Sedangkan, rakannya itu adalah seorang yang periang, tetapi disebabkan terbeban dengan tekanan yang dihadapi sepanjang pengajian, wanita itu mengambil keputusan tidak meneruskan pengajian dan terpaksa mengorbankan cita-cita untuk membawa pulang gelaran doktor.

“Pada awalnya, kawan saya itu sendiri tidak tahu dia mempunyai masalah kemurungan sehinggalah dia jatuh pengsan di fakulti. Apabila dihantar ke hospital, doktor telah mengesahkan dia menghidap masalah kemurungan serius.

“Selama ini saya hanya mendengar orang bercakap tentang kemurungan dan tidak serius untuk mengambil tahu tentang masalah tersebut sehinggalah apa yang berlaku kepada rakan saya. Itulah kali pertama saya berhadapan dengan individu yang mengalami masalah kemurungan” katanya ketika ditemui Mega Rona baru-baru ini.

Suet Yan berkata, beliau tidak menyangka penyakit ini boleh menyebabkan seseorang itu berubah sekelip mata daripada seorang yang cemerlang dan berkeyakinan tinggi kepada seorang yang negatif.

Menurutnya, beliau ada menerima satu artikel tentang kajian kecenderungan pelajar PhD terjejas dengan masalah kemurungan yang mana kajian itu mendedahkan satu daripada tiga orang pelajar didiagnos dengan masalah mental tersebut.

“Agak mengejutkan mendengar berita sedemikian dan sejak itu saya mula berfikir bagaimana untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut dengan kepakaran yang dimiliki.

“Dari situ saya mendapat idea untuk membuat kajian membangunkan sebuah sistem yang mampu mengesan kemurungan awal melalui media sosial. Ini memandangkan generasi sekarang menjadikan media sosial sebagai perantara komunikasi utama dalam hidup mereka,” katanya.

Suet Yan adalah salah seorang saintis yang menerima anugerah L’Oreal-UNESCO For Women in Science Fellowship sebagai pengiktirafan kepada sumbangan saintis wanita membangunkan negara melalui penghasilan inovasi.

Beliau juga adalah pensyarah kanan di Fakulti Sains Komputer di Universiti Sains Malaysia (USM).

Mendapat geran sebanyak RM30,000 untuk digunakan bagi meneruskan kajiannya, dia berusaha membina sebuah sistem yang dapat mengesan tanda-tanda kemurungan dengan menganalisis corak-corak emosi di media sosial, diharap dapat membantu individu lebih peka dengan emosi mereka seterusnya menggalakkan diagnosis dan rawatan awal dilakukan.

Meskipun perlu melangkau sempadan disiplin dalam kariernya, memandangkan sistem yang dibangunkan berkait rapat dengan bidang kesihatan, wanita berumur 32 tahun itu tidak menjadikannya sebagai alasan untuk mengalah awal.

Malah, dijadikan sebagai cabaran untuk dia berusaha keras merealisasikan impian membantu lebih ramai orang melalui inovasi yang bakal dicipta nanti.

Menurut Suet Yan, beliau akan bekerjasama dengan mereka yang pakar dalam bidang kesihatan mental untuk mengkaji corak-corak emosi melalui media sosial dalam bentuk penulisan, tweets atau posting yang mengandungi isyarat emosi yang boleh dikenal pasti untuk mengesan tanda-tanda kemurungan.

“Dengan kajian ini, saya juga akan membangunkan pengesan emosi automatik yang secara tidak langsung dapat memantau keadaan emosi seseorang untuk mencetuskan amaran dan strategi yang relevan bagi mengawal emosi apabila tanda kemurungan disahkan.

“Mencegah kemurungan adalah amat penting untuk meningkatkan kualiti hidup, mengurangkan kadar bunuh diri dan mengurangkan beban penyakit mental dalam kalangan masyarakat di negara ini,” katanya.

Berbangga kerana diberikan penghormatan untuk menerima anugerah tersebut, Suet Yan mahu memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita Malaysia agar memilih sains sebagai kerjaya yang dilihat semakin berkurang dalam kalangan pelajar.

Beliau tidak menafikan, bidang yang diceburi dianggap sebagai bidang didominasi lelaki, namun kerana minat yang begitu mendalam dalam sains komputer, dia mahu membuktikan bahawa jantina bukan penghalang untuk mencipta inovasi-inovasi baharu yang boleh menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik.