Dr. Manmohan Singh
Dr. Manmohan Singh

“Sebenarnya pembedahan tulang belakang kini tidak melibatkan pembedahan besar dan hanya mengambil masa yang singkat, risiko jangkitan yang rendah dan pesakit tidak perlu tinggal di wad,” katanya. 

Dr. Manmohan berkata, boleh dikatakan kebanyakan rakyat Malaysia pasti mengalami sakit belakang sekali dalam seumur hidup. 

“Kebanyakan masalah yang melibatkan sakit belakang adalah lebih menjurus kepada masalah postur yang menyebabkan kecederaan kepada otot. Perkara ini menyebabkan kesakitan dalam waktu beberapa hari dan kemudian sembuh dengan sendirinya. 

“Tetapi sakit belakang yang berterusan dan menyakitkan mungkin disebabkan penyakit lain yang melibatkan kawasan tersebut. Oleh itu, pesakit perlulah berjumpa dengan doktor jika mempunyai sakit belakang yang lama. 

“Sakit belakang yang dibincangkan kali ini melibatkan tulang invetebrata nombor satu hingga lima,” katanya semasa seminar mengenai ‘Tulang Belakang dan Lutut, Keadaan dan Rawatan: Apa yang perlu anda tahu’ di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini. 

Dr. Manmohan berkata, sakit belakang terbahagi kepada dua iaitu sakit belakang yang melibatkan orang muda iaitu slip disk dan warga emas yang melibatkan penua. 

Pesakit muda biasanya mengalami sakit belakang lumbar pid atau dinamakan slip disk. Sakit ini melibatkan sehingga 40 peratus populasi dalam seumur hidup mereka. Insiden ini biasanya meningkat dengan pertambahan usia. 

“Terdapat banyak faktor risiko yang menyebabkan sakit belakang termasuk obesiti, usia, pekerjaan dan diabetes,” katanya. 

Menurut Dr. Manmohan, biasanya slip disk berlaku kerana herniated disc atau cakera tersepit atau bone spur iaitu tulang yang tumbuh menonjol ke arah luar tubuh yang muncul di tempat pertemuan dua tulang atau persendian. 

Selain itu boleh juga berlaku lumbar stenosis atau penyempitan pada ruas tulang belakang, sehingga menimbulkan tekanan terhadap saraf tulang belakang.

Untuk warga emas mereka biasanya mengalami degenerative disc disease iaitu berlaku kemerosotan tulang dan otot atas faktor penuaan. 
Pesakit biasanya mengalami simptom seperti: 

* sakit yang berpanjangan 
* kesakitan yang amat sangat 
* bertambah sakit apabila duduk 
* kebas 
* sukar menggerakkan kaki  

Biasanya pesakit diberikan pilihan rawatan seperti berehat, perubahan aktiviti, ubat-ubatan, fisioterapi atau pembedahan sebagai jalan terakhir.  

Bagaimanapun apabila bercakap mengenai pembedahan, ramai yang berasa gerun bila memikirkan mengenai pembedahan yang melibatkan luka yang besar, senang mendapat jangkitan kuman menyebabkan luka lambat sembuh. 

Dr. Manmohan berkata, kini teknik pembedahan bertambah canggih dan pesakit tidak perlu menjalani pembedahan yang besar selain tidak perlu tinggal lama di hospital.  

Jika dahulu pembedahan tulang belakang melibatkan pembedahan terbuka yang besar tetapi kini pembedahan tulang belakang hanya melibatkan hanya bukaan sebesar 3 cm. 

Ini akan mengurangkan risiko pendarahan, jangkitan kuman, tidak perlu tinggal lama di hospital dan tempoh pembedahan singkat.  

“Jadi pesakit yang mengalami sakit atau kebas kaki  berpanjangan, mereka perlu datang untuk mendapatkan rawatan pakar kerana tanda-tanda sakit belakang di tulang nombor 1 hingga 5 biasanya melibatkan lemah pada bahagian kaki,” katanya.