Itu antara nasihat penting Perunding Pakar Kardiologi, Pantai Hospital Ampang, Selangor, Dr. Chong Wei Peng.

Dia berkata demikian apabila ditanya bagaimana serangan jantung dapat dicegah memandangkan penyakit ini merupakan punca utama kematian dalam kalangan pesakit, dengan statistik yang dikeluarkan di hospital-hospital kerajaan menghampiri ke angka 20 hingga 25 peratus.

Kata Dr. Wei Peng, serangan jantung berlaku akibat ‘kematian’ atau kerosakan otot jantung yang terjadi disebabkan saluran darah yang tersumbat secara tiba-tiba menyebabkan darah menjadi beku dalam salurannya yang sempit.

Fungsi saluran ini adalah untuk mengalirkan oksigen ke jantung. Jantung mengepam darah untuk membekalkan oksigen dan zat makanan ke seluruh badan melalui sistem peredaran darah.

Jantung yang sihat berupaya mengepam 10,000 liter darah sehari dan berdenyut kira-kira 100,000 kali sehari, iaitu antara 60 hingga 80 kali seminit.

Sakit jantung berlaku apabila salur darah jantung menjadi sempit. Penyempitan ini berlaku kerana dinding sebelah dalam saluran darah diselaputi lemak terutama kolesterol.

Biasanya proses penyempitan saluran darah ini berlaku sejak bertahun-tahun dahulu akibat risiko kolesterol tinggi, merokok, kencing manis, obesiti, menjalani kehidupan yang kurang aktif dan darah tinggi.

Namun, kata Dr. Wei Peng, penyempitan saluran darah bukanlah sebab utama berlakunya serangan jantung, tetapi darah yang membeku secara tiba-tiba akibat lapisan saluran sempit itu terkoyak yang menyebabkan serangan jantung berlaku.

“Bagaimana saluran ini boleh terkoyak, itu juga masih dalam kajian. Namun, kita juga dapati sekiranya dalam saluran berkenaan terdapat banyak lemak, iaitu kolesterol yang menyebabkan inflamasi, boleh menyebabkan jantung menjadi lemah yang dikenali sebagai penyakit jantung koronari,” katanya.

Dia juga menegaskan, simptom dan gejala penyakit atau serangan jantung juga adalah berbeza antara individu itu. Lazimnya, bagi tanda-tanda serangan jantung, seseorang itu terasa kurang selesa atau sakit di bahagian tengah atau keseluruhan dada seperti rasa terhimpit atau dihempap batu yang berat.

Malah, ada juga pesakit yang tidak berasa sakit, tetapi hanya merasai sedikit kurang selesa di bahagian dada. Ada juga pesakit yang tidak berasa sakit apa-apa pun, tiba-tiba rasa tercungap-cungap, mengalami kesukaran untuk bernafas.

“Pesakit juga kemungkinan akan berpeluh-peluh, rasa hendak pitam yang mana keadaan ini sama dengan gejala serangan panik atau juga penyakit asma. Malah gejala penyakit jantung juga seakan-akan sama dengan penyakit gastrik kerana selain terasa kurang selesa di dada, pesakit juga akan terasa kembung di bahagian perut.

“Dalam keadaan ini, doktor perlu memastikan adakah pesakit benar-benar diserang sakit jantung dengan melakukan beberapa ujian tertentu. Nasihat saya, sekiranya anda terasa tidak sedap dan kurang selesa di dada, pergilah berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan seperti ECG (electrocardiogram) dan pemeriksaan darah.

“Antara rawatan yang diberikan kepada pesakit, ialah ubat untuk mencairkan darah dan pembedahan angioplasty,” katanya.

Jelas Dr. Wei Peng, terdapat tiga saluran darah utama yang berwarna merah di atas permukaan jantung.

Bagi saluran darah koronari, ia berbentuk seperti mahkota merah (crown). Di negara ini, biasanya golongan lelaki yang berusia adalah paling ramai mendapat serangan jantung, terutama bagi mereka yang berumur 50-an ke atas.  

Namun, terdapat juga mereka yang berumur 30-an diserang sakit jantung terutama mereka yang aktif merokok dan obes.

Berbanding di negara Barat, kebanyakan lelaki yang mendapat sakit jantung berusia 60-an ke atas dan ini menunjukkan di negara ini serangan jantung berlaku kepada lelaki yang masih muda dan produktif.

Bagi golongan wanita pula, lazimnya mereka yang telah menopaus boleh mendapat serangan jantung.

Malah, mereka yang bersukan juga boleh diserang sakit jantung kerana tekanan terhadap jantung akibat melakukan kerja terlalu ‘berat’.

Kebimbangan setelah serangan 

Serangan jantung boleh berulang kembali dalam tempoh beberapa bulan atau tahun sekiranya pesakit masih tidak mengamalkan gaya hidup sihat atau menghidap penyakit-penyakit yang berisiko tinggi.

Tahap keseriusan serangan jantung untuk kali kedua bergantung kepada berapa banyak kerosakan dan ‘kematian’ otot jantung berlaku ketika serangan kali pertama.

Sekiranya melibatkan sebahagian kecil jantung, keadaan individu itu masih lagi boleh pulih dan tidak akan melibatkan kematian, namun sekiranya otot bahagian jantung mengalami banyak kerosakan, boleh menyebabkan pesakit akan menjadi lebih teruk kerana komplikasi keadaan jantung yang lemah.

Pesakit juga akan mudah mengalami semput, sesak nafas, lemah dan kaki bengkak akibat saluran darah yang sempit. Pesakit yang mengalami serangan jantung boleh diselamatkan dalam tempoh lima hingga 10 minit, dari tempoh serangan. Pesakit yang mengalami serangan jantung akan diberikan ubat mencairkan darah. Orang ramai, yang berhadapan dengan mereka yang terkena serangan jantung boleh terus menghantar pesakit ke hospital untuk rawatan. 

KENALI serangan jantung

1 Boleh berlaku bila-bila masa sahaja

2 Sakit jantung berlaku apabila salur darah jantung menjadi sempit menyebabkan ada bahagian jantung yang tidak mendapat bekalan darah dan

oksigen yang mencukupi mengakibatkan berlakunya sakit dada.

3Jika saluran darah tertutup sepenuhnya sebahagian daripada jantung akan rosak mengakibatkan sakit dada yang teramat sangat dikenali sebagai sakit jantung. 

4Antara tanda-tanda sakit jantung ialah pesakit akan berasa sesak nafas, berdebar, letih lesu, peluh dingin, rasa pitam dan pengsan. 

5Tekanan perasaan juga boleh mengakibatkan degupan jantung yang meningkat dan tekanan darah turut meningkat mengakibatkan seseorang itu mengalami sakit jantung.