“WADA telah menyenaraikan 10 kategori bahan yang diharamkan merangkumi larangan untuk ahli sukan menggunakannya dalam tempoh tertentu; pertama setiap masa, kedua sewaktu pertandingan dan ketiga larangan khusus untuk sesetengah jenis sukan.

“Bergantung kepada tujuan dadah diambil, dadah yang biasa diambil untuk meningkatkan prestasi adalah seperti ‘anabolic steroids’. Pengambilan dadah ini akan memberi kesan peningkatan fizikal seperti pembesaran otot, meningkatkan kekuatan dan keupayaan fizikal, dan juga ketahanan jantung,” kata Dr. Hairul.

Terdapat atlet yang tidak sedar mereka mengambil ubat yang tidak dibenarkan. Bagaimana perkara berkenaan boleh berlaku?

Menurut Dr. Hairul, tidak semua bahan yang dilarang oleh WADA adalah bahan yang dilarang di sisi undang-undang. Sesetengah jenis dadah adalah sah digunakan melalui preskripsi pengamal perubatan untuk tujuan rawatan dan pemulihan. Sesetengah jenis dadah pula hanya diharamkan sewaktu pertandingan dan sah digunakan semasa di luar musim atau off-season. WADA telah menyenaraikan lebih 400 jenis bahan yang dilarang, termasuk yang sah di sisi undang-undang.

“Dalam kes Datuk Lee Chong Wei, bahan yang dikesan di dalam sampel urin atau air kencing beliau adalah dexamethasone. Ini adalah bahan yang biasa diguna untuk merawat keradangan otot. Menurut WADA, ahli sukan dibenarkan untuk menggunakan bahan ini kecuali sewaktu pertandingan.

“Ada kemungkinan atlet terlepas pandang atau tidak tahu berkenaan dengan bahan-bahan yang dilarang,” katanya.

Dexamathasone merupakan sejenis bahan untuk tujuan merawat kecederaan. Ia tergolong dalam kategori anti-inflammatory corticosteroid ataupun ubat atau dadah jenis steroid untuk tujuan menggurangkan kebengkakan pada tisu lembut atau soft tissue sama ada otot, ligamen ataupun tendon.

Bergantung pada dadah yang diambil, ia memberi kesan terhadap peningkatan saiz otot, kekuatan fizikal, keupayaan dan ketahanan. Selain itu, dadah juga mempunyai risiko kesihatan terhadap atlet.

WADA mensyaratkan bahawa sesuatu bahan itu diharam jika ia meningkatkan atau berpotensi untuk meningkatkan prestasi atlet, mempunyai risiko kesihatan terhadap atlet dan menyalahi etika kesukanan

Berdasarkan tiga prinsip ini, WADA akan menentukan sama ada sesuatu bahan itu dilarang atau tidak bagi ahli sukan.

Dr. Hairul berkata, bagi mengelakkan perkara berkenaan berlaku, program pendidikan dan kesedaran perlu dijalankan bagi memberi maklumat kepada atlet dan juga pihak pengurusan sukan seperti jurulatih dan pentadbir persatuan berkenaan bahan-bahan yang dilarang oleh WADA kerana senarai tersebut sentiasa berubah dan sangat komprehensif.

Alasan pengharaman:

Kesihatan - Banyak bahan boleh menyebabkan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan jika tidak digunakan dengan betul.

Etika - Dalam sesetengah keadaan bahan-bahan dan kaedah-kaedah yang diharamkan boleh meningkatkan tahap keupayaan atlet melebihi tahap biasa.

Undang-Undang - Sesetengah dadah adalah haram dan dengan itu penggunaannya adalah dilarang dalam sukan.

Sebelum mengambil sebarang ubat, atlet perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor, pegawai sukan bertauliah dan pegawai pusat doping, jika ingin menyertai acara sukan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Ini adalah kerana terdapat banyak ubat yang boleh membawa kesan terhadap tahap keupayaan atlet. (Senarai komprehensif bahan yang dilarang boleh didapati daripada ‘Prohibited List International Standard’ pada tahun 2005 atau dengan melayari www.wada-ama.org.

Maksud doping: penggunaan bahan yang dilarang dengan tujuan meningkatkan prestasi seseorang atlet.