Bagaimanapun gaya hidup terkini yang lebih kepada sedentari- tidak banyak bergerak dan kurang melakukan aktiviti fizikal. 

Ini berikutan  kekerapan penggunaan telefon pintar atau komputer yang menyumbang kepada pembentukan lemak di sekitar perut dan pinggang. 

Secara asas, lemak visceral terletak jauh di bawah kulit dan  disimpan di rongga perut mengelilingi organ seperti hati, pankreas dan usus bagi memastikan jarak antara organ dalaman. Kajian menunjukkan lemak viseral berlebihan meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit seperti diabetes Jenis 2, penyakit jantung, darah tinggi, strok dan kanser.

Perut buncit dan ukuran pinggang besar melebihi 80 sentimeter bagi wanita dan 94 sentimeter bagi lelaki menandakan tanda-tanda lemak viseral semakin bertimbun. Bagaimanapun, mereka yang kurus juga boleh mengalami masalah lemak viseral berlebihan.

Malangnya, lemak viseral  terkumpul di sekitar perut dan pinggang sukar dilupuskan walau telah melakukan banyak senaman dan menjaga pemakanan. Namun hasilnya terhad dan tidak seperti diharapkan.

Pakar Perubatan Estetik Premier Clinic, Kuala Lumpur Dr. Nigel Ong berkata, masalah lemak degil walaupun pelbagai usaha telah dilakukan secara tidak langsung mampu memberi tekanan kerana pada masa sama lebihan lemak turut mempengaruhi penampilan sehingga menjejaskan keyakinan diri.

“Biasanya bilangan sel lemak akan kekal sama apabila seseorang mencapai usia baligh. Sel lemak tidak akan bertambah tetapi mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat, sel lemak akan bertimbun dan membesar walaupun bilangannya tidak bertambah. 

“Ini antara sebab mengapa kebanyakan kita menghadapi masalah membuang lemak biarpun melakukan pelbagai jenis senaman sama ada ringan atau berat termasuk mengawal pemakanan. Menyingkirkan lebihan lemak yang semakin bertimbun dan menebal bukan saja di sekitar perut dan pinggang, malah bahagian lain seperti bawah lengan dan paha, bukanlah satu tugas mudah.

“Oleh itu, ramai yang memilih menjalani pembedahan pembuangan lemak, tetapi rawatan ini boleh dikatakan berbahaya, selain tidak sesuai bagi yang menghidap masalah kesihatan.

“Kini sudah ada prosedur mudah tanpa pembedahan berhasil menyingkirkan lemak degil daripada tubuh dengan teknologi Clatuu yang menggunakan kaedah membekukan lemak dinamakan cryolipolysis. Teknik ini adalah alternatif selamat berbanding pembedahan bagi membentuk tubuh menerusi suhu sejuk untuk membekukan sel lemak degil tanpa menjejaskan tisu lain di sekelilingnya,” katanya.

Dr. Ong berkata, selepas sel lemak membeku proses pemecahan (apoptosis) akan memusnahkan sel lemak terbabit dan tubuh akan menyingkirkannya secara semula jadi menerusi proses metabolisme dalam tempoh enam hingga 12 minggu, seterusnya mengurangkan ketebalan lapisan lemak serta memberi kesan pengurangan ketara dengan memberikan bentuk badan yang diinginkan.

“Kaedah ini hanya membekukan lemak berlebihan pada bahagian sasaran. Doktor akan melukis dan menandakan bahagian tubuh berlemak yang disasarkan sebelum meletakkan satu kepingan gel di bahagian berkenaan. Selepas itu doktor akan meletakkan alat untuk membekukan lemak di kawasan sasaran.

“Ketika proses pembekuan, mereka yang menjalani rawatan boleh berbaring santai sambil membaca, menonton mahupun tidur sementara mesin estetik menjalankan tugasnya bagi tempoh 40 hingga 60 minit.

“Rawatan ini tiada komplikasi serius tetapi hanya ketidakselesaan seperti bahagian yang disasarkan mungkin mengalami sedikit bengkak, lebam, kemerahan serta rasa pedih tetapi bersifat sementara kesan proses pembekuan. 

“Bagaimanapun kesan sampingan mungkin berbeza bergantung kepada pesakit,” katanya.

Dr. Ong menegaskan kaedah berkenaan bukan satu prosedur mengurangkan berat badan, sebaliknya hanya menyingkirkan lemak berlebihan di kawasan sasaran seperti perut, paha dan lengan bagi memberikan bentuk badan.

“Ada perbezaan  antara mengurangkan berat badan dan mengurangkan jumlah lemak. Bilangan sel lemak dalam badan kita lazimnya tetap walaupun berat badan bertambah atau berkurang. Tetapi, saiznya saja berubah, ia membesar apabila kita menambah berat badan dan mengecil apabila kita mengurangkan berat badan.

“Prosedur menyingkir lemak Clatuu menghapuskan sel lemak sehingga 25 peratus sebelum sel lemak mati dibuang secara semula jadi. Selain perut, mendapan lemak yang berada di sekitar lengan, pinggul, punggung dan paha boleh dirawat dengan berkesan dan selamat menggunakan teknologi ini.

“Selepas rawatan, bagi mendapatkan hasil memuaskan, mereka yang menjalani kaedah ini dinasihatkan menjalani gaya hidup sihat dengan bersenam dan menjaga pemakanan termasuk minum banyak air supaya anda mendapat bentuk badan diidamkan,” katanya.