“Rashid, anda telah mengalami serangan jantung, kolestrol anda juga berada di paras yang tinggi,” jelas doktor.

Orang seperti Rashid menjalani kehidupan harian tanpa menyedari bahawa mereka berisiko mempunyai kolesterol tinggi dan bakal diserang penyakit jantung. Lebih membimbangkan, Rashid beranggapan kolestreol dalam badannya stabil kerana dia tidak obesiti dan masih muda. Namun, dia terlupa, gaya hidupnya yang tidak sihat mungkin menjadi faktor terbesar penyakitnya.

Apabila bercerita mengenai kolesterol, biasanya hanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas, berbadan gemuk atau berisi dikatakan akan berdepan dengan masalah ini. Bagaimanapun tanggapan itu sebenarnya memang salah. Kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah tidak bergantung kepada usia dan saiz badan seseorang. Jadi tidak pelik jika seorang yang muda dan kurus mempunyai paras kolesterol yang tinggi.

Pakar Kardiologi Gleneagles Ho​spital Kuala Lumpur, Dr. Nik Halmey Nik Zainal Abidin berkata, kolesterol tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia berada dalam saluran darah.

“Kolesterol ialah satu molekul yang terlibat dalam metabolisma dan penyerapan lemak daripada usus. Ia juga terlibat dalam sintesis hormon, vitamin dan hempedu. 70 peratus daripada kolesterol dihasilkan sendiri oleh hati dan yang selebihnya datang daripada pemakanan,” katanya.

Tambah beliau, kolesterol jahat iaitu LDL akan membuatkan pembuluh darah tersumbat manakala HDL akan membawa kolesterol ke pembuluh darah untuk dibawa ke hati dan seterusnya akan dikeluarkan dari tubuh.

Sehubungan itu katanya, seseorang itu perlu menjaga tahap kolesterol di dalam darah supaya berada keadaan terkawal.

Dr. Nik Halmey memberitahu, ini penting kerana kolesterol tinggi akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit jantung atau strok yang merupakan antara pembunuh utama kepada rakyat negara ini.

“Ini yang menjadi pokok pangkal mengapa kolesterol jahat terutama sekali LDL kolesterol perlu dikurangkan. Ada hubungan “intim” antara LDL kolesterol dengan penyakit jantung dan strok, dan yang menjadi penghubungnya ialah atherosclerosis.

“Atherosclerosis ialah proses berlakunya penebalan dan penyempitan di dalam sistem urat darah. Proses ini bermula secara “kecil-kecilan” semasa umur yang muda lagi. Ujian bedah mayat ke atas mangsa kemalangan semuda 20 tahun menunjukkan bahawa aorta (urat darah utama) mereka sudah mula menjalani proses atherosclerosis, kerana ditemui coretan berlemak (fatty streak),” jelasnya.

Dr. Nik Halmey memberitahu, dalam proses atherosclerosis ini, kolesterol LDL menusuk masuk ke dalam dinding urat darah. Proses ini dipercepatkan sekiranya seseorang itu juga ada faktor lain seperti tekanan darah tinggi, menghisap rokok, kencing manis dan unsur-unsur genetik atau keturunan. Semua faktor ini merosakkan fungsi dinding urat darah dan memudahkan pergerakan LDL.

Apabila LDL masuk ke dalam daerah dinding urat darah, ia akan dibaham oleh sel darah putih makrofaj dan akan dikumpulkan ke satu “kolam lipid”. Kolam ini semakin membesar sehingga menyebabkan penyempitan urat darah, dan satu kompleks sel dan kolesterol yang dinamakan plak (plaque) . Sekiranya plak ini sudah cukup besar dan menyempitkan pengaliran darah, maka ini akan membawa simptom seperti sakit dada (angina).

Apabila berlakunya keretakan plak, pengaliran darah akan terganggu secara tiba-tiba dek kandungan plak yang terjurumus ke dalam kawasan pengaliran darah.

Tindak balas yang sangat akut akan terjadi dan satu gumpalan darah beku akan terjadi yang boleh menutup langsung pengaliran urat darah. Ini boleh membawa kepada serangan jantung.

Mengulas tentang peningkatan golongan yang mempunyai kolestrol tinggi hingga menyebabkan risiko diserang penyakit kardiovaskular meningkat, Dr. Nik Halmey memberitahu, banyak punca yang boleh dikaitkan tetapi faktor utama ialah cara hidup yang kurang sihat.

“Bandingkan sahaja kehidupan kita sekarang dengan era tahun 1960-an atau 1970-an. Sekarang ini kita makan lebih banyak, kita bersenam kurang dan tahap tekanan hidup (stress) juga semakin menjadi-jadi. Kalau dahulu kita naik basikal dan berjalan-jalan, sekarang kita kesana-kemari dengan kenderaan. Kalau dulu anak-anak kita bermain di sungai dan bendang, sekarang semuanya bermain permainan video sahaja. Saya boleh simpulkan, kolesktrol boleh menyerang orang ramai tanpa mengira usia dan saiz badan,” katanya.

Berkenaan dengan rawatan kolesterol, ada dua fasa iaitu pencegahan sebelum penyakit kardiovaskular “mengisytiharkan” dirinya. Ini kita panggil pencegahan utama (primary prevention). Yang kedua, ialah pencegahan selepas berlakunya penyakit, seperti sakit jantung atau strok. Ini dipanggil pencegahan pencegahan sekunder (secondary prevention). Penurunan tahap kolesterol boleh dicapai menggunakan pengawalan pemakanan dan ubat-ubatan.

Penyumbang terhadap serangan jantung dan strok

• Kolesterol

• Tekanan darah tinggi (hypertension)

• Menghisap rokok

• Kencing manis dan faktor keturunan (sejarah keluarga terdekat yang mengalami sakit jantung atau strok sebelum umur 60 tahun)

• Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati 9.6 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mempunyai paras kolesterol yang tinggi dalam darah.

• Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, 94 peratus rakyat di negara ini tidak makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi dalam setiap hidangan mereka.

• Data daripada Ncvd-Acs (Pangkalan Data Kardiovaskular Kebangsaan-Sindrom Koronari) menunjukkan bahawa umur purata kali pertama pesakit di Malaysia menampilkan diri dengan sakit jantung ialah 58.5 tahun, lebih muda daripada di negara jiran seperti Thailand (63.5 tahun) dan Singapura (68.3-69.2 tahun).

• Kelaziman (prevalence) faktor risiko adalah amat membimbangkan. Data daripada NHMS (Banci Kesihatan Dan Kesakitan Kebangsaan 2015) menunjukkan bahawa:

  • Lebih 60 peratus a terlebih berat (overweight) atau obes (obese).
  • 59 peratus lelaki berumur 21-30 tahun adalah menghisap rokok.
  • 43.5 peratus lelaki dan 52.25 wanita menghidap klolesterol tinggi.
  • 30.8 peratus lelaki dan 29.7 peratus wanita mengidap penyakit darah tinggi.

• Kempen kesihatan mencegah kolesterol ini dibawakan oleh Anugerah Wellness.