Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pantau pemberian susu ibu perahan

Penyusuan susu ibu secara terus kepada bayi dapat menghindari 3
Penyusuan susu ibu secara terus kepada bayi dapat menghindari masalah obesiti. - Gambar hiasan

Khasiat dan kepentingan susu ibu buat bayi tidak perlu dinafikan lagi, malah telah menjadi amalan dan galakkan buat golongan ibu untuk menyusukan bayi secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan pertama dan sehingga bayi berusia dua tahun.

Penyusuan bayi secara terus juga semakin diterima berbanding dahulu, malah proses penyusuan susu ibu juga menjadi lebih mudah dengan maklumat, kemudahan serta peralatan yang berkaitan terutama bagi ibu yang bekerja.

Maka tidak hairanlah, jika kita melihat trend golongan ibu memuat naik di laman sosial gambar hasil susu perahan mereka dan disimpan untuk bayi masing-masing sebagai stok ketika mereka kembali bekerja.

Ia seolah-oleh bagi membuktikan bayi mereka bakal menerima bekalan susu yang cukup biarpun ketika bawah jagaan pengasuh.

Pun begitu, apa yang membimbangkan, timbul trend baharu apabila golongan ibu yang bekerja ini lebih ghairah memberi susu ibu perahan atau dikenali expressed breast milk (EBM) sehingga tidak dapat membezakan antara keperluan dan keinginan bayi.

Menurut Pegawai Dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurliyana Naharuddin, pemberian EBM tanpa kawalan boleh menyebabkan berlakunya obesiti dalam kalangan bayi di bawah umur enam bulan, selain berisiko menyebabkan pola pemakanan ke arah obesiti tinggi apabila kanak-kanak itu dewasa.

Ini kerana katanya, secara fitrah pemberian susu ibu secara terus adalah lebih baik berbanding EBM disebabkan beberapa faktor.

Antaranya, pemberian susu secara terus dibuat mengikut kehendak bayi, selain dapat mengekalkan penghasilan susu serta merangsang pengeluaran susu dengan lebih cepat.

“Sejak kebelakangan ini, kita mendapat maklumat daripada klinik kesihatan tentang paten bayi menyusu EBM yang berusia enam bulan ke bawah mengalami obesiti disebabkan pemberian susu secara berlebihan.

“Kebanyakan ibu bapa yang datang membuat pemeriksaan bayi berusia enam bulan mempunyai berat badan sembilan kilogram, sedangkan bayi usia itu perlu mempunyai berat badan enam kilogram sahaja.

“Apabila ditanya, ibu mereka memberitahu hanya memberi susu ibu sahaja dan tidak bercampur susu formula.

“Hasil kajian yang dijalankan, kita mendapati berat badan mereka tidak mengikut graf kerana kebanyakan bayi berkenaan diberi EBM sepenuhnya tanpa disusui secara terus walaupun ketika ibu berada bersama bayi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sembang santai sempena sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2017 anjuran Hospital Pakar An-Nur, di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Ujar Nurliyana lagi, mengikut perkiraan yang betul, ketika umur bayi berusia setahun, berat mereka sepatutnya sekitar sembilan kilogram dan jika berlaku kekurangan atau berlebihan ini menunjukkan ketidakseimbangan dalam proses penyusuan.

Tambahnya, pemberian EBM lazimnya diberi hanya mengikut kehendak bayi sama ada mereka menangis atau merengek seperti mahukan sesuatu, walhal ada ketika mereka tidak semestinya memerlukan susu.

Apa yang penting, ibu perlu mengetahui keperluan susu bayi setiap kali menyusu selain mengambil kira kalori yang diterima bayi dan boleh merujuk doktor untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat.

“Justeru itu, saya menasihatkan ibu memberi susu secara terus kepada bayi sebaik pulang bekerja dan bekerjasama dengan pengasuh untuk memastikan bayi tidak diberi EBM secara berlebihan kerana perkembangan bayi ketika dua tahun pertama amat penting buat mereka,” jelasnya.

Penyusuan terus eratkan hubungan ibu, bayi

Ramai ibu menggunakan alasan terlalu sibuk dengan urusan kerja dan keluarga menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk memberi susu ibu perahan (EBM) kepada bayi walaupun ketika bersama dengan bayi.

Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Maiza Tusimin memberitahu, keadaan tersebut dilihat trend yang tidak sihat memandangkan proses penyusuan secara 
terus merupakan saat buat ibu dan bayi meluangkan masa bersama, selain dapat merangsang pengeluaran susu secara semula 
jadi.

“Setiap ibu dikurniakan kelebihan untuk menyusukan dan mempunyai susu, namun ada kalanya bayi yang dilahirkan mempunyai 
masalah kesihatan lain menyebabkan mereka tidak dapat menyusu.

“Pun begitu, masih ada cara untuk menyusukan mereka secara terus sama ada menggunakan alat khas atau cawan khas.

“Justeru, tiada alasan 
untuk bayi yang sihat lain untuk tidak disusui secara terus oleh ibu mereka.

“Tambahan pula 
golongan ibu ketika ini telah disediakan dengan pelbagai kemudahan untuk memudahkan urusan proses penyusuan,” katanya ketika berkongsi tentang penyusuan ibu bekerjaya.

Ibu bapa dialu-alukan menghantar gambar-gambar swafoto anak-anak berusia bawah 10 tahun ke ruangan ini. Hantarkan ke Instagram: rona.utusanmalaysia atau Facebook: Rona Wanita Utusan Malaysia atau e-mel [email protected]

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan