan.

Imunisasi adalah cara yang efektif dalam mencegah dan mengurangkan penyakit ini. Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan program imunisasi ini bagi mencegah penyakit-penyakit tersebut.

Program imunisasi atau juga dikenali sebagai pengvaksinan merupakan perkara penting yang dilakukan terhadap seseorang kerana ia merupakan pencegahan peringkat awal bagi seseorang terhindar daripada penyakit berbahaya di peringkat awal. Ia juga dikenali sebagai imunisasi primer terhadap kanak-kanak berumur di bawah satu tahun.

Imunisasi adalah satu proses memberi vaksin kepada bayi bagi tujuan mencegah kawalan penyakit seperti tifoid, meningitis, influenza dan lain-lain. Imunisasi boleh diberi secara suntikan atau melalui mulut dan kesan sampingan vaksinasi adalah perkara biasa yang tidak membahayakan bayi.

Vaksin Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) disediakan secara percuma di semua klinik kerajaan. Ia juga boleh didapati di klinik swasta, di mana anda dikenakan sedikit bayaran.

Bila anak anda perlu mendapatkan vaksin ini?

Terdapat jadual untuk Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) Para doktor dan pakar kesihatan awam telah bekerja keras untuk memastikan jadual vaksinasi adalah optimal, serta dapat memberikan perlindungan yang paling lengkap dan selamat.

Ibu bapa perlu prihatin dalam memastikan anak-anak mereka mendapat suntikan vaksin mengikut jadual dengan betul. Menangguhkan pengambilan vaksin akan menyebabkan kanak-kanak mudah terjejas terhadap penyakit berjangkit seperti Difteria, Kancing Gigi, dan Pertusis.

Melalui program ini pesakit mampu:

  • Meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan rakyat Malaysia.
  • Melindungi kanak-kanak, remaja dan orang dewasa daripada penyakit Berjangkit.
  • Menyelamatkan nyawa dan mencegah komplikasi.