Namun, hasil Tinjau Selidik Tabiat Seks Global oleh Pfizer mendapati bahawa golongan lelaki sebenarnya memang merancang lebih awal untuk melakukan hubungan seks. Sesuatu yang lebih mengejutkan, ialah mereka merancang berjam-jam lebih awal.

Pakar Runding Urologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Zulkifli Md. Zainuddin berkata, hasil tinjau selidik peringkat global itu menunjukkan bahawa lelaki tidak semestinya mahu mengadakan hubungan seks secara spontan.

Sebaliknya, beliau berkata, golongan lelaki suka merancang hubungan dan mengetahui lebih awal apa yang dikehendaki.

Malah tidak menghairankan bahawa 83 peratus daripada pengguna ubat disfungsi erektil (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, sentiasa atau kadangkala merancang lebih awal untuk melakukan hubungan seks pada masa tertentu.

Bukan itu sahaja, masa juga memainkan peranan penting dari segi perancangan kerana tujuh daripada 10 (70 peratus) lelaki lazimnya melakukan hubungan seks dalam tempoh sejam selepas mengambil dos ubat dan hampir semua lelaki (96 peratus) melakukannya dalam tempoh empat jam selepas mengambil dos ubat.

Katanya, memandangkan hubungan seks memang menjadi lumrah hidup suami isteri, orang ramai seharusnya lebih bersikap terbuka untuk membincangkan topik ini terutama dari sudut prestasi seks.

“Salah satu masalah berkaitan seks yang dialami lelaki yang menjejaskan hubungan intim yang sihat ialah ED.

“Bagaimanapun, ED dianggap sebagai topik perbualan yang sangat sensitif oleh golongan lelaki tidak kira sama ada mereka sudah berkahwin, bujang atau berpacaran.

“Lelaki agak keberatan untuk membincangkan isu peribadi masing-masing. Ini bermakna ramai di antara mereka yang menderita dalam diam.

“Penderitaan ini mungkin menimbulkan tekanan dan keresahan kerana mereka tidak dapat mencapai prestasi yang dikehendaki yang seterusnya mempengaruhi emosi dan keyakinan diri,” katanya ketika membentangkan hasil Tinjau Selidik Tabiat Seks Global anjuran Pfizer di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr. Zulkifli berkata, apa yang kurang difahami ramai lelaki dan segelintir wanita ialah ED bukan penanda aras nafsu seks lelaki.

Sebaliknya, masalah tersebut lazimnya disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kerisauan untuk berasmara, kemurungan, hilang keyakinan, keraguan, rasa malu atau negatif terhadap badan atau jangkaan kurang realistik tentang prestasi seks.

Katanya, keresahan dan kemurungan yang dialami golongan lelaki boleh memberikan kesan secara langsung terhadap hubungan mereka dengan isteri, sehingga mungkin menyebabkan keretakan rumah tangga.

“Dalam banyak kes, lelaki tiada saluran untuk meluahkan kebimbangan, menyebabkan mereka terjebak dalam kegiatan negatif atau menjauhkan diri dari segi emosi dan fizikal daripada pasangan.

“Mereka bimbang sebarang keintiman fizikal mungkin menimbulkan permintaan atau keinginan untuk hubungan asmara pada pasangan, secara tidak langsung mengingatkan mereka tentang kegagalan mencapai ereksi,” katanya.

Tambah Dr. Zulkifli, pada umumnya, wujud salah tanggapan bahawa ED hanya mempengaruhi lelaki sahaja.

Apa yang sering tidak disedari oleh ramai orang ialah masalah itu juga amat mempengaruhi wanita atau isteri, yang turut memerlukan sokongan dan kefahaman daripada suami atau lelaki.

Cara terbaik untuk mengatasinya ialah menerusi perbincangan terbuka. Malah, kajian Pfizer turut mendapati bahawa terdapat keperluan untuk suami isteri berbincang secara terbuka tentang ED.

“Mereka perlu menyatakan keperluan seks masing-masing dan keupayaan untuk melakukan hubungan.

“Komunikasi terbuka mengurangkan tekanan terhadap satu sama lain dan membolehkan suami-isteri merancang saat-saat intim bersama yang memuaskan.

“Disebabkan topik ED tidak dibincangkan dan diterima secara terbuka, lelaki sering merasakan bahawa mereka keseorangan menghadapi masalah ini.

“Sedangkan, kajian mendapati bahawa kira-kira seorang daripada setiap 10 lelaki mengalami masalah berkaitan seks seperti ED tanpa mengira usia,” katanya.

Apa pun, buat permulaan, kaum lelaki perlu berani untuk berbincang tentang ED. Ini bagi memberikan kebebasan kepada mereka agar akur dan menerima hakikat bahawa mereka menghidap ED.

Selepas itu, mereka boleh bersuara dan mendapatkan bantuan daripada doktor untuk mengatasi masalah tersebut.