Sebahagian besar daripada pesakit tersebut menjalani rawatan hemodialisis, proses yang dianggap sangat membebankan kerana mereka terpaksa berulang-alik ke pusat hemodialisis dengan purata tiga kali seminggu. Setiap rawatan pula mengambil masa antara tiga hingga lima jam.

Rawatan hemodialisis menyebabkan pesakit tidak produktif kerana dalam tempoh itu kebanyakannya tidak dapat bekerja, selain menjejaskan kualiti hidup harian termasuk tidak dapat membuat aktiviti lasak, berjalan jauh seperti melancong dan sebagainya.

Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, Datuk Dr. Zaki Morad Mohamad Zaher berkata, ketika ini terdapat rawatan yang lebih efisien iaitu Peritoneal Dialysis (PD) yang mempunyai fungsi sama seperti hemodialisis.

Bezanya, pesakit boleh melakukan rawatan di rumah dengan memasukkan sendiri larutan khusus untuk mencuci buah pinggang menerusi tiub khas yang ditebuk pada bahagian perut mereka.

Katanya, PD boleh dilakukan dengan dua cara iaitu rawatan tanpa mesin Continuous Ambulacory Peritoneal Dialysis (CAPD) atau Automated Peritoneal Dialysis (APD) yang menggunakan mesin ketika pesakit sedang tidur.

“PD adalah rawatan dialisis yang kurang dikenali di Malaysia jika dibandingkan dengan rawatan hemodialisis yang digunakan secara meluas melibatkan hampir 90 peratus pesakit buah pinggang.

“Hasil daripada komitmen terhadap Penjagaan Kesihatan Universal, beberapa negara seperti Thailand dan Hong Kong telah berjaya menggubal dasar pertama PD yang menjadikannya sebagai rawatan utama untuk penyakit buah pinggang.

“Malaysia ketika ini sedang meneroka pelan hala tuju untuk menerima polisi ini,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran mesin APD, Lucenxia Intellis APD Cycler di Putrajaya baru-baru ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Menurut Dr Zaki, rawatan dialisis di rumah mampu meningkatkan kualiti hidup pesakit kerana berbanding dengan rawatan di pusat hemodialisis yang menjalankan proses penapisan darah biasa, PD menggunakan membrane peritoneal pesakit di bahagian abdomen untuk mengeluarkan cecair berlebihan di dalam badan.

“Rawatan PD sangat sesuai bagi pesakit kerana fleksibel dan memberi manfaat dari segi mental dan fizikal sekali gus memberi peluang kepada pesakit menjalani kehidupan yang normal.

“Ada sesetengah pesakit memilih kaedah CAPD yang melibatkan proses manual iaitu, pesakit perlu membuatnya empat kali sehari.

“Namun, kaedah APD lebih mudah kerana pesakit menggunakan mesin bagi menukar cecair dialisis sebanyak beberapa kali ketika mereka sedang tidur. Mesin berkenaan akan mengawal kesemua fasa penukaran, dan sambungan hanya diputuskan pada keesokan paginya,” katanya.

Ujarnya, penggunaan APD tidak terhad kepada sesuatu golongan sahaja kerana rawatan ini sesuai untuk semua jenis penyakit buah pinggang tanpa mengira usia.

Di samping dijamin selamat, mesin ini juga akan memberi amaran jika berlaku sebarang kecemasan ketika pesakit sedang menggunakannya.

Rawatan itu boleh dibuat sendiri di rumah selepas mendapat latihan secukupnya daripada jururawat.

Katanya, keberkesanannya adalah sama tetapi pesakit yang mempunyai masalah jantung disarankan untuk menjalani kaedah PD selain faktor keselesaan, kos, dan usia.

Penyelesaian bagi rawatan pesakit CKD

Lucenxia Intellis APD Cycler (Intellis) yang merupakan mesin bagi rawatan Automated Peritoneal Dialysis (APD) di bawah projek Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) melalui program transformasi ekonomi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), menjadi penyelesaian terbaik bagi pesakit buah pinggang kerana dapat meningkatkan akses, kemampuan operasi dan dalam masa yang sama memberi perlindungan alam sekitar ketika menyediakan rawatan PD.

Intellis juga didatangkan dengan fungsi teleperubatan termasuklah pemantauan harian secara atas talian, pengesanan awal, jaminan keselamatan yang ditingkatkan serta konfigurasi automatik melalui preskripsi oleh pakar yang dilakukan secara online.

Menurut Pengarah Urusan Lucenxia, Low Chin Guan, Intellis adalah inovasi tempatan yang mampu memberi faedah kepada seluruh rakyat dan menjangkakan produk tersebut dapat memenuhi visi kerajaan dalam menyediakan rawatan klinikal yang lebih baik kepada pesakit buah pinggang kronik (CKD) di negara ini.

“Kami juga komited dalam menyediakan satu penyelesaian penjagaan kesihatan yang berpatutan bagi membolehkan pesakit meningkatkan kualiti hidup sekali gus memberi mereka harapan baharu.

“Matlamat kami adalah untuk membina satu sistem unik yang mampu mengurangkan kos rawatan serta lebih efisien dari segi penggunaan dan ciri-ciri kritikal yang lain.

“Jika dibandingkan dengan kaedah rawatan dialisis sedia ada, kos yang perlu dibelanjakan adalah melebihi RM35,000 setahun berbanding program yang ditawarkan Intellis hanya memerlukan kurang daripada RM30,000,” ujarnya.