Tapi bukan semua orang boleh mendapat tidur lena. Ada yang berdengkur sehingga mengganggu pasangan selain sering bangun malam untuk membuang air walaupun bukan disebabkan penyakit diabetes.

Pakar Runding Pulmonologi (Pelawat), Institut Jantung Negara (IJN) Dr. Ashari Yunus berkata, sebenarnya tidur amat penting dalam kehidupan seharian, manusia memerlukan satu pertiga atau maksimum lapan jam sehari untuk tidur bagi mengembalikan semula tenaga mereka selepas seharian bekerja.

“Bagaimanapun semasa tidur ramai yang menghadapi masalah berdengkur yang kuat sehingga mengganggu. Bagaimanapun ramai tidak menyedari ada kalanya simptom tidur berdengkur ada kaitannya dengan sleep apnea.

“Hampir semua orang mengalami masalah berdengkur tetapi jika dengkuran melampau sehingga mengganggu pasangan dan tidak mendapat rawatan mungkin pesakit mengalami obstructive sleep apnea (OSA) yang boleh menyebabkan masalah sesak nafas semasa tidur,” katanya.

Sleep Apnea adalah gangguan tidur yang mengganggu pernafasan seseorang ketika tidur.

Keadaan ini boleh menjadi serius terutama jika tidak mendapat rawatan awal kerana boleh menyebabkan seseorang berhenti bernafas.


Gejala

“Walaupun boleh dikatakan ramai orang mengalami masalah dengkur, ramai pesakit tidak menyedari mereka menghidap sleep apnea kerana keadaan ini berlaku ketika tidur,

Namun, jika pesakit mengalami beberapa gejala seperti mendengkur kuat, sesak nafas semasa tidur, mengantuk di siang hari, keletihan, tidak lena tidur, sakit kepala terutama setelah bangun tidur, pelupa, insomnia, sakit tekak dan sering terbangun malam,” katanya.

Bukan sahaja orang dewasa malahan kanak-kanak juga mengalami keadaan sleep apnea. Golongan yang lebih berisiko sleep apnea:

1. Mempunyai berlebihan berat badan atau obesiti.

2. Berumur lebih 40 tahun.

3. Mempunyai sejarah keluarga berhenti nafas semasa tidur.

4. Ukuran leher melebihi 17 inci bagi lelaki dan 16 inci bagi wanita.

5. Mempunyai sejarah keluarga menderita apnea atau gangguan tidur lain.

6. Menderita alergi.

7. Menderita GERD (gastroesophageal reflux – aliran balik asid perut ke kerongkong.)

8. Menderita masalah sinus.

Dr. Ashari berkata, gangguan nafas terhenti semasa tidur, beserta gangguan tidur lain, juga menyebabkan produktiviti menurun kerana keletihan akibat kurang tidur.

“Ini juga menyebabkan pesakit sesak nafas ketika tidur sehingga tubuh terutama otak kekurangan oksigen. Jarak singkat dalam pernafasan ini boleh berlangsung hanya dalam beberapa saat hingga beberapa minit.

"Hal ini sering berlaku, kadangkala hingga 30 kali dalam jangka masa sejam," katanya.

Tempoh pernafasan ini mungkin dapat menyebabkan masalah kesihatan serius dalam tempoh yang lama.

Dalam keadaan tertentu boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, kegagalan jantung, serangan jantung, strok, diabetes, sakit kepala, tekanan darah tinggi dalam paru-paru dan depresi, aritma (rentak jantung tidak normal).

Dan paling teruk pesakit boleh meninggal dunia dalam tidur kerana tiada oksigen dalam paru-paru,.

Dr. Ashari berkata, ini bukanlah masalah kesihatan biasa kerana komplikasi hanya akan muncul dalam masa lima hingga 10 tahun.

“Pesakit yang mengalami masalah tidur biasanya produktiviti kerja mereka semakin menurun dan prestasi pelajaran terjejas jika pesakit seorang pelajar.

"Disebabkan keletihan pesakit akan mudah cedera disebabkan kemalangan,” katanya.

Sementara itu Pakar Runding Kardiologi, Jabatan Kardiologi Institut jantung Negara (IJN) Datuk Dr. Azmee Mohd Ghazi berkata, semua orang memerlukan tidur yang berkualiti dan masa tidur biasanya manusia tidak sedar tetapi ketika itu jantung, paru-paru masih berfungsi.

Tidur yang cukup amat penting sebab masa itulah kita akan berehat, tekanan darah akan rendah, hormon pertumbuhan akan dirembeskan terutama bagi kanak-kanak kerana itu juga kanak-kanak dan bayi memerlukan masa tidur selama 10 hingga 18 jam sehari manakala orang dewasa sehingga lapan jam.

“Tidur adalah proses semulajadi untuk seimbangkan kesihatan.

"Mereka yang mengalami sleep apnea biasanya mengalami masalah pernafasan 12 hingga 20 kali satu malam,” katanya.

Sementara itu Dr. Ashari berkata, pesakit yang mengalami masalah tidur akan ditempatkan di makmal tidur bagi tujuan diagnosis dan rawatan.

Bagaimanapun bukan semua masalah dengkur adalah berkaitan dengan sleep apnea dan ini hanyalah 20 peratus.

Antara punca sleep apnea adalah berat badan, keturunan dan penyakit lain misalnya sindrom down.

Dr. Ashari berkata, rawatan yang diberikan adalah berdasarkan punca seperti menurunkan berat badan, perubahan gaya hidup, senaman dan jalan akhir adalah pembedahan.