Apabila saya meminta beliau membuka mulut, saya lihat lidahnya bengkak besar dan merah dengan kawasan bawah lidahnya menggelembung.

Ada objek lain yang tertangkap pada mata saya, lidah beliau ditindik dan anting-anting pada lidah tersebut dipenuhi tahi gigi dan karang gigi serta keliling anting-anting tersebut mukosa lidahnya merah dan bernanah. Hati saya menjerit “Ludwig’s Angina!”. Pesakit tersebut segera saya rujuk ke hospital untuk mendapat rawatan kecemasan yang perlu.

Ludwig’s Angina ialah infeksi bakteria di dalam mulut yang serius. Nama Ludwig’s Angina khusus menerangkan tentang infeksi bakteria di kawasan lantai mulut di bawah lidah.

Seringnya jangkitan bakteria ini berlaku selepas infeksi atau abses gigi yang tidak terkawal, namun ada juga keadaan di mana infeksi mulut di kawasan lain boleh menyebabkan Ludwig’s Angina tercetus. Ia adalah infeksi yang jarang berlaku, namun bila ia terjadi, ia lebih sering berlaku pada orang dewasa berbanding kanak-kanak.

Bakteria yang menjadi punca berlaku Ludwig’s Angina ialah bakteria Streptococcus dan Staphylococcus. Seperti yang saya sebut tadi, punca berlaku Ludwig’s Angina selalunya berikutan daripada bengkak atau abses gigi, namun ada juga keadaan lain di mana kita perlu berhati-hati yang boleh menyebabkan tercetusnya Ludwig’s Angina ini. Di antaranya ialah keadaan kebersihan mulut yang tidak terjaga dengan plak dan karang gigi yang tebal boleh menyebabkan gigi bengkak bernanah serta kecederaan atau lecetan pada mukosa mulut yang terinfeksi dan dibiarkan berlarutan.

Tanda-tanda seseorang mungkin mengalami Ludwig’s Angina ialah kawasan bawah lidah menjadi sakit dan tidak boleh disentuh, lidah terangkat dan menutupi kaviti mulut lalu menyentuh lelangit, kesukaran dan sakit ketika menelan air liur, air liur meleleh keluar dari mulut, sukar bertutur, leher menjadi sakit, merah dan bengkak.

Dalam keadaan lebih serius, seseorang akan mengalami demam, lemah anggota badan, keletihan ekstrim, tubuh berasa seram sejuk dan kemungkinan mengalami kebingungan.

Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, seseorang akan berasa sakit dada dan sukar bernafas.

Tajuk saya “maut kerana sakit gigi” saya tekankan kerana, keadaan di atas jika dibiarkan tanpa rawatan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti sekatan saluran pernafasan hingga seseorang langsung tidak dapat mengambil udara dan juga sepsis di mana infeksi bakteria memasuki saluran darah dan boleh menyebabkan septic shock. Dua keaadaan ini boleh meragut nyawa.

Rawatan

Mungkin anda semua rasa takut dan seram dengan apa yang saya tuturkan tadi, namun sekejam Ludwig’s Angina, ia boleh dirawat dan pesakit boleh sembuh sepenuhnya dengan rawatan yang tepat dan cepat.

Jika anda mengalami simptom seperti yang saya ceritakan tadi, segeralah ke hospital berjumpa doktor atau doktor gigi anda dan mereka akan memberikan rawatan atau rujukan pakar yang sepatutnya.

Biasanya kami, sebagai perawat akan mengambil tanda seperti kemerahan dan bengkak pada kawasan leher, lidah yang bengkak dan terangkat, bengkak besar di kawasan bawah lidah hingga menyebabkan perletakan lidah pesakit teralih, sukar menelan dan bercakap sebagai salah satu tanda lampu merah Ludwig’s angina.

Pesakit yang datang ke klinik akan segera dirujuk ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan sewajarnya bagi memastikan laluan udara sentiasa terbuka dan pesakit boleh bernafas. Wajarnya setelah doktor mengenalpasti jenis bakteria yang menyebabkan infeksi, pemberian antibiotik intravenous dimulakan untuk memerangi bakteria.

Dalam keadaan infeksi Ludwig’s Angina yang serius, pembedahan kecil mungkin perlu dilakukan untuk mengeluarkan nanah atau bendalir badan yang menyebabkan bengkak di bawah lidah tersebut.

Ludwig’s Angina selalunya reda selepas empat hari rawatan antibiotik dan pesakit lazimnya sembuh sepenuhnya dalam masa seminggu. Rawatan susulan untuk punca jangkitan adalah amat perlu bagi mengelakkan jangkitan berulang. Jika infeksi gigi menjadi punca, gigi tersebut perlu dirawat sepenuhnya.

Langkah mudah boleh di ambil untuk mengelakkan kejadian Ludwig’s Angina seperti mengamalkan penjagaan kebersihan gigi yang optimum, sentiasa mendapatkan pemeriksaan gigi dan rawatan gigi berkala iaitu enam bulan sekali dan paling penting mendapatkan rawatan segera jika anda berasa sakit, bengkak atau tidak selesa pada gigi atau mulut.

Kesihatan adalah anugerah Allah yang paling besar, yang paling berharga. Kadang-kala dalam kesibukan kerja dan tanggungjawab dunia, kita lupa bahawa cakna tentang kesihatan tubuh sendiri adalah tanggungjawab kita juga.