Bagaimanapun, mereka yang ditemui Utusan Online memberitahu kali ini lebih berhati-hati dengan hanya membeli jenama yang disahkan bebas daripada cacing seperti diumumkan Kementerian Kesihatan.

Seorang suri rumah, Hayati Hamzah, 50, berkata, isu tersebut adalah satu perkara yang serius dan masyarakat perlu mengambil berat secara keseluruhan terutamanya dalam membuat pilihan sebelum membeli.

“Kita memang sedia maklum jenama-jenama yang terbukti mengandungi cacing daripada Kementerian Kesihatan, jadi masyarakat boleh membeli jenama lain sekiranya masih ingin makan sardin.

“Soal harga juga penting. Mungkin sardin yang ada cacing itu harganya murah dan kurang permintaan, jadi kualitinya kurang dijaga dengan baik,” katanya ketika ditemui Utusan Online di sekitar ibu kota, dekat sini hari ini.

Selain itu, seorang lagi suri rumah yang juga merupakan peniaga gerai makan, Maria Yunus, 63, memberitahu keluarganya memang memilih satu jenama makanan sahaja sejak dari dahulu.

“Keluarga saya memang hanya pilih sardin jenama Ayam Brand sahaja, walau harganya sedikit mahal tetapi kualitinya terbukti baik,” katanya.

Semasa tinjauan dilakukan, seorang kakitangan swasta, Suhaimi Che Wil, 41, mencadangkan satu alternatif baharu kepada penggemar sardin.

“Masyarakat perlu semak dahulu sama ada produk tersebut bersih atau tidak dan saya rasa alternatif kepada masalah itu masyarakat boleh makan benda lain selain sardin seperti telur dan lauk lain,” ujarnya.

Semalam, Kementerian Kesihatan telah mengesahkan enam jenama ikan sardin yang mengandungi bendasing cacing iaitu jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy.

Dalam pada itu, seorang peniaga runcit, Ali Abu, 47, mendedahkan jumlah penduduk di sekitar kawasannya yang membeli sardin menunjukkan penurunan.

“Walau harga sardin sekarang sedikit turun berbanding sebelum ini, orang semakin kurang membeli sardin selepas tularnya insiden cacing tersebut.

“Di kedai saya, saya memang ambil yang harga mahal sahaja kerana yang harga murah kurang menjadi pilihan penduduk,” katanya. – UTUSAN ONLINE