Bagi menggalakkan pembentukan amalan bersukan, ia haruslah diterap dari usia muda kerana sukan memainkan peranan sebagai pendidik untuk membentuk karakter dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan anak-anak demi masa depan yang lebih baik.

Ini diakui bintang baharu dalam sukan skuasy negara, Ng Eain Yow, yang percaya penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti senaman dan sukan secara berterusan akan membantu dalam pembentukan sikap dan tingkah laku positif di dalam diri mereka.

Katanya, menerusi sukan dia mempelajari pelbagai aspek positif seperti disiplin, yakin diri, semangat berpasukan, tidak mudah mengalah dan mampu bersaing secara sihat.

“Amalan bersukan dan bersenam membantu individu untuk mencapai emosi lebih positif, yang memberi kesan kepada daya tahan atau kecekalan diri menghadapi sebarang tekanan.

“Nilai-nilai ini bukan sahaja mendorong saya menjadi atlet yang lebih baik, bahkan memberi perubahan positif dalam pelbagai aspek kehidupan saya,” katanya dalam sesi perkongsian dalam majlis penghargaan Milo untuk atlet Sukan SEA di Wisma OCM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut sependapat dengan Eain Yow adalah ratu boling negara, Shazlin Zulkifli yang menyatakan nilai-nilai murni yang diperoleh daripada sukan telah membantu mematangkan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup.

Kini, dia turut menerapkan nilai-nilai yang sama dalam mendidik anak perempuannya.

Dia yang meminati sebarang aktiviti bersukan sejak usia kecil, mula terlibat secara serius dalam sukan boling ketika sekolah menengah.

Katanya, ketika zaman kanak-kanak dia seorang yang pemalu, sentiasa merendah diri dan sukar bergaul dengan orang.

Namun, sukan telah mengubah perwatakannya sehingga menjadi seorang atlet yang bersemangat dan tinggi keyakinan diri.

“Sebagai ibu bapa yang aktif dalam sukan pastinya kami mahukan anak turut sama melibatkan diri dalam sukan. Jadi, saya dan suami sangat menggalakkan anak kami, Aleya untuk aktif tidak kira apa bentuk sukan sekali pun.

“Aleya sendiri meminati banyak jenis sukan seperti golf, berenang, skuasy, malah dia juga mahu mencuba untuk bermain bola sepak.

“Dalam usia begitu, kami dedahkan dahulu apa sahaja sukan yang dia mahu ceburi supaya dapat menanamkan sikap suka bersaing secara positif.

“Dalam masa yang sama dapat bergaul dengan semua orang, serta menambah kenalan baharu,” katanya.

Sementara itu, jurulatih bola kerajang, Sim Sin Heng berkata, dia melihat adanya perbezaan pendedahan sukan serta aktiviti kecergasan kepada kanak-kanak pada masa lalu dan sekarang.

Katanya, kanak-kanak dahulu bebas bermain di luar dan ibu bapa pula tidak kisah mereka meneroka apa sahaja aktiviti yang boleh dilakukan bersama teman-teman.

Berbanding sekarang, ibu bapa sangat paranoid dengan keadaan di luar rumah menyebabkan mereka tidak membenarkan atau mengehadkan aktiviti anak-anak atas faktor keselamatan kerana sering didedahkan dengan kes penculikan kanak-kanak.

Namun, ada segelintir ibu bapa menyedari bahawa sukan sangat memainkan peranan dalam kehidupan anak-anak, jadi mereka memilih untuk menghantar anak ke pusat-pusat latihan sukan atau kelas-kelas kesukanan ketika hujung minggu dan musim cuti sekolah.

“Tidak dinafikan akademik sangat penting tetapi ibu bapa tidak boleh mengabaikan aktiviti kecergasan untuk anak mereka. Sukan dapat membentuk perwatakan yang positif dalam diri anak-anak, mereka lebih berdisiplin, dan tahu bagaimana untuk fokus terhadap sesuatu.

“Percayalah tidak ada seorang pun kanak-kanak sekolah yang mahu membaca buku sepanjang hari, jadi berilah peluang kepada mereka untuk melakukan sesuatu di luar rumah. Apabila badan cergas otak juga menjadi cerdas, memudahkan mereka fokus dalam pelajaran,” ujarnya.

Dalam majlis penghargaan anjuran tersebut, Milo memberi pengiktirafan kejayaan kepada beberapa atlet negara yang dilahirkan melalui Program Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dalam Sukan SEA 2017 dan Sukan Para ASEAN baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada pemain hoki padang, Joel Van Huizen; ratu pecut, Felicia Mikat; pemain skuasy, Ng Eain Yow; atlet karate, Syakilla Salni; pemain bola keranjang, Nur Izzati Yaakob; dan perenang, Welson Sim.