Biasanya dia akan menyapu banyak minyak angin bagi melegakan kembung dan angin yang dihidapinya. Kadang-kadang lega dan dia akan kerap sendawa.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, Alia sering mengalami angin dan kembung yang teruk hingga menjadikannya tidak selesa terutama selepas makan.

Dia terasa seolah-olah makanan dalam perut naik semula disertai dengan rasa masam yang memualkan naik ke tekaknya. Setelah menjalani ujian di hospital, baru Alia menyedari bahawa dia mengalami masalah pedih hulu hati kronik yang dikenali sebagai refluks gastroesofagus (gastro-esophageal reflux disease atau GERD).

Apakah Gerd?

Ketika makan, makanan akan disalurkan dari mulut ke perut melalui tiub yang dipanggil esofagus. Pada penghujung esofagus, iaitu sebelum bukaan perut, terdapat satu lingkaran otot yang dikenali sebagai sfinkter esofagus bawah (LES).

Sekiranya fungsi LES terjejas atau otot esofagus menjadi lemah, sfinkter (pencerut) tidak dapat tertutup dengan sempurna. Ini menyebabkan asid dan kandungan yang terdapat di dalam perut naik semula (refluks) ke dalam esofagus.

Asid perut mempunyai pH yang hampir sama dengan asid bateri. Apabila asid perut terkena esofagus dan adakalanya naik semula ke dalam mulut, ia akan menghakis saluran ini dan menyebabkan kesakitan.

Refluks asid menyebabkan rasa sakit seperti terbakar pada dada yang dikenali sebagai pedih hulu hati. Jika gejala refluks asid ini berlaku lebih daripada dua kali seminggu atau jika diiringi dengan kesukaran bernafas atau menelan, mungkin menandakan keadaan lebih serius yang dikenali sebagai GERD.

Gejala-gejala GERD yang lain termasuk rasa masam pada tekak (disebabkan oleh asid perut), kesukaran menelan atau berasa seolah-olah sesuatu tersekat dalam dada atau tekak, pengumpulan angin dalam perut dan sendawa berlebihan.

Malah, sesetengah pesakit mungkin mengalami batuk kering yang kronik atau sesak nafas yang dicetuskan oleh asid refluks asid. Sekiranya asid naik ke dalam mulut, pesakit mungkin mengalami nafas berbau kerana asid ini membunuh bakteria baik dalam mulut. Kerosakan gigi dan gusi juga mungkin berlaku disebabkan kesan asid.

Kekerapan GERD didapati meningkat di seluruh Asia Tenggara sehingga 20 peratus berbanding data yang direkodkan selepas tahun 2005.

Menurut Perunding Perubatan dan Pakar Ganstroenterologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Raja Affendi Raja Ali, ramai rakyat Malaysia yang menderita kerana GERD.

Mereka menganggap ia hanya sebagai kembung atau angin dan bagi melegakan kesakitan ini, mereka membeli sendiri ubat di farmasi.

Katanya, majoriti pesakit tidak menyedari simptom GERD, malah kadang-kadang mereka menyangkakan diserang sakit jantung.

“Bagi memastikan penyakit dan sebelum memberikan rawatan, doktor akan melakukan siasatan terperinci.

“Sebanyak 70 peratus hingga 80 peratus pesakit GERD tidak memerlukan endoskopi. Hanya 20 peratus sahaja yang memerlukan endoskopi dan pemeriksaan lanjut.

“Kebanyakan orang yang mengalami refluks asid atau GERD menganggap keadaan ini berpunca daripada tekanan atau makanan pedas dan berasid.

“Menurut kajian, tekanan bukan punca sebenar GERD, namun ia merupakan salah satu faktor yang boleh memburukkan lagi penyakit tersebut.

“Saintis mendapati bahawa pengeluaran asid perut amat sensitif terhadap keadaan emosi kita. Selain tekanan, obesiti juga merupakan satu lagi faktor pencetus GERD.

“Berat badan yang terkumpul pada bahagian perut akan menekan diafragma dan LES hingga menyebabkan otot-otot LES menjadi longgar,” katanya semasa perbincangan pakar mengenai epidemik GERD di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perbincangan bertajuk Oh My GERD anjuran NuvaPineA itu turut dihadiri Pakar Gastroenterologi dari Melbourne, Australia Dr. Vagif Soultanov.