Angkanya dilihat meningkat dengan pantas setiap tahun, dengan anggaran menjelang 2020 jumlahnya diramal mencecah hingga 2.5 bilion.

Pada 2010 turut menunjukkan di negara ini sahaja daripada 12.5 juta penduduk yang mengalami miopia, sejumlah 7 juta adalah mereka yang berusia di bawah 16 tahun.

Miopia atau rabun jauh adalah salah satu kesilapan refraktif mata yang paling lazim berlaku, iaitu apabila bola mata terlalu panjang berbanding dengan kuasa fokus kornea dan kanta mata.

Ini menyebabkan sinaran cahaya berfokus pada titik di hadapan retina, bukan pada permukaannya. Miopia juga boleh disebabkan oleh kornea atau kanta yang terlalu melengkung untuk panjang bola mata.

Dalam sesetengah kes, masalah tersebut adalah disebabkan gabungan faktor-faktor ini.

Berikutan kadar kelaziman yang semakin meningkat, miopia kini menjadi isu global kesihatan awam yang menjejaskan 85 peratus hingga 90 peratus golongan muda di beberapa negara Asia.

Di Malaysia, kadar kelaziman miopia juga telah mencapai tahap yang membimbangkan, dengan peratusan tertinggi dalam kalangan kaum Cina sebanyak 42 peratus, manakala Melayu sebanyak 15 peratus.

Timbalan Naib Canselor dan Dekan Fakulti Optometri dan Sains Penglihatan Universiti SeGi, Prof. Azrin Ariffin, berkata, terdapat tiga jenis kesalahan refraktif mata iaitu miopia, hiperopia dan astigmatisma.

Namun, miopia adalah kesalahan refraktif yang paling lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Katanya, satu kajian telah dijalankan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah di daerah Gombak, Selangor, menunjukkan bahawa miopia yang diukur menggunakan retinoskopi dikesan pada 34.4 peratus remaja berusia 15 tahun dan kanak-kanak berusia tujuh tahun sebanyak 9.8 peratus.

“Pengkaji mendapati bahawa sesetengah daripada kanak-kanak ini boleh mendapat miopia jenis agresif yang juga dikenali sebagai miopia patologi.

“Ia boleh membawa kepada kerosakan penglihatan kekal sekiranya tidak dikesan dari peringkat awal. Mata yang sihat dan penglihatan yang jelas sangat penting untuk perkembangan pembelajaran kanak-kanak.

“Oleh itu, pemeriksaan mata yang betul dan berkala adalah penting untuk memastikan masalah penglihatan serta penyakit mata dapat dikesan dan dirawat di peringkat awal.

“Malangnya, terdapat banyak kes yang mana masalah penglihatan tersebut tidak dikesan kerana kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan mata berkala,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Kesihatan Mata Kebangsaan (NEHA) 2017 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kempen dianjurkan oleh Persatuan Optometris Malaysia (AMO) dan Majlis Optik Malaysia (MOC) dengan kerjasama Malaysian Hoya Lens Sdn Bhd, Alcon Malaysia dan Ophthalmic Instruments.

Sementara itu, Presiden Persatuan AMO, Murphy Chan berkata, penglihatan memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan fizikal, kognitif dan sosial kanak-kanak.

Mata juga merupakan organ utama dalam pembelajaran kanak-kanak di mana 80 peratus daripada apa yang dipelajari adalah melalui penglihatan.

“Masalah penglihatan yang tidak diperbaiki boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak, mengganggu pembelajaran, dan mungkin juga membawa kepada kehilangan penglihatan.

“Penglihatan yang tidak jelas memberi impak yang besar kepada pendidikan dan kualiti hidup generasi muda.

“Justeru, melalui kempen ini kami ingin menekankan bahawa pemeriksaan mata dan rundingan berkala oleh optometris yang bertauliah adalah sangat penting untuk mengesan masalah mata sebelum perkembangan seseorang kanak-kanak itu terjejas.

“Bersama MOC, kami percaya bahawa saringan penglihatan dan pemeriksaan mata adalah elemen pelengkap dalam meningkatkan taraf kesihatan,” katanya.

Kempen NEHA 2017 yang bertemakan Penglihatan untuk Kanak-Kanak, bertujuan menggalakkan kesihatan mata yang baik dalam kalangan kanak-kanak, di samping menyeru agar pemeriksaan awal dan berkala oleh optometris dijalankan untuk mengelakkan kerosakan penglihatan.

Kempen ini juga diadakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan mata yang betul oleh optometris bagi kanak-kanak dan mendidik orang ramai tentang penglihatan mata yang baik.

Cermin mata bantu baiki masalah miopia

Kebanyakan masalah penglihatan boleh diperbaiki dan diuruskan dengan mudah menggunakan cermin mata

Penolong Pengurus Pembangunan Komersial, Malaysian Hoya Lens Sdn. Bhd., Chong Zhi Lee menjelaskan, pemakaian cermin mata membantu kanak-kanak juga orang dewasa mempunyai penglihatan yang jelas dan kehidupan yang berkualiti.

“Masalah penglihatan boleh diperbaiki melalui bantuan ringkas dengan penggunaan kanta cermin mata kanak-kanak yang tahan lasak, sesuai dengan gaya hidup aktif golongan tersebut, selain melindungi mereka daripada sinaran biru dari peralatan digital yang berbahaya pada mata,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak yang sangat aktif dalam sukan seperti pasukan sorak, balet dan bola sepak, boleh memilih untuk memakai kanta lekap dengan selamat setelah menjalani pemeriksaan mata oleh optometris.