Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pendek, keturunan atau masalah kesihatan

100917-sihat-pendek 0

ADALAH satu perkara biasa melihat di dalam sebuah kelas di sekolah rendah ada beberapa pelajar menyerlah dengan ketinggian lebih daripada majoriti rakan sekelas dan ada juga sebilangan dilihat ‘ketinggalan’ dari segi ketinggian.

Di Malaysia, kanak-kanak yang rendah tidak terlalu menjadi kebimbangan ibu bapa. Fikir mereka, ia adalah sesuatu yang normal kerana saiz dan ketinggian orang Asia yang sememangnya dilihat agak rendah tambahan melihat ibu bapa mereka juga tidak terlalu tinggi.

Ada sesetengah kanak-kanak mengalami gangguan pertumbuhan. Gangguan ini merupakan masalah yang menghalang kanak-kanak dari mencapai ketinggian dan berat normal serta kematangan seksual menjejak usia remaja.

Pertumbuhan kanak-kanak merupakan petunjuk penting bagi kesihatan keseluruhan dan perkembangan mereka. Jika anak anda lebih pendek daripada keseluruhan rakan sekelasnya, meninggi dengan perlahan berbanding rakan sebaya atau adik-beradik lebih tua atau pendek daripada ibu bapa semasa mereka di usia sama, ia mungkin petanda kepada keadaan gangguan kesihatan lain dan ia mungkin memberi kesan lebih daripada sekadar ketinggian.

Terdapat beberapa gangguan pertumbuhan yang sebenarnya dapat dirawat supaya kanak-kanak mencapai ketinggian normal, namun ia perlu disedari dan dirawat pada peringkat awal.

Bagaimanapun, kesedaran akan gangguan pertumbuhan adalah agak rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut Pakar Runding Kanan Pediatrik, Pakar Endokrinologi dan Diabetologi Pediatrik di Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Wu Loo Ling, kesedaran mengenai masalah tumbesaran di Malaysia adalah rendah dan membimbangkan.

“Masalah ini biasanya tidak diberi perhatian kerana ramai menyangka orang Asia secara semulajadinya mempunyai struktur tulang yang lebih kecil. Namun, adalah penting untuk ibu bapa di Malaysia mengetahui simptom-simptom ini dan berjumpa dengan doktor mereka sekiranya bimbang akan sesuatu isu. Pengesanan awal sangat penting untuk mencapai hasil rawatan yang positif,” ujarnya ketika persidangan saintifik mengenai tumbesaran, SEA Growth Summit anjuran Novo Nordisk bagi membincang dan berkongsi pengetahuan mengenai sebab, diagnosis, pengurusan, dan pilihan rawatan, baru-baru ini.

Rawatan

Tumbesaran adalah satu proses fisiologi yang kompleks di mana kanak-kanak mula membesar dengan cepat dalam dua tahun pertama kehidupan mereka. Proses ini berterusan pada kadar tetap iaitu lima hingga sembilan sentimeter setiap tahun sehingga berusia kira-kira 10 tahun.

Apabila kanak-kanak memasuki usia remaja iaitu 11 tahun bagi perempuan dan 13 tahun bagi lelaki, lonjakan tumbesaran berlaku sekali lagi selama kira-kira dua tahun sebelum ia berakhir perlahan-lahan pada usia 16 hingga 18 tahun.

Di dalam tubuh, hormon pertumbuhan (growth hormone) yang dihasilkan oleh kelenjar pituitari di dalam otak merangsang tumbesaran. Selain daripada menggalakkan tumbesaran fizikal (ketinggian), ia juga mempengaruhi perkembangan tulang, otot dan lemak tubuh. Oleh itu, hormon pertumbuhan ini sangat penting untuk perkembangan dan fungsi tubuh manusia yang sihat.

Sekiranya seseorang kanak-kanak kelihatan lebih rendah berbanding rakan-rakan sebaya, ada kemungkinan ia mengalami masalah tumbesaran yang menghalangnya daripada mencapai ketinggian dan berat yang normal, serta kematangan seksual dalam sesetengah kes. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kesan yang negatif kepada kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak.

Tegas Profesor Endokrinologi Pediatrik di Universiti London dan Pakar Runding Endokrinologi Pediatrik, London Clinic Centre for Endocrinology, Dr. Martin Savage, semakin awal masalah tumbesaran dikesan, semakin tinggi peluang kanak-kanak tersebut untuk mengekalkan ketinggian normal dan mencapai potensi pertumbuhannya sebenar.

“Rawatan masalah tumbesaran mempunyai banyak manfaat selain daripada merangsang ketinggian. Ia bukan sahaja membantu kanak-kanak mencapai ketinggian normal, namun turut terbukti membawa impak positif kepada komposisi tubuh, pembinaan tulang, faktor risiko kardiovaskular, dan kualiti hidup,” terangnya.

Selain daripada risiko-risiko fizikal, membesar dengan masalah tumbesaran juga boleh membawa kesan sosial yang serius terhadap kanak-kanak seperti diejek atau dibuli di sekolah, keyakinan diri yang rendah, cabaran fizikal serta kesukaran dalam perhubungan sosial.

Untuk mengesan masalah tumbesaran seawal yang mungkin, pertumbuhan kanak-kanak perlu diukur dengan kerap dan dibandingkan dengan adik-beradik atau rakan-rakannya di sekolah. Sekiranya terdapat simptom-simptom, ibu bapa dinasihatkan untuk berjumpa pakar pediatrik khusus dalam merawat kanak-kanak dengan masalah tumbesaran dan hormon.

Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu sedar yang merawat masalah tumbesaran adalah satu komitmen jangka panjang. Proses rawatan mengambil masa beberapa tahun sehingga kanak-kanak mencapai ketinggian dewasanya.

Sekiranya masalah tumbesaran berlanjutan apabila pertumbuhan telah selesai, rawatan perlu diteruskan untuk mencapai perkembangan tubuh dewasa yang normal, termasuklah jisim otot dan penambahan mineral tulang.

Namun, tidak wujud rawatan penambah ketinggian segera dengan hanya memakan vitamin sahaja seperti yang sering dimomokkan dalam media sosial seperti Instagram.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan