Aktiviti menderma darah 
turut menjadi pilihan kepada syarikat korporat sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) mereka, sebagaimana yang dilakukan oleh Widad Hospitality Management Sdn. Bhd.

Kempen Derma Darah Penyelamat Hidup Widad ini berlangsung di Royal Widad [email protected], Jalan Maktab, Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu dan berjaya menyasarkan lebih 100 penderma darah.

Dengan adanya kempen tersebut, Ketua Pengarah Operasi Widad Hospitality Management, Zamzuri Mahmood berharap kakitangannya dan penduduk sekitar akan menjadikan derma darah itu sebagai satu tabiat sepanjang hayat.

Tambah beliau, kempen yang pertama kali diadakan ini akan dijadikan sebagai salah satu kempen gaya hidup sihat tahunan.

“Derma darah ini juga sebahagian inisiatif kami untuk membantu hospital menambah stok darah untuk digunakan oleh mereka yang memerlukan. Dengan adanya kempen seperti itu semua pihak mencapai keberkesanan yang positif ke arah kesedaran pentingnya derma darah.

“Kempen ini diharap dapat membantu Pusat Darah Negara memenuhi misi bagi memastikan ketersediaan bekalan darah yang selamat dan boleh dipercayai,” katanya.

Selain kempen darah, Widad Hospitality Management merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti kesihatan termasuk kesedaran kanser, derma organ dan sebagainya.

Dalam pada itu, Widad Hospitality Management kini mengurus Royal Widad [email protected] iaitu sebuah kompleks yang dibina di kawasan seluas 4.26 ekar yang terdiri daripada empat buah menara setinggi antara 11 dan 22 tingkat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Widad Hospitality Management, Abdul Latip Ahmad, kempen derma darah yang berlangsung itu juga bertujuan memperkenalkan residensi ini kepada orang ramai.

Kompleks berkenaan yang 
mengandungi 500 buah bilik 
akan diuruskan sebagai hotel dan servis apartmen bertaraf empat 
dan tiga bintang untuk memberikan keselesaan dan kemudahan serba lengkap untuk keselesaan penyewa.

Residensi ini mengandungi tujuh tingkat podium dan empat menara penginapan. Menara 1 ialah menara tertinggi dengan 22 tingkat yang mengandungi 150 unit penginapan dua bilik di setiap satu.

Manakala Menara 2 setinggi 13 tingkat mengandungi 50 unit penginapan tiga bilik setiap unit diikuti oleh Menara 3 setinggi 11 tingkat yang mengandungi 118 unit studio dan Menara 4 setinggi 14 tingkat mengandungi 182 unit studio.

Selain itu, Royal Widad [email protected] dilengkapi dengan dewan permainan boling 10 lorong, dewan serbaguna yang boleh menampung seramai 500 orang tetamu, kolam renang, 60 ruang perniagaan seluas 39,860 meter persegi dan kemudahan lot parkir sebanyak 719 lot.

“Lokasi residensi ini strategik dan terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Setakat ini sebanyak 95 peratus ruang niaga telah pun ditempah oleh penyewa yang telah mengesahkan penyewaan antaranya UTMSPACE, EliteBowl, kedai makanan segera Burger King, Pizza Hut dan Subway, peruncit 99Speedmart, kedai serbaneka my.News.com dan Gloria Jean’s Coffee untuk menjalankan perniagaan di kompleks berkenaan,” katanya.