Mereka sendiri tidak pernah terfikir mampu mencapai kejayaan sehingga tahap ini, apatah lagi mewakili negara di persada dunia.

Kemampuan mereka bersaing dengan atlet Orang Kurang Upaya (OKU) negara lain hingga meraih pingat dalam acara masing-masing memberi motivasi kepada atlet paralimpik dan golongan OKU yang lain.

Kejayaan mereka sudah semestinya menjadi pembakar semangat kepada ibu bapa yang memiliki anak-anak istimewa atau OKU lain.

Anak istimewa ialah anugerah Tuhan yang paling berharga. Apa yang perlu dititikberatkan ibu dan bapa ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.

Siapa tahu anak-anak mereka juga mampu mencipta sejarah seperti atlet Paralimpik ini?

Namun sudah tentu timbul pelbagai isu dan cabaran berkaitan penjagaan anak-anak ini. Begitu juga dengan implikasi yang timbul selepas kelahiran anak istimewa ini.

Biarpun melalui fasa-fasa yang berbeza, ibu bapa pasti pada mulanya berasa terkejut. Ada yang tidak dapat menerima keadaan anak mereka di samping perasaan bersalah dan marah. Namun akhirnya reda dengan kurniaan itu.

Justeru, ibu bapa perlu memahami psikologi anak-anak istimewa mereka. Ini kerana persepsi masyarakat terhadap anak istimewa juga berbeza.

Mereka dilihat sebagai liabiliti (beban) dan bukan sebagai aset. Ada sebilangan kecil masyarakat yang berpandangan golongan ini tidak perlu dibantu atau berbuat apa-apa kerana mereka tidak berupaya.

Pakar Psikologi, Profesor Madya Dr. Mariani Md Nor dari Universiti Malaya (UM) menyarankan ibu bapa mahupun penjaga OKU agar menyelami hati golongan itu. Maknanya, tidak cukup sekadar bersimpati tetapi empati itu sangat perlu.

“Oleh sebab kurang pemahaman atau pendedahan berkenaan pengurusan OKU, sebilangan kecil ibu bapa atau penjaga merasakan anak OKU merupakan satu bebanan.

“Pengabaian juga menyebabkan OKU tiada jaminan masa depan sekali gus menafikan hak mereka untuk terus mendapatkan keistimewaan yang sepatutnya diperoleh,” katanya.

Tambah Dr. Mariani, sebelum ibu bapa dapat menjaga anak-anak istimewa dengan baik, mereka perlu menangani isu-isu dan cabaran yang mereka bakal hadapi secara berkesan.

Ini termasuklah peranan mereka untuk terus memberikan anak-anak istimewa ini kasih sayang, kesabaran dan interaksi. Beri peluang anak untuk berinteraksi dengan masyarakat.

Lebih baik, anak-anak ini didaftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri-negeri dan dapatkan kad OKU serta beri peluang anak ke sekolah dengan menjalani program pendidikan khas.

Katanya, ada pandangan tipikal terhadap anak-anak dalam kategori OKU apabila mereka dipandang pelik dan sinis dengan tingkah laku yang berbeza dengan kanak-kanak normal.

Oleh itu, kanak-kanak OKU ini akan menunjukkan emosi mereka dengan cara memberontak, tidak mendengar cakap, malah langsung tidak mempedulikan keadaan sekeliling kerana mahu bertindak balas terhadap pandangan berbeza kepada mereka.

“Dalam konteks ini, mereka sebenarnya memerlukan penerimaan daripada orang sekeliling dan mahu dilayan seperti orang normal. Ibu bapa juga perlu memastikan keperluan anak-anak ini dijaga kerana ada segelintir daripada mereka tidak dapat menerima hakikat mempunyai anak OKU lalu membiarkan sahaja mereka terlantar tanpa melakukan apa-apa.

“Kanak-kanak OKU mempunyai potensi di dalam diri cuma tidak diberikan peluang sewajarnya,” jelasnya.