Pada tahun ini, tema antarabangsanya ialah Wanita dan Diabetes dan sejajar dengan itu, Novo Nordisk ialah salah satu daripada beberapa organisasi yang bekerjasama dengan Hospital Putrajaya dalam inisiatif kesedaran awam untuk mendidik rakyat Malaysia tentang GDM, termasuk mengenal pasti mereka yang menghadapi risiko lebih tinggi, cara menguruskan paras gula darah semasa hamil dan menekankan betapa pentingnya pemeriksaan berkala.

Diabetes ialah kemudaratan kesihatan global yang semakin ketara, serta menjejaskan kehidupan ramai orang setiap hari. Pada hari ini, Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) telah melancarkan Edisi Ke-8 Atlas Diabetes IDF, yang menganggarkan terdapat seramai 425 juta penghidap diabetes di seluruh dunia – bersamaan seorang penghidap dalam 11 orang dewasa.

Dalam kumpulan ini, satu daripada dua dewasa yang menghidap diabetes diandaikan masih belum didiagnos. IDF meramalkan bahawa menjelang 2045, terdapat 629 juta penghidap diabetes, dengan perbelanjaan kesihatan berkaitan yang mencecah lebih USD 776 bilion.

Diabetes mempunyai tahap kelaziman yang tinggi di Malaysia; buat masa ini, 3.6 juta atau 17.5 peratus daripada rakyat Malaysia didiagnos dengan diabetes jenis II, 1.78 juta daripada mereka merupakan wanita. Menurut kaji selidik yang dikendalikan pada 2015, dianggarkan seorang daripada lima dewasa Malaysia akan menghidap diabetes menjelang 2020. Namun bagaimanapun, jumlah yang dilaporkan telah melebihi anggaran tersebut, dan ini jelas menunjukkan pertumbuhan eksponen penyakit tersebut.

Menurut laporan terbaru daripada National Obstetrics Registry (2010), kadar kencing manis yang dihidapi perempuan mengandung adalah 9.9 peratus.

Menurut Dr. Nurain Mohd Noor, Setiausaha Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia & Pakar Perunding Endokrin, Hospital Putrajaya, “GDM dihidapi wanita hanya semasa hamil, tetapi ia membawa risiko jangka panjang untuk diabetes jenis II untuk ibu dan anak. Risiko-risiko utama merangkumi perempuan yang lebih tua semasa mengandung, obesiti, sejarah diabetes dalam keluarga, GDM semasa kehamilan terdahulu, sejarah kematian bayi semasa lahir atau melahirkan bayi dengan kecacatan kongenital”.

“Usaha meningkatkan kesedaran tentang GDM dalam kalangan wanita dan suami mereka adalah amat penting untuk memastikan pengesanan dan pengurusan awal. Wanita yang terdedah kepada faktor risiko GDM hendaklah berunding dengan doktor jika mereka bercadang untuk hamil bagi memastikan mereka mendapat bimbingan dan sokongan untuk menguruskan paras gula darah mereka.” ujar Dr. Nurain.

Kritikal

Bagi Naib Presiden Korporat, rantau BAOS Novo Nordisk, Sebnem Avsar Tuna, “Laporan IDF yang baru menunjukkan bahawa pandemik diabetes terus meningkat bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga mencapai tahap kritikal diperingkat global. Dalam peringatan ulang tahun ke-10 Hari Diabetes Sedunia yang ditetapkan sebagai hari rasmi United Nation, adalah penting kita semua diingatkan mengenai keperluan untuk terus bekerjasama untuk mencegah, mendiagnosis, dan menguruskan diabetes dengan berkesan.

“Kami bangga untuk memberi sokongan kepada Hospital Putrajaya tahun ini sempena Hari Diabetes Sedunia, yang merangkumi ruang maklumat kesedaran awam untuk mendidik orang ramai tentang risiko GDM dan cara mencegah perkembangannya, terutamanya jika anda tergolong dalam kategori yang berisiko.”

Usaha sama ini ialah usaha terbaharu Novo Nordisk untuk meningkatkan kesedaran tentang GDM, termasuk projek campur tangan prakehamilan unik, iaitu ‘Jom Mama’. Ini merupakan inisiatif perkongsian awam-swasta dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan institusi penyelidikan antarabangsa seperti Universiti Southampton, United Kingdom, Universiti Witwatersrand, Afrika Selatan, dan Steno Diabetes Centre, Denmark.

“Jom Mama ialah inisiatif prakehamilan untuk menguji jika campur tangan awal boleh membawa manfaat untuk memberikan permulaan yang sihat kepada ibu dan juga anak,” ujar Avsar Tuna. “Projek ini melibatkan pasangan muda dengan matlamat mendidik mereka untuk meningkatkan kesihatan sebelum hamil sebagai langkah mengurangkan bahaya diabetes gestasi dalam kalangan ibu dan juga diabetes jenis dua dalam generasi akan datang,”.

Bagi Dr. Feisul Idzwan, Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, beliau menekankan kepentingan pencegahan. “Dengan peningkatan kadar insiden diabetes di Malaysia, kita perlu mempercepatkan usaha pencegahan, pemeriksaan risiko awal, dan pengurusan penyakit sesuai.”

“Diabetes menjejaskan orang ramai dalam masyarakat kita dan ia merupakan cabaran jangka panjang. Di Malaysia, 1.8 juta rakyat Malaysia yang menghidap kencing manis tidak didiagnos dan Hari Diabetes Sedunia adalah platform penting untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk kerjasama dalam mewujudkan komitmen orang ramai untuk mempunyai akses penjagaan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai dijemput untuk mempelajari lebih lanjut tentang GDM dengan mengunjungi kios kesedaran penyakit Hospital Putrajaya, yang diadakan di Alamanda Mall pada 18 November 2017.

Selain daripada memberikan maklumat tentang GDM, pemeriksaan diabetes percuma dan beberapa aktiviti fizikal akan disediakan untuk para peserta.