Hakikatnya, ramai yang mengakui susah untuk memberi perhatian kepada membersihkan gigi dengan rutin teliti dan sempurna apabila kita dalam perjalanan yang panjang. Sama ada di dalam atau ke luar negara, rutin penjagaan gigi kita akan menjadi sesuatu yang amat leceh dan kita remehkan.

Contohnya, jika kita melancong keluar negara dan destinasinya agak jauh, dengan masa senggang yang lama di atas awan, plak dan bakteria akan berkumpul pada permukaan gigi dan menghasilkan bau mulut yang busuk. Selalunya tuan punya badan tidak akan sedar mulutnya berbau kurang enak.

Satu tip untuk mengenal pasti mulut kita berbau atau tidak, jilatlah pergelangan tangan sebelah dalam anda, tempat yang anda selalu mencalit minyak wangi. Biarkan seketika hingga kering dan hidu pergelangan tangan anda. Bau yang anda cium ialah bau mulut anda yang sebenar dan bayangkan bau ini terpaksa dihidu oleh orang yang duduk di sebelah anda di dalam pesawat.

Saya sentiasa membawa dua set penjagaan gigi apabila saya melancong atau keluar negara untuk bekerja. Satu set bersaiz normal yang saya gunakan secara harian dan satu lagi set kecil berus gigi yang boleh dilipat, ubat gigi dan juga ubat kumur bersaiz kecil yang saya simpan di dalam tas tangan untuk dibawa menaiki pesawat. Bawa ubat gigi yang sering anda gunakan.

Saya tidak nasihatkan anda membeli ubat gigi semasa melancong kerana jika ubat gigi tidak sesuai anda boleh mengalami gigi sensitif. Pastikan semua barang tadi disimpan di dalam beg berzip yang sesuai untuk beg kabin pesawat dan juga begnya cukup besar untuk pengudaraan berus gigi di dalamnya. Begitu juga berus gigi yang disimpan di dalam bagasi, pastikan barangan tersebut disimpan di dalam bekas yang cukup pengudaraan untuk memastikan berus gigi kering sempurna. Berus gigi yang basah dan disimpan dalam tempat sejuk, lembab dan tertutup dalam jangka waktu agak lama akan menjadi tempat pembiakan bakteria. Selain itu, pastikan berus gigi dicuci dengan sempurna dan dilap kering sebelum di simpan.

Jika anda dalam perjalanan dan jadual perjalanan anda terlalu ketat sudah tentu anda tidak mempunyai cukup masa untuk memberus gigi dengan sempurna. Contohnya, jika anda mengikuti pakej-pakej pelancongan yang membawa anda ke beberapa buah negara dalam satu percutian dengan menaiki bas seperti ke negara-negara Eropah dan sekitarnya, selalunya jadual akan padat dan akan sentiasa bergerak dengan pantas dari satu destinasi ke satu destinasi pelancongan yang lain. Sentiasalah bawa bersama flos gigi dan ubat kumur dalam saiz yang kecil supaya anda boleh mengeluarkan makanan yang terselit di celah gigi yang juga menjadi salah satu punca kepada bau mulut, berkumur-kumur sebentar untuk menyegarkan nafas buat sementara waktu sehingga anda sampai ke destinasi dan dapat membersihkan gigi dengan selesa.

Apabila sampai ke destinasi yang anda tuju, pastikan kualiti air di sana dalam keadaan bagus kerana anda mungkin tertelan air semasa memberus gigi. Terdapat negara-negara yang airnya tidak dirawat sempurna dan tidak selamat untuk di minum. Dalam keadaan tersebut, berkumurlah dengan air minuman di dalam botol untuk mengelakkan kesihatan terjejas di negara asing. Adalah penting untuk lebih teliti dan lebih menjaga kesihatan semasa melancong kerana kos rawatan dan dokumen yang diperlukan untuk mendapatkan rawatan kesihatan di negara luar berbeza dari negara kita.

Mengunyah gula-gula getah juga membantu dalam pembersihan gigi secara semula jadi dan carilah gula-gula getah jenis sugar-free atau tanpa-gula. Apabila kita mengunyah, secara tidak langsung akan menyebabkan kelenjar air liur lebih aktif dan mengeluarkan air liur dalam kuantiti lebih besar. Ini akan bertindak sebagai pembersihan secara semula jadi dan juga akan meneutralkan persekitaran oral kita sekali gus mengurangkan bau mulut dan aktiviti bakteria.

Daripada aspek pemakanan juga, kita harus berikan tumpuan. Kurangkan makanan manis semasa melancong kerana gula akan menggalakkan pertumbuhan bakteria di dalam mulut. Dalam keadaan kebersihan mulut yang kurang terurus, peningkatan bakteria dalam plak akan menyebabkan risiko gusi bengkak dan juga gigi berlubang dengan lebih cepat.

Ambillah lebih sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam diet kerana makanan ini mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi dan bagus untuk kesihatan gusi. Amalkan minum teh hijau kerana ia terbukti membasmi bau mulut. Teh hijau mengandungi polyphenols yang dapat menghilangkan bau sulphur yang dihasilkan oleh bakteria di dalam mulut.

Sekali lagi pesan saya, walaupun sibuk bercuti dan melancong, janganlah lupa menjaga kebersihan gigi. Berus gigi dua kali sehari adalah rutin wajib untuk memastikan gigi dan gusi sentiasa sihat. Anda pasti tidak mahu keseronokan melancong diganggu oleh gigi yang sakit, ngilu dan berdenyut. Selamat bercuti semua dan jangan lupa, senyumlah daripada hati, senyuman yang ikhlas wajah pasti berseri.