Jawapan

Mastitis ialah keradangan pada payudara yang mungkin (dan kadangkala cepat) menjadi infeksi. Ini akan membuat anda berasa seperti dijangkiti selesema pada masa-masa anda amat memerlukan seluruh tenaga anda. Anda akan mendapati keadaan radang, keras, sakit atau panas dan bengkak di kawasan yang dijangkiti. Selalunya ini dinamakan ‘duktus tersumbat’ sebab anda akan terasa benjolan disebabkan susu yang bertakung dalam duktus payudara.

Tanda-tanda mastitis yang sering berlaku dan serius temasuklah seram sejuk, sakit kepala, suhu badan melebihi 38.5 darjah selsius dan keletihan. Simptom-simptom ini selalunya disebabkan oleh kongesi tisu di sekitar kawasan jangkitan.

Jika anda mengalami mastitis, anda bukanlah keseorangan. Kira-kira seorang dalam 10 ibu yang menyusu badan akan dijangkiti dan sesetengah ibu yang memberi susu formula juga boleh dijangkiti.

Mastitis selalunya disebabkan oleh ‘stasis susu’ yang mana pengaliran susu terberhenti. Ini berlaku apabila susu ‘mengundur ke belakang’ sebab susu itu dihasilkan lebih cepat daripada ia dialirkan keluar. Selalunya ini kerana bayi anda tidak mampu mengosongkan payudara anda sepenuhnya semasa dia menghisap. Lazimnya punca masalah terletak pada cara bayi anda melekap ke dada semasa menyusu. Jika anda dan bayi kurang tahu bagaimana melekap dengan baik, susu tidak akan disedut keluar dengan efisien. Sebab-sebab lain mastitis termasuklah payudara bengkak yang tidak menurun dan kembali normal atau anda tidak menyusukan mengikut rutin terjadual. Ia juga mungkin berlaku jika berlaku trauma kepada payudara, yang akan menyebab­kan stasis susu melarat sehingga menjadi mastitis.

Jangan berhenti menyusu kerana ini akan memburukkan lagi mastitis. Jumpa doktor dengan segera. Doktor akan menasihatkan anda berjumpa kaunselor penyusuan atau memberikan anda antibiotik bergantung kepada tempoh jangkitan dan berapa serius keadaan anda. Anda juga akan dinasihatkan supaya berbaring dan rehat, mengambil ubat tahan sakit dan bertuam dengan jaram panas. Dalam masa 24 jam berikutnya, apabila antibiotik mula menunjukkan kesan, anda akan berasa lebih sihat, dan kesan yang sama juga diperolehi jika tiada infeksi.

Anda boleh melegakan keadaan dengan mencuba yang berikut, iaitu pastikan bayi anda melekap dengan baik pada payudara anda dan dia menyusu dengan betul. Cuba gunakan beberapa posisi menyusu untuk mendapatkan posisi yang paling membantu bayi melekap dengan baik. Untuk memastikan payudara yang dijangkiti dikosongkan sepenuhnya, susukanlah bayi anda sekerap yang dia mahu. Perahkan susu menggunakan tangan atau pam selepas menyusu jika anda merasakan bayi anda tidak menyusu dengan baik. Ada ibu mendapati pam payudara dapat mengeluarkan susu dengan lebih baik daripada hisapan bayi, terutamanya ketika mereka mengalami puting perit.

Jika anda berasa tidak sihat, rehatlah sebanyak mungkin. Anda akan dapati bahawa anda merasa lega jika dikenakan haba kepada kawasan yang terjejas dengan menggunakan kain panas atau jaram atau mandian panas. Parasetamol (Panadol) boleh diambil sepanjang tempoh penyusuan dan boleh membantu mengurangkan keradangan dan juga kesakitan.