Dalam menangani kebimbangan ini, perubatan moden berjaya mengubah persepsi seseorang mengenai pembedahan. Kebimbangan dibedah pada hari ini tidak sama lagi dengan pembedahan pada masa lalu.

Prosedur perubatan secara umumnya dibahagi kepada dua kumpulan, iaitu pembedahan atau tanpa pembedahan.

Prosedur tanpa pembedahan menjadi pilihan kerana tidak melukakan kulit, hanya melibatkan pemeriksaan fizikal diagnostik dan kajian sinar-x. Manakala prosedur pembedahan termasuk melukakan kulit bagi mengetahui punca kepada masalah.

Kadangkala prosedur pembedahan adalah pilihan walaupun bukan semestinya.

Bagaimanapun, dalam banyak kes, prosedur pembedahan adalah pilihan terakhir dan merupakan perbezaan antara hidup dan mati.

Pada hari ini, terdapat dua jenis pembedahan bagi kebanyakan prosedur, iaitu pembedahan tradisional dan pembedahan invasif minimum (MIS).

Prosedur ini telah mula dilakukan sejak beberapa dekad lalu. Ia menggunakan peralatan khusus dan trocars yang bertindak sebagai ‘pintu keselamatan’, yang membolehkan pakar bedah mengakses ke bahagian abdomen.

Malangnya, di negara ini tidak ramai pesakit yang mengetahui mengenai pilihan bagi prosedur pembedahan.

Memahami situasi tersebut, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur kini dalam usaha menggalakkan pesakit memilih cara pembedahan yang lebih mudah dan cepat sembuh.

Dengan memberikan pengetahuan kepada orang ramai mengenai pilihan akan prosedur pembedahan, diharapkan orang ramai tidak takut lagi kepada pembedahan dan melihat pembedahan sebagai pilihan praktikal dan bukannya pilihan terakhir.

Di antara prosedur biasa yang dilakukan melalui MIS ialah endoskopi, laparoskopi (di sekitar abdomen dan pelvis) dan arthroskopi (sekitar tulang dan sendi).

Pakar bedah Kolorektal dan Laparoskopi, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Paul Selvindoss berkata, banyak kepakaran dan latihan perlu dilakukan sebelum melakukan MIS.

“Pembedahan MIS sangat berbeza daripada pembedahan terbuka. Kami hanya perlu memasukkan skop ke dalam bahagian yang hendak dibedah dengan menggunakan peralatan yang sedikit serta hirisan yang kecil sahaja.

“Dari situ, kami melakukan pembedahan yang diperlukan. Pembedahan ini hanya mengambil masa yang singkat dan pesakit akan pulih dengan cepat,” jelasnya.

Bersama seorang lagi pakar MIS dari hospital sama, Dr. Charanjeet Singh, mereka berkongsi pengalaman bersama media pada sesi Less Pain More Gains - Minimally Invasive Surgery mengenai prosedur pembedahan terkini, di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Dr. Charanjeet menambah, pembedahan MIS dilihat cukup selesa bagi pesakit.

Biasanya, pesakit MIS mengalami proses pemulihan yang pantas dan parut yang kecil.

“Ia bukanlah satu pilihan dan hanya sesuai bagi prosedur tertentu, tetapi kami amat menggalakkan pesakit memilih MIS kerana lebih banyak kebaikan.

“Pembedahan MIS masih lagi perlu diperkenal dengan lebih meluas. Dengan perkembangan teknologi, peralatan yang digunakan telah menjadi lebih versatil dan pantas.

“Pakar bedah semakin berkebolehan begitu juga dengan kaedah latihan yang lebih ke hadapan. Semua faktor ini boleh menjadikan MIS sebagai kaedah pembedahan yang boleh menjadi pilihan jika bersesuaian.

“Walaupun MIS telah dipraktikkan di Malaysia selama lebih kurang 30 tahun, ia masih lagi kurang diperkatakan sebagai satu pilihan pembedahan,” katanya.

Bagi memberi lebih banyak maklumat kepada masyarakat mengenai MIS, Gleneagles Kuala Lumpur kini sedang mengadakan pameran mengenai MIS Less Pain, More Gains di hospital berkenaan.

Antara persiapan untuk menghadapi pembedahan MIS:

Bersedia dengan kos

Prosedur pembedahan bukan murah dan banyak lagi kos yang harus difikirkan. Pembedahan terbuka dilihat lebih mampu oleh seseorang pesakit berbanding MIS jika anda hanya melihat pada kos prosedur itu sahaja, tetapi jika anda memikirkan mengenai tempoh berada di hospital, komplikasi yang mungkin timbul dan cuti yang harus diambil, kebanyakan orang mendapati MIS merupakan kaedah pembedahan yang lebih murah.

Rancang pemulihan anda

Pastikan anda mempunyai cuti yang mencukupi supaya anda tidak tergesa-gesa semasa proses pemulihan. Jika memilih pembedahan terbuka, anda perlu bercuti selama enam hingga lapan minggu bagi pemulihan. Prosedur MIS lebih cepat sembuh kerana hirisan yang sedikit. Anda sudah boleh melakukan aktiviti biasa anda dalam tempoh seminggu selepas pembedahan.

Tidak makan

Penting diketahui supaya tidak makan dan minum lapan jam sebelum pembedahan. Ini bagi mengelakkan makanan daripada perut memenuhi paru-paru yang boleh menimbulkan masalah lain.

Beritahu alahan anda

Adalah penting anda memberitahu alahan anda pada doktor. Bukan sahaja mereka perlu tahu mengenai alahan anda tetapi mereka juga harus tahu akan reaksi anda kepada alahan tersebut. Dengan cara ini, mereka boleh mengambil langkah berjaga demi keselamatan anda semasa pembedahan.

Rehat yang mencukupi

Doktor akan menasihatkan supaya pesakit berada dalam keadaan kesihatan yang baik dari segi mental dan fizikal. Ini penting kepada kejayaan pembedahan dan proses pemulihan. Proses pemulihan selepas pembedahan sangat penting bagi seorang pesakit. Bagi hasil yang lebih baik, bersedia dan dapatkan rehat yang mencukupi.