Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pilihan kanta lekap

aa

TIDAK pernah terlintas di fikiran Zurin masalah ketika memandu seperti sering terlanggar bonggol jalan raya menjadi penanda dia mengalami masalah rabun. Akhirnya, Zurin membuat keputusan pemeriksaan mata dan disahkan rabun jauh. Zurin disarankan memakai cermin mata. Dia yang kemudian berjinak-jinak dengan dunia peragaan mengambil keputusan memilih kanta lekap kerana cermin mata membataskan pergerakannya.

“Sudah hampir sepuluh tahun saya memakai kanta lekap. Saya memilih kaedah ini untuk dua perkara iaitu gaya dan rawatan mata rabun. Saya berasa selesa walaupun kadangkala sukar dari segi penjagaan. Masalahnya, kanta ini tidak boleh dipakai lebih daripada lapan jam. Kadang-kadang saya terbabas juga. Mata saya akan menjadi merah dan saya akan segera ke klinik atau farmasi untuk mendapatkan ubat titis khusus untuk mengurangkan kesan sakit ini,” katanya.

Pakar Runding Oftalmologi, Pakar Bedah Okuloplastik Orbit Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Hamidah Budin berkata, kanta lekap biasanya digunakan oleh mereka yang rabun dan tidak mahu menggunakan cermin mata.

aa
Dr. Hamidah Budin

Mengulas trend kanta lekap yang kini menjadi pilihan gaya fesyen, Dr. Hamidah memberitahu, pada awal pengenalan kanta lekap diberikan secara preskripsi kepada mereka yang benar-benar layak menggunakannya sahaja.

“Pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan dengan menganalisis kesemua kemungkinan kesan penggunaan kanta lekap pada mata. Kemudiannya sesi penerangan dibuat dengan bakal pengguna kanta lekap agar pengguna tidak terdedah kepada sebarang komplikasi buruk.

“Cara ini semakin hilang kini dan kesedaran pengguna tentang kaedah pemakaian dan penjagaan kanta lekap semakin berkurangan. Bahkan kanta kini menjadi pilihan untuk mereka yang ingin kelihatan cantik,” ujarnya.

Bagi Dr. Hamidah, pemakaian kanta lekap untuk tujuan kosmetik juga tidak ada masalah melainkan pemakainya perlu menjaga kebersihan semasa memakainya. Penggunaan kanta lekap kosmetik juga sama kaedahnya dengan pemakaian kanta lekap untuk tujuan rawatan.

Kebanyakan kanta lekap kategori kosmetik ialah jenis lembut dan dijual dalam pelbagai warna pilihan.

“Permukaan yang lembut juga memudahkan oksigen diserap masuk pada permukaan kornea mata dan membantu mengurangkan berlaku masalah kekeringan. Kanta lekap jenis pakai buang dalam kategori lembut mempunyai waktu tertentu untuk dipakai oleh pengguna.

“Kanta lekap jenis keras pula boleh dipakai dalam jangka masa yang lebih lama tetapi meninggalkan kesan ketidakselesaan kepada mata pengguna. Kebanyakan kanta lekap untuk merawat rabun adalah warna jernih,” katanya.

Dr. Hamidah memberitahu, pengguna yang tidak menjaga kebersihan ketika memakai kanta lekap dan mengambil sambil lewa rutin harian tersebut berkemungkinan berhadapan dengan risiko jangkitan pada bahagian kornea mata.

Antara yang perlu diberi perhatian ialah jika mata merah, sensitif, kabur atau sakit. Jika keadaan ini berlaku segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Individu yang tidur dengan kanta lekap berisiko lebih tinggi mendapat ulser kornea kerana mata lebih mudah tercedera, kurang oksigen dan memerangkap bakteria.

Dr. Hamidah menasihatkan orang ramai yang ingin memakai kanta lekap sama ada untuk gaya atau rawatan, mereka perlu mendapatkan kanta lekap yang berkualiti yang hanya dijual di pusat pakar optometris, kedai optikal, farmasi atau yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

“Sekiranya anda ingin atau bakal menggunakan kanta lekap, lakukan pemeriksaan mata terlebih dahulu dan dapatkan nasihat daripada pakar mata yang berkelayakan sebelum anda menggunakannya,” ujarnya.

 

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan