Setelah gigih bekerja keras sepanjang 11 bulan, Ramadan memberi peluang kepada kesemua organ dalam tubuh memulihkan kembali fungsi dan memastikannya mampu bekerja lebih baik.

Memandangkan tempoh puasa agak panjang iaitu 14 jam, digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks yang kaya dengan serat semasa sahur kerana mampu melambatkan proses lapar.

Begitu juga ketika waktu berbuka, amalan pengambilan buah kurma dua hingga tiga biji disusuli dengan dua gelas air dan makanan ringan dapat mengembalikan semula tenaga yang hilang setelah seharian berpuasa.

Menurut Penyelidik dan ahli Persatuan Nutrisi Malaysia, Prof. Dr. Hamid Jan Jan Mohamed, pengambilan makanan yang sarankan tersebut turut tertaluk kepada kanak-kanak kerana mereka memerlukan tenaga untuk kekal aktif sepanjang hari.

Kata beliau, pengambilan makanan yang tinggi serat lambat dicerna oleh tubuh, membolehkan kanak-kanak bertahan, di samping melakukan aktiviti harian sepanjang melakukan ibadah puasa.

“Umum ketahui bersahur merupakan amalan penting semasa puasa kerana boleh mengurangkan keletihan dan kehilangan tenaga sewaktu berpuasa. Untuk itu, terutama kanak-kanak, mereka perlulah bersahur dengan makanan yang seimbang dan sihat agar dapat membantu memberi tenaga ketika menjalani ibadah puasa.

“Ibu memainkan peranan penting kerana mereka perlu memastikan pengambilan makanan anak-anak adalah seimbang, sihat, serta tidak berlebihan. Pengambilan makanan perlulah berpandukan piramid makanan.

“Yang penting dalam setiap hidangan perlu mengandungi kombinasi karbohidrat, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan,” ujarnya ketika ditemui pada perbincangan konklusif mengenai pola sarapan dalam kalangan orang dewasa di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Dr. Hamid, antara contoh makanan yang baik kandungan serat ialah roti tinggi serat atau roti mil penuh, bijirin tinggi serat, biji-bijian, kekacang dan sayur-sayuran.

Tidak ketinggalan, pengambilan buah-buahan dan air yang mencukupi juga penting sewaktu bersahur bagi menggantikan kehilangan air sewaktu berpuasa.

Bercakap pengambilan makanan sewaktu berbuka pula, Dr. Hamid menasihatkan agar ibu-ibu tidak menyediakan juadah dan air manis kerana makanan ini boleh membuatkan anak-anak cepat lapar.

Katanya, makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak cepat dicerna menyebabkan anak-anak mudah berasa lapar.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan gula dalam darah naik secara mendadak dan sudah pasti keadaan ini tidak bagus untuk saluran darah.

“Sekiranya boleh setiap sajian yang disediakan perlulah berpada-pada kemanisannya kerana makanan mengandungi kandungan gula yang tinggi akan menurunkan nafsu makan.

“Jadi pengambilan makanan secara sihat dan seimbang berdasarkan piramid makanan sangat digalakkan. Sekiranya makan pelbagai jenis makanan tetapi kandungan zatnya kurang dikhuatiri akan mengganggu kelancaran ibadah puasa.

“Makanan berat atau sajian yang betul boleh diambil selepas menunaikan solat maghrib dan selepas tarawih pula memadai dengan makanan ringan,” katanya lagi.

Dr. Hamid turut menasihatkan agar jangan sesekali meninggalkan sahur kerana selain amalan sunah sajian itu juga merupakan sarapan pagi yang seharusnya tidak boleh ditinggalkan.

Mengenai pola sarapan dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak, beliau memberitahu sehingga kini masih lagi tiada perubahan di mana sarapan masih lagi dianggap perkara remeh.

Dia turut menasihatkan agar merancang corak pemakanan kerana membiarkan diri kelaparan mampu mengundang pelbagai penyakit kronik seperti obesiti dan diabetes.

Sayuran-sayuran merupakan makanan berserat tinggi untuk diet yang paling tepat. Sesetengahnya lebih baik dimakan secara mentah iaitu sebagai ulam, namun jika tidak suka dengan sayuran mentah, boleh sahaja disediakan sebagai menu yang enak. Waktu yang baik untuk mengambil sayur-sayuran adalah pada malam hari, kerana akan membuatkan tubuh semakin sihat dan memiliki metabolisme yang baik. Mengambil makanan yang berserat tinggi, akan membuatkan anda tidak mudah diserang penyakit.

Ada dua jenis kacang yang memiliki kadar serat paling tinggi iaitu badam dan walnut. Kedua-dua jenis kacang ini mudah diperoleh dan harganya tidak terlalu mahal. Ia boleh dimakan begitu sahaja ataupun dijadikan sebagai sebahagian daripada bahan dalam makanan anda.