Seramai 1.3 juta rakyat yang berumur lebih daripada 50 tahun pula dijangka akan menghidapi katarak dalam masa lima hingga 10 tahun. Namun, masyarakat di Malaysia masih lagi terpengaruh dengan mitos-mitos tentang penyebab dan rawatannya. 
Katarak tidak dapat dicegah tetapi boleh dirawat dengan baik melalui pembedahan katarak yang dijalankan oleh pakar yang bertauliah. Oleh itu, masyarakat perlu membetulkan kefahaman mengenai katarak.

Apakah itu katarak? 
Katarak ialah kekeruhan pada kanta mata yang asalnya jernih. Ini boleh menyebabkan penglihatan menjadi kabur. Menurut National Eye Survey 2014 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, katarak merupakan penyebab utama (58 peratus) kepada kebutaan di Malaysia. 

Katarak lebih dikenali sebagai ‘selaput’ dalam kalangan masyarakat. Namun, katarak bukanlah selaput yang berada di luar bahagian mata, yang boleh dibuang begitu sahaja. 

Siapakah yang berkemungkinan mendapat katarak?
Kebiasaannya ada kaitan dengan faktor umur yang semakin meningkat. Namun begitu katarak juga boleh disebabkan oleh diabetes, terdedah kepada matahari secara berlebihan, merokok, penggu­naan ubat steroid secara berpanjangan, kecederaan atau kongenital (dari lahir). 

Apakah gejala katarak? 
Pesakit akan mengadu penglihatan semakin kabur, sukar melihat imej yang kecil, kerap menukar cermin mata, imej kelihatan bertindih, perubahan pada warna dan silau apabila terdedah cahaya terang. 

Apakah rawatan untuk katarak? 
Rawatan untuk katarak hanyalah melalui pembedahan. Pembedahan dilakukan secara mikro surgeri oleh pakar bedah mata dengan penggunaan mesin ultrasound phacoemulsification.Kanta yang keruh akan dibuang dan diganti dengan kanta tiruan. 
Kebiasaannya pembedahan dilakukan secara pembedahan harian, bius setempat dan hanya meng­ambil masa 15 hingga 30minit. 

Apakah yang berlaku sekiranya pembe­dahan katarak tidak dilakukan?
Katarak boleh menyebabkan kebutaan jika tidak dirawat. Katarak boleh semakin menebal dan menyebabkan komplikasi seperti kenaikan tekanan mata dan keradangan. Mata akan menjadi merah, sakit dan akhirnya buta.

Adakah terdapat bantuan kanta tiruan untuk pesakit yang tidak berkemampuan di Malaysia?
Ya. Bantuan kanta tiruan boleh dipohon melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan di hospital. 

  • Sebarang pertanyaan lanjut mengenai katarak, sila berhubung dengan pakar mata anda.