Lee Lam Thye
LEE LAM THYE

Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lepas, 29 peratus rakyat Malaysia mengalami depresi dan gangguan kecelaruan berbanding 12 peratus pada 2011.

“Kebanyakan orang mendapati sukar untuk menguruskan masalah yang mereka hadapi di tempat kerja dan tidak mampu mengendalikan stres dan keadaan lebih sukar apabila individu itu berdepan masalah ahli keluarga dan tidak mendapat sokongan emosi.

“Terdapat peluang lebih tinggi bahawa seseorang itu hanya berdiam diri dan memendam emosi apabila mereka tidak mencari cara untuk meluahkan kekecewaan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lam Thye berkata, penyelidikan pakar berhubung kadar depresi dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 50 peratus pesakit depresi dari 2011 sehingga 2015.

“Oleh itu, rakyat perlu menangani penyakit ini dan membangunkan strategi pencegahan dan program efektif dalam mengendalikan kese­jahteraan mental.

“Beberapa langkah untuk mencegah depresi dan kecelaruan adalah dengan bersenam secara konsisten, tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari dan mengelakkan platform media sosial seperti WhatsApp sekurang-kurangnya 45 minit sebelum masuk tidur,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, depresi dan kecelaruan boleh dirawat jika dikesan awal. – BERNAMA