Jika dahulu, pada zaman lagu ini berkumandang, kemungkinan kesedaran tentang kecantikan gigi agak tidak meluas. Tapi pada era Instagram ini, senyuman menawan dengan bibir mungil bak delima dan gigi putih yang teratur sempurna menjadi aspek utama dalam menonjolkan kecantikan diri. Lihat saja laman sosial dihiasi gadis cantik dan jejaka tampan dengan gigi yang sempurna susunannya.

Keadaan gigi yang memerlukan rawatan ortodontik

Rawatan ortodontik disasarkan untuk menyusun atur gigi yang tidak rapi. Namun, tujuan rawatan ini tidaklah spesifik untuk cantik sahaja. Sebab yang lebih utama adalah supaya individu dapat menjaga kesihatan dan kebersihan gigi dengan optimum. Mereka yang mempunyai gigi dengan susuan bertindan akan mengalami kesukaran membersihkan gigi.

Keadaan ini jika berlarutan boleh menyebabkan gigi berlubang (karies) dan masalah gusi (gingivitis) yang boleh merebak menjadi penyakit tulang yang memegang gigi (periodontitis).

Selain itu, keadaan gigi yang tidak tersusun boleh menyebabkan gigitan tidak selesa (gigitan silang, gigitan terbuka atau gigitan dalam) yang mengganggu fungsi pengunyahan gigi dan percakapan. Lebih parah lagi keadaan gigitan traumatik di mana keadaan oklusi yang menyebabkan tisu mulut cedera dan gigi goyang atau terhakis.

Ia juga boleh menyebabkan keadaan gigitan yang tidak simetri seterusnya menghasilkan masalah sendi rahang di mana sendi tersebut akan berbunyi semasa membuka dan menutup mulut, bukaan mulut menjadi senget serta boleh menyebabkan limitasi bukaan mulut jika berlarutan.

Punca gigi menjadi tidak tersusun

Terdapat beberapa punca gigi menjadi tidak teratur, keluar dari kedudukan asalnya pada rahang dan berlapis. Ketidakseimbangan dentoalveolar ialah keadaan saiz rahang seseorang tidak bersesuai dengan giginya. Sebagai contoh, individu dengan saiz rahang yang kecil tetapi mempunyai gigi bersaiz besar akan mengalami keadaaan gigi berlapis kerana ruang yang tidak cukup untuk gigi berbaris rapi. Sebaliknya untuk individu yang mempunyai rahang yang besar tetapi saiz gigi yang kecil akan mengalami masalah gigi jarang.

Pertumbuhan dan pembentukan tulang rahang juga menyumbang ke arah susunan gigi dan bentuk muka yang ideal. Keadaan tisu sekeliling gigi contohnya lidah yang besar dan otot lidah yang kuat serta otot bibir yang lemah boleh menyebabkan gigi cenderung tertolak ke depan dan menjadi jarang. Tabiat seperti menghisap jari dan menggigit sesuatu objek dengan kerap juga boleh menyebabkan gigi menjadi tidak teratur.

Rawatan ortodontik secara ringkas

Tadi merupakan serba ringkas faktor penyumbang kepada maloklusi gigi. Untuk merawatnya, anda haruslah pergi ke klinik pergigian untuk berjumpa dengan pakar pergigian ortodontik. Doktor anda akan melakukan pemeriksaan luar mulut untuk melihat bentuk muka dan kedudukan rahang, pemeriksaan dalam mulut yang teliti untuk melihat kondisi gigi yang hendak dirawat serta pemeriksaan radiografi dimana gambar sinar X diambil untuk analisa tulang rahang dari bahagian depan dan tepi.

Dengan pemeriksaan komprehensif ini, doktor gigi anda akan menggariskan rawatan yang tepat untuk menyusun dan mencantikkan aturan gigi dan mengembalikan fungsi gigi tersebut. Terdapat dua jenis rawatan ortodontik yang boleh anda dapatkan di klinik gigi.

Pemakaian applians boleh tanggal biasanya disarankan untuk masalah yang kurang kompleks dan lebih bermanfaat untuk pesakit yang lebih muda dan kanak-kanak. Selalunya mengambil masa enam hingga 12 bulan, applians boleh tanggal ini perlu ditanggalkan semasa makan dan memberus gigi.

Applians tetap ortodontik atau lebih dikenali dengan braces lebih digemari dan boleh dikatakan menjadi trend anak muda dan dewasa kini. Rawatan braces yang biasanya mengambil masa 12 bulan hingga 36 bulan boleh menyusun gigi dengan sempurna supaya individu mendapat gigitan dan oklusi kelas satu yang normal.

Terdapat beberapa jenis braces yang boleh dipilih oleh pesakit berdasarkan rupa applians itu dan ia berbeza dari segi harga walaupun mekanik rawatannya agak serupa.

Braces stainless steel yang berwarna perak dengan ikatan gelung getah berwarna-warni ataupun dengan menggunakan lohong laluan tanpa getah yang dikatakan boleh menggerakkan gigi dengan lebih cepat kerana kurang geseran dalam sistem braces tersebut. Braces ini akan kelihatan ketara pada pemakainya.

Terdapat braket ortodontik yang diperbuat daripada komposit dan seramik yang berwarna putih dan hampir jernih bergantung kepada kualiti seramiknya. Ini lebih sesuai untuk mereka yang ingin menjalani rawatan ortodontik tetapi tidak mahu applians itu terlalu kelihatan dan lebih estetik dari segi penampilan. Doktor gigi anda juga boleh menyarankan dawai yang disalut putih supaya braces kurang ketara pada mata kasar dan di dalam foto.

Terdapat juga sejenis applians yang langsung tidak kelihatan ketika seseorang senyum kerana applians ortodontiknya dipasang dipermukaan belakang gigi yang dinamakan lingual braces. Rawatan ini lebih rumit tetapi sesuai dalam keadaan individu yang tidak mahu sama sekali dilihat dengan braces.

Dalam rawatan ortodontik, pesakit haruslah memegang tanggungjawab menjaga kebersihan gigi dengan lebih teliti untuk mengelakkan masalah gigi dan gusi sepanjang rawatan. Pesakit juga harus menjaga pemakanan agar applians tidak patah dan tertanggal yang sekali gus boleh mengganggu dan melewatkan rawatan.

Pesakit juga harus mengikut jadual pemeriksaan applians seperti yang ditetapkan untuk mengelakkan pemanjangan tempoh rawatan.