Menurut Daftar Diabetes Negara, 80 peratus orang dewasa yang menghidap diabetes jenis 2 ini (kira-kira 17 peratus orang dewasa di negara ini) adalah obes. Bermakna, obes dan diabetes memang saling berhubug kait.

Tetapi, berdasarkan satu kajian yang dijalankan baru-baru ini dan diterbitkan di dalam BMJ Open Diabetes Research & Care, menunjukkan pelan pengurusan diabetes yang betul akan dapat menurunkan berat badan, sekali gus menurunkan paras gula dalam darah.

Kajian yang dilakukan di dalam negara itu menunjukkan, pelan pengurusan diabetes yang mengambil kira budaya dan tingkah laku pesakit seperti bagaimana dia berdiet dan tabiat makan, boleh membantu mencapai matlamat kesihatan yang mereka mahukan.

Menurut Profesor Dr. Winnie Chee dari Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), yang mengetuai kajian ini dan disokong oleh Abbott (syarikat pemakanan dan kesihatan sedunia), pemantauan dijalankan terhadap 230 pesakit diabetes jenis 2 dengan matlamat untuk memahami kesan algoritma (urutan) pemakanan ke atas kesihatan pesakit-pesakit ini.

“Kita membahagikan peserta kepada dua kumpulan, satu menerima diet tersusun, termasuk pelan menu harian, penggunaan formula khusus untuk diabetes sebagai pengganti makanan, kaunseling dan motivasi serta peningkatan aktiviti fizikal.

“Manakala satu kumpulan lagi menerima pelan makanan berkalori rendah yang serupa menggunakan makanan biasa dan senaman yang sama banyak serta perundingan diet biasa,” katanya.

Dr. Winnie menambah, dalam tempoh enam bulan kajian berkenaan dilakukan terhadap pesakit-pesakit, didapati kumpulan yang menerima pelan diet dan gaya hidup tersusun mengalami penurunan berat badan lebih besar (purata 5.8 kilogram), penurunan indeks jisim tubuh (BMI) sebanyak 3 peratus dan pengurangan lemak badan serta pengurangan ukur lilit pinggang.

“Pelan penjagaan yang disesuaikan dengan budaya dan keadaan di Malaysia turut mengambil kira perbezaan dalam gaya hidup dan penyediaan pelan makanan yang disusun rapi untuk pesakit.

“Ini memudahkan proses pesakit membuat keputusan dan menggunakan penggantian makanan bagi mematuhi diet berkalori rendah yang dicadangkan untuk membantu mereka menurunkan berat badan,” jelasnya pada sesi penerangan media, Pelan Makanan Tersusun Bantu Urus Diabetes Jenis 2, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama pada sesi tersebut ialah Ketua Jabatan, Perubatan Umum, Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Hussein; Pengarah Perubatan, Program Klinikal Obesiti, Pusat Diabetes Joslin, Profesor Madya Dr. Osama Hamdy; dan Pengarah Urusan, Abbott Malaysia, Dr. Nina Mohd. Said.

Sebelum ini, sekumpulan doktor dan pakar diet di seluruh dunia termasuk Abbott, telah mencipta algoritma pemakanan dinamakan di dalam komuniti perubatan sebagai algoritma pemakanan khusus untuk pesakit diabetes (IDNA). Ia merangkumi pelan makanan berkalori rendah yang tersusun, penggantian makanan khusus untuk pesakit dan usaha meningkatkan aktiviti fizikal.

“Di negara ini, hanya 80 pesakit diabetes mematuhi pelan diet yang disediakan oleh pakar diet, pastinya ini menyukarkan mereka mencapai sasaran menurunkan berat badan 5 sehingga 10 peratus dalam tempoh enam bulan dan mengurangkan pengambilan jumlah kalori dengan menggabungkan penggantian makanan dan lain-lain.

Pengurusan diabetes rumit

Pengurusan diabetes pesakit boleh menjadi rumit kerana membabitkan diet yang dirancang rapi, aktiviti fizikal dan pemantauan tahap gula secara berkala.

Ketua Jabatan, Perubatan Umum, Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Hussein berkata, berat badan yang berlebihan atau obes memburukkan lagi keadaan kerana ini meningkatkan rintangan kepada tindakan insulin di dalam tisu yang mengakibatkan hiperglisemia, yang menyukarkan usaha untuk merawat pesakit dalam kumpulan ini.

“Diabetes yang tidak dikawal boleh mendatangkan beberapa komplikasi kesihatan jangka pendek dan jangka panjang seperti komplikasi pada mata, saraf, buah pinggang dan jantung. Bagaimanapun dengan amalan diet dam gaya hidup yang tersusun menguruskan diabetes, kita boleh meningkatkan pematuhan pesakit kepada perubahan diet mereka dan menghentikan komplikasi berkaitan penyakit diabetes,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perubatan, Program Klinikal Obesiti, Pusat Diabetes Joslin, Profesor Madya Dr. Osama Hamdy pula berkata, pelaksanaan berkesan pelan penjagaan peribadi yang menerapkan terapi pemakanan perubatan menerusi pelan makanan berkalori rendah dan tersusun, telah menunjukkan kawalan gula yang lebih baik dam menurunkan risiko komplikasi diabetes jenis 2.