Maka tidak hairanlah ada ibu bapa sanggup berkorban wang ringgit menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta yang difikirkan dapat memberikan anak-anak didikan dan bimbingan dari segi kejayaan akademik, sahsiah dan agama. Mereka mahu anak-anak itu apabila menjadi doktor, jurutera, peguam, arkitek, akauntan dan seumpamanya dalam masa yang sama mampu menjadi imam, mampu berkomunikasi dengan baik, ada nilai-nilai kepimpinan dan sebagainya.

Ibu bapa perlu faham bahawa dalam proses membesar dan menuju kedewasaan, anak-anak pasti melakukan pelbagai kesilapan, kecuaian, kegagalan dan sebagainya. Semua ini berlaku kerana banyak perkara yang dilakukan itu merupakan kali pertama dalam hidupnya atau disebabkan kurang pengalaman, ilmu dan kemahiran. Semua ini peluang bagi ibu bapa mendidik anak itu menjadi insan yang berkualiti. Oleh itu, ibu bapa perlu pastikan bahawa ada sesuatu yang dipelajari oleh anak dari setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya.

Pada kebiasaannya ibu bapa akan pantas menegur atau menasihati anak apabila sesuatu yang buruk berlaku. Sebaliknya, apabila sesuatu kebaikan dilakukan, ibu bapa jarang sekali menyuburkan kebaikan tersebut. Malah didiamkan seolah-olah ia perkara biasa sahaja.

Apabila kebaikan tidak disuburkan maka anak-anak tidak tahu apa yang betul atau salah, mereka juga tidak tahu sama ada ibu bapa suka atau tidak.Akhirnya, mereka tidak ulangi kebaikan tersebut. Berikut adalah perkara yang mesti dilakukan setiap kali anak melakukan sesuatu yang positif:

Suburkan dengan pujian

Usah jadi ibu bapa yang berat mulut. Pujilah kebaikan yang dilakukan oleh anak-anak agar mereka tahu yang kita seronok dan membolehkan mereka ulangi perkara baik itu dilain masa. Terdapat beberapa perkara penting apabila memuji.

1Segera memuji. Sesuatu pujian itu akan lebih bermakna dan kekal dalam ingatan apabila ia disegerakan. Puji ketika kebaikan itu dilakukan, bukannya kemudian. Namun, jika sesuatu kebaikan itu dimaklumkan kepada kita kemudian, maka pujilah juga meski pun sudah terlambat kerana memuji itu lebih baik daripada tidak.

2 Pujian mesti ikhlas. Anak-anak tahu sama ada kita ikhlas atau sebaliknya. Oleh itu, usah berpura-pura kerana ia akan membuat anak rasa kecewa. Pujilah dari hati, sebab sesuatu yang datangnya dari hati akan sampai ke hati.

3 Puji secara spesifik. Kata-kata seperti, “adik pandai” adalah terlalu umum dan tidak meninggalkan kesan. Sebaliknya cuba spesifikkan apa yang dimaksudkan sebagai pandai itu tadi. barulah pujian itu meninggalkan kesan. Jika anak mahu dipuji sebab dia pandai melukis, maka nyatakan dengan jelas yang kita bangga dengan lukisannya. Begitu juga dengan pujian seperti, “Mak sukalah sebab kakak seorang yang rajin”. Rajin apa? Rajin tolong ibu di dapur? Rajin kemas bilik? Rajin belajar? Perlu dijelaskan agar anak tidak keliru.

4Usah keterlaluan dalam memuji. Apabila memuji biarlah secara bersederhana. Perkara kecil maka pujilah secara kecil, yang besar pula maka pujilah secara besar juga. Ada ketikanya ucapan seperti, terima kasih, sudah memadai bagi menunjukkan yang kita hargai apa yang dilakukan oleh anak dan membuatkan mereka seronok.

5Puji hasil atau tindakannya bukan orangnya. Apabila memuji pastikan yang dipuji itu adalah hasil kerja, pencapaian atau tindakan. Elakkan daripada memuji orangnya. Apabila orang yang dipuji maka akan timbul sifat negatif seperti riak, sombong dan seumpamanya. Kita juga tidak mahu anak menjadi mengada-ada kesan daripada pujian yang tidak betul.

6Puji di depan orang lain. Puji anak di depan adik-beradik yang lain membolehkan sesuatu perkara baik itu ditiru oleh anak-anak yang lain. Anak yang dipuji juga seronok kerana ada orang lain yang tahu apa yang dilakukan olehnya. Lebih-lebih lagi apabila orang itu adalah orang besar dan penting dalam hidupnya seperti guru, ibu, ayah, dan seumpamanya.

7Puji melalui orang ketiga. Ada ketikanya pujian yang disampaikan melalui orang ketiga lebih berkesan. Misalnya, seorang ibu memaklumkan kepada anak bagaimana bapanya begitu bangga dan seronok dengan apa yang telah dilakukannya. Pujian melalui orang ketiga dirasakan lebih ikhlas dan tulus.

8Ulangi pujian itu di lain masa. Cuba ulangi pujian itu sesekali dilain masa sebagai usaha mengingatkan anak apa yang kita suka. Dengan cara itu anak-anak tahu bahawa dia perlu ulangi perkara yang pernah dilakukan olehnya itu.

9Usah disulam dengan kata-kata negatif. Satu kesilapan lazim yang dilakukan oleh ibu bapa ialah menyulam pujian dengan kata-kata negatif. Misalnya, “Bagus, mak suka sangat apabila adik kemas bilik adik sendiri. Tetapi janganlah hari ini sahaja rajinnya.” Ayat yang bergaris itu adalah kata-kata negatif yang tidak perlu. Apabila memuji maka pujilah sahaja. Usah diungkit, disindir, dibanding, dan seumpamanya. Cukup sekadar memberikan pujian sahaja.

Suburkan dengan Ganjaran

Ada ketikanya perkara baik yang dilakukan oleh anak-anak itu perlu disuburkan melalui ganjaran. Itu tanda kita menghargai apa yang telah dilakukan olehnya. Nilai ganjaran itu pula tidak semestinya besar.

Ia sebagai isyarat pada anak yang kita tahu, kita peduli dan peka dengan apa yang dilakukan olehnya. Kalau sesuatu yang dicapai atau dilakukan itu besar, maka biarlah ganjaran juga besar.

Misalnya, anak mendapat keputusan 6A dalam peperiksaan UPSR, maka hadiahkanlah sesuatu yang besar dari biasa kepadanya sebagai tanda yang kita seronok. Kebanyakan anak-anak sebenarnya faham akan kemampuan ibu bapa dalam memberi.

Oleh itu usah paksa diri memberikan ganjaran yang diluar kemampuan kerana semata-mata mahu memuaskan hati anak. Ukurlah baju di badan sendiri.

Dalam memberikan ganjaran, usah fokus pada hasil sahaja sebaliknya fokus juga pada usahanya. Seorang anak yang telah belajar bersungguh-sungguh lalu meningkat kedudukannya dalam kelas, atau meningkat markahnya perlu juga diberikan ganjaran. Itu tandanya kita peka.

Cuma mungkin ganjarannya tidak sebesar apabila dia mencapai kejayaan cemerlang.