Sebutlah apa sahaja program melibatkan kebajikan individu atau persatuan-persatuan yang melibatkan penyakit kulit, beliau akan menyokong mahupun mengendalikan program yang dianjurkan.

Semuanya dengan niat untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat, di samping mencari dana dan sebagainya dalam usaha membantu individu yang menghidap penyakit berkaitan kulit ini meneruskan kehidupan dan kebajikan mereka.

Di sebalik ramai pihak mencemuh atau memandang sepi insan-insan yang bermasalah kulit dan mungkin juga tidak mahu bersama dalam lingkungan golongan ini, Dr. Kartini Farah Abdul Rahim, bertindak sebaliknya.

Beliau seorang yang sangat aktif dalam penyebaran maklumat mengenai penjagaan kulit bermasalah di akhbar-akhbar utama, televisyen dan radio.

Dr. Kartini Farah amat menyanjung tinggi tanggungjawab dan sokongan padunya sebagai penasihat kehormat kepada beberapa pertubuhan dan kelab sokongan yang berkaitan dengan masalah kulit terutama sekali Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichthyosis Malaysia (Pekim), Kumpulan Sokongan Hidradenitis Suppurativa Malaysia dan Kumpulan Sokongan Ekzema Malaysia.

Beliau juga sebelum ini adalah penasihat Kelab Pelajar Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) selama tiga tahun berturut-turut.

“Saya adalah ‘anak’ UPM yang dibesarkan dalam persekitaran kampus di Serdang, Selangor. Semasa ibu saya bekerja di universiti itu selama lebih 20 tahun, saya sudah biasa bergaul dengan pelajar-pelajar yang menuntut di situ.

“Ini memberikan inspirasi kepada saya untuk cemerlang dalam peperiksaan dan akhirnya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah perubatan di Dublin, Ireland, yang kemudiannya dihantar bekerja sebagai doktor di beberapa buah hospital di United Kingdom,” katanya.

Dr. Kartini Farah memberitahu, memandangkan kecintaan dan minat yang mendalam dalam masalah kulit, dia telah ditugaskan sebagai Felo Penyelidikan Klinikal selama dua tahun di Jabatan Dermatologi dan Fotobiologi di Hospital Ninewells, Dundee di Scotland.

Beliau memperoleh Membership of the Royal College of Physicians (MRCP) di London pada 2007. Pada tahun yang sama pulang ke tanah air untuk berkhidmat dengan UPM dan kemudian memperluas ilmu pengetahuannya dalam bidang dermatologi dengan memperoleh Sarjana Lanjutan Dermatologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2011.

Beliau sangat menghargai sesiapa sahaja yang datang bertanyakan tentang masalah kulit kerana tahu kesengsaraan yang dihadapi pesakit, bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga mental.

Setelah berkhidmat dengan UPM sebagai pakar dan pensyarah dalam kepakaran perubatan dalaman dan dermatologi selama lebih 10 tahun, beliau keluar untuk menempuh alam baru di hospital swasta di DEMC, Shah Alam.