Bagi mendapatkan kepastian penyakit yang dialaminya itu, dia pergi berjumpa pakar perubatan dan Roszitah disahkan menghidap sakit lutut yang serius.

Kemudian, dia mengambil keputusan menjalani pembedahan membetulkan tulang rawan lutut yang haus.

Selepas beberapa bulan menjalani pembedahan, Roszitah diminta datang ke hospital menjalani rawatan fisioterapi.

Tahukah anda fisioterapi bukan bidang yang asing dalam masyarakat hari ini, tetapi ramai masih berpendapat terapi susulan kurang penting walaupun ia dapat mempercepatkan proses pemulihan mereka?

Fungsi utama fisioterapi adalah membantu pesakit untuk sembuh dan kembali kepada keadaan asal dari segi fungsi pergerakan fizikal serta kesihatan secara keseluruhan.

Pesakit melalui trauma fizikal memerlukan sesi fisioterapi bagi membantu individu terbabit kembali kepada keadaan asal di samping menyesuaikan diri dengan keadaan fizikal yang baru.

Contohnya, sesi fisioterapi dapat membantu pesakit untuk belajar menggunakan anggota badan ketika sebahagian daripada anggota yang memerlukan rawatan tidak dapat digunakan atau selepas kehilangan sebahagian daripada anggota asal.

Pengarah Konsultan Fisioterapi Klinik Fisioterapi, Rehabilitasi dan Kesakitan Miracle, Harjinder Singh berkata, inovasi teknologi menjadikan fisioterapi lebih efektif dan mempercepatkan masa pemulihan.

Katanya, antara rawatan terbaru adalah terapi laser tahap rendah (LLLT) yang digunakan beberapa ahli fisioterapi untuk merawat pelbagai keadaan otot dan tulang.

“LLLT memancarkan tahap rendah cahaya diserap oleh mitokondria (organ penghasil tenaga dalam sel), yang kemudian dapat meningkatkan pengeluaran tenaga selular dan akhirnya membantu menyembuhkan tisu sekeliling.

“LLLT adalah rawatan sumber cahaya tidak invasif yang menjana cahaya panjang gelombang tunggal. Ia tidak mengeluarkan haba, bunyi atau getaran.

“LLLT dipercayai mempercepat pembaikan tisu penyambung dan bertindak sebagai agen antiradang. Laser dengan panjang gelombang yang berlainan, daripada 632 hingga 904 meter Newton (nm), digunakan dalam rawatan otot dan tulang,” katanya.

Menurut Harjinder, panjang gelombang antara 660nm dan 905 nm mempunyai keupayaan untuk menembusi kulit dan tisu lembut atau keras.

Cahaya ini mempunyai kesan baik terhadap sakit, keradangan dan pembaikan tisu. Proses ini boleh diandaikan seperti fotosintesis tumbuhan yang sinar matahari diserap oleh tumbuh-tumbuhan dan ditukar kepada tenaga untuk hidup.

Kegunaan terapi laser:

1Kecederaan ringan dan dislokasi otot

Atlet dan ahli terapi fizikal yang aktif boleh menggunakan terapi laser dingin untuk merawat kecederaan ringan seperti otot luka akibat kemalangan kecil yang berlaku semasa aktiviti.

Selain penyembuhan, terapi laser sejuk ini dapat membantu mengurangkan bengkak dan merawat sendi dan tisu lembut.

2Mengubati keradangan

Doktor gigi di Amerika Syarikat biasanya menggunakan terapi laser sejuk ini untuk merawat tisu yang meradang di mulut pesakit.

Ramai doktor menggunakannya untuk merawat keradangan yang disebabkan oleh artritis (pesakit dengan bengkak dan kekakuan pada sendi menyebabkan pergerakan badan menjadi sukar dan menyakitkan) dan penyakit autoimun kronik lain.

3 Sakit dan ngilu

LLLT juga digunakan untuk mengurangkan rasa sakit pada tengkuk, bahu dan pinggang.

4LLLT untuk keremajaan kulit

Terapi laser sejuk ini juga sering digunakan sebagai terapi untuk meremajakan kulit.

Ahli dan pakar dermatologi menggunakan terapi ini untuk merawat pelbagai masalah kulit seperti ulser, luka bakar, keradangan kulit (edema) dan ruam (dermatitis).

5Penyembuhan luka

Terapi ini juga sering digunakan untuk melakukan penyembuhan luka yang teruk, termasuk kecederaan berkaitan dengan gangren.

LLLT juga adalah rawatan berkesan terhadap kecederaan kronik dan baru.

Kata Harjinder, kesakitan artritis, tendonitis, sindrom terowong karpus, kesakitan fibromialgia dan belakang badan, leher serta sakit lutut adalah antara keadaan yang boleh dirawat dengan terapi jenis ini.

LLLT adalah selamat kerana ia berkesan, malah tiada kesan sampingan jangka panjang yang diketahui dalam bentuk terapi cahaya ini.

“Kesan LLLT penting untuk fisioterapi dan menjadikan alat ini berguna untuk meningkatkan rawatan lain sebagai latihan terapeutik seperti pengurangan keradangan yang boleh berlaku dalam beberapa jam hingga beberapa hari.

“Selain itu, ia dapat melegakan kesakitan contohnya kesakitan yang berkaitan tendinopati atau kesakitan neuropatik.

“Rawatan ini berkesan untuk kedua-dua kecederaan baru dan keadaan jangka panjang (kronik). Sering kali pesakit yang sudah tidak berupaya atau dihadkan oleh rasa sakit selama bertahun-tahun dapat semula gaya hidup aktif dan sihat dalam beberapa minggu.

Menurutnya, penggunaan teknologi terkini dalam fisioterapi membantu ratusan pesakit pulih daripada kesakitan dan kembali kepada gaya hidup yang lebih aktif.

Ia hampir menghapuskan kesakitan dan keradangan, mengembalikan fungsi badan yang normal tanpa menggunakan ubat penghilang sakit, bukan toksik, tidak invasif dan meningkatkan kualiti keseluruhan kehidupan.

Ia juga membantu dalam pembaikan tisu seperti ligamen, luka, luka tekanan (disebabkan terlantar lama), ulser dan kecederaan sukan.

Dalam pada itu, Harjinder turut menasihatkan orang ramai mengenai kepentingan regangan sebelum melakukan aktiviti kecergasan.

Katanya, banyak faedah yang akan diperoleh jika melakukan sesi regangan terlebih dulu antaranya kelajuan akan bertambah dan kemungkinan untuk mengalami kecederaan juga rendah.

“Senaman regangan ini adalah latihan yang perlu dilakukan sebelum bersukan kerana memberi kelegaan kepada sendi dan otot malah menyegarkan semula minda apabila oksigen disedut masuk ke dalam paru-paru seterusnya dibawa sampai ke otak,” katanya.