Disokong oleh sekumpulan doktor estetik, Spa Estetik DEWS menampilkan kaedah perubatan berintegrasi yang unik dan berkesan melalui sesi kaunseling dan bimbingan oleh pakar dalam bidang penjagaan kesihatan dan kecantikan, nutrisi dan kecergasan bagi melengkapkan cadangan rawatan yang disyorkan.

Dirasmikan baru-baru ini oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique, konsep di sebalik jenama spa estetik tempatan ini adalah bagi membekalkan pelanggan yang prihatin dengan kaedah penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan lengkap di persekitaran yang eksklusif, selesa dan mewah.

Halimah berkata, Spa Estetik DEWS memainkan peranan yang penting supaya masyarakat dapat menjalani gaya hidup yang sihat. Kesejahteraan rakyat boleh dinikmati melalui gaya hidup sihat dengan pendekatan perubatan.

Katanya, kesihatan merupakan pelaburan seseorang, justeru, setiap orang mesti mengambil berat akan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GMCI Corporation, pemilik Spa Estetik DEWS, Calvin Chin berkata, rawatan yang ditawarkan telah direka dan dihasilkan oleh sekumpulan doktor estetik dilengkapi peralatan rawatan berteknologi canggih serta kemudahan bertaraf dunia.

Bertempat di Kota Damansara, spa tersebut mempunyai 15 bilik rawatan peribadi yang menempatkan 25 buah katil.

Pelanggan boleh membuat pilihan sama ada untuk menjalani rawatan penghidratan, antipenuaan, pencerahan kulit, pengurusan parut, antijerawat, pengurusan berat badan mahupun menjagaan kesihatan keintiman.

Penasihat Perubatan DEWS yang juga doktor yang diiktiraf oleh European Center for Aging Research and Education, Dr. Lim Wooi Khai menjelaskan, DEWS menganggap setiap pelanggan sebagai individu yang unik dan memiliki keinginan peribadi serta hasil yang berbeza.