Jika anda meletakkan tangan pada perut semasa ia berlaku, anda boleh merasa betapa ia keras pada saat itu. Setiap pengecutan hanyalah untuk setengah minit sahaja dan barangkali anda berasa tidak selesa. Anda mungkin mengalami kontraksi ini satu atau dua kali dalam satu jam, pada masa-masa tertentu dalam sehari.

Tanda-tanda kontraksi Braxton Hicks

Kontraksi Braxton Hicks mungkin petanda yang rahim anda sedang melatih serat-serat ototnya. Mungkin kontraksi itu adalah cara rahim anda mengajar dan bersedia untuk bekerja keras bila tiba masa bersalin. Ada pakar berpendapat bahawa kontraksi-kontraksi mempengaruhi serviks anda. Pada peringkat awal kelahiran, serviks mula memendek dan menjadi lebih lembut sebagai persediaan untuk mengembang bagi menyenangkan perjalanan bayi.

Jadi mungkin kontraksi Braxton Hicks adalah cara serviks dilatih bagi peringkat ini. Ada juga percaya bahawa kontraksi Braxton Hicks tidak membawa perubahan kepada serviks dan perubahan hanya berlaku semasa prakelahiran, apabila kontraksi yang berkoordinasi bermula atau semasa proses kelahiran itu sendiri.

Perbezaan antara Braxton Hicks dan kontraksi kelahiran sebenar

Memang ada perbezaan antara kontraksi Braxton Hicks dan kontraksi kelahiran sebenar.

Kontraksi Braxton Hicks biasanya tidak melebihi satu atau dua kali dalam masa sejam, mungkin dialami beberapa kali sehari. Ia lazimnya berhenti bila anda bertukar aktiviti, biasanya tidak teratur atau regular. Keadaan ini juga tidak bertahan lama, biasanya kurang satu minit, tidak beritma dan tidak bertambah intensiti. Berbanding kontraksi Braxton Hicks, kontraksi sebenar bertahan lama, lebih teratur, lebih kerap, lebih menyakitkan, lebih panjang dan lebih berkala.

Berbeza

Anda mungkin juga mengalami sakit kelahiran palsu. Ini berlaku bila kontraksi Braxton Hicks lebih beritma iaitu mungkin setiap 10 hingga 20 minit pada peringkat terakhir kehamilan. Mungkin sukar bagi anda membezakan antara sakit kelahiran palsu dengan yang benar terutamanya jika keregangan rahim yang dialami sungguh tidak selesa. Tetapi, sakit kelahiran palsu tidak membawa sebarang perubahan pada serviks. Doktor anda boleh membuat pemeriksaan untuk menentukan sama ada ia kelahiran palsu atau sebenar.

Bagaimanapun, jika anda merasakan kontraksi menjadi reda dengan cara apa pun, kemungkinan besar keadaan ini adalah Braxton Hicks. Anda perlu berjumpa doktor, jika hamil kurang 37 minggu tetapi mengalami kontraksi, lelehan yang melekit dan berdarah, sakit pinggang atau kekejangan. Ini tanda-tanda anda sedang mengalami kelahiran bayi pramatang.