Sambil mengakui menyedari mengenai peningkatan kes jangkitan virus berkenaan, Mente­rinya, Dr. Dzulkefly Ahmad turut mengesahkan orang Melayu pa­ling ramai dijangkiti virus HIV sepanjang tahun lepas seperti dilaporkan Mingguan Malaysia hari ini.

“Apa yang dilaporkan media (Mingguan Malaysia) hari ini berada dalam pengetahuan kami,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat berhubung kelewatan dewan bedah Hospital Pulau Pinang (HPP) di­siapkan mengikut jadual.

Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusif hari ini melaporkan orang Melayu paling ramai menghidap HIV pada tahun lepas dengan jumlahnya mencecah 1,800 kes berbanding 725 (Cina) dan 240 kaum India.

Laporan itu juga menyebut, jumlah berkenaan mewakili 54 peratus daripada keseluruhan 3,347 penghidap yang dikesan.

Sementara itu, Dzulkefly ber­kata, beliau tidak mempunyai maklumat berhubung kewujudan pihak tertentu cuba ‘menyembunyikan’ laporan polis yang dibuat dua doktor pelatih yang didakwa menjadi mangsa gangguan sek­sual oleh pegawai kanan perubatan di sebuah hospital di ibu negara.

Katanya, kementerian telah menubuhkan jawatankuasa khas dan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menyiasat kes berkenaan dan dijangka bermesyuarat minggu depan.

Berhubung isu kelewatan projek pembinaan dewan bedah di HPP, Dzulkefly berkata perkara berkenaan berpunca daripada kelemahan kontraktor.

“Bagaimanapun selepas ber­mesyuarat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) tadi, kita bersetuju untuk melanjutkan masa kepada pihak terlibat untuk meneruskan kerja mereka sehingga selesai mengikut masa ditetapkan,” katanya.