Budaya dan sifat ketimuran yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia menyebabkan masalah seksual menjadi satu isu berat yang tidak ‘manis’ dibincangkan, yang akhirnya mengundang kepada masalah lebih buruk sama ada dalam konteks psikologi, kesihatan serta kekeluargaan.

Kesilapan pasangan yang tidak terbuka di peringkat awal dalam membicarakan soal keinginan dan kehendak seks masing-masing menjadikan masalah sukar untuk dipulihkan.

Menurut Laporan Kuantitatif Sikap Lelaki Malaysia terhadap Disfungsi Erektil (ED) 2015, 57 peratus lelaki mengakui mereka tidak ada masa untuk melakukan seks kerana terlalu sibuk bekerja dan menguruskan keluarga, manakala 50 peratus lagi tidak mempunyai masa dan situasi yang sesuai untuk melakukan seks.

Namun, lazimnya mereka tidak akan memaklumkan kepada pasangan masing-masing dan menyebabkan salah faham berlaku, selain beranggapan pasangan memahami keadaan itu dan berharap mereka dapat menerimanya.

Lebih memburukkan keadaan apabila si suami pula disahkan mempunyai masalah disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk, yang menjadi salah satu punca penceraian dan ketidakharmonian sesebuah perhubungan suami isteri.

Ini kerana, suami merasakan mereka telah gagal menjalankan tanggungjawab apabila tidak dapat memuaskan keinginan isteri. Manakala isteri pula berasa tidak selesa dengan keadaan itu tetapi terlalu malu untuk berkongsi perasaan sekali gus mencetuskan suasana yang tidak baik untuk kehidupan seksual mereka.

Menurut satu kajian yang dijalankan Marwick C. Jama, dianggarkan 68 peratus lelaki berasa malu untuk berbincang dengan doktor tentang ED yang mereka alami dan 44 peratus pula tidak memaklumkan masalah yang dihadapi kepada doktor urologi, manakala 71 peratus lagi beranggapan ED bukan masalah kesihatan yang perlu dirawat.

Menurut Konsultan Senior Urologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTMPPUKM), Prof. Dr. Zulkiflli Md. Zainuddin, komunikasi tentang seks tidak harus diambil mudah oleh pasangan suami isteri sejak di peringkat awal lagi kerana dibimbangkan masalah itu mendorong kepada punca masalah kesihatan lain.

Seharusnya, kekangan sensitiviti sosial dan budaya dalam masyarakat di negara ini tentang isu seksual tidak boleh menjadi penghalang untuk suami isteri berbicara secara terbuka tentang perkara berkenaan.

“Orang lelaki tidak boleh malu mengakui jika mereka mempunyai ED kerana pengakuan itu bukan sahaja dapat membantu masalah itu untuk pulih tetapi juga membantu seluruh perjalanan rumah tangga mereka.

“Seks dan ED bukanlah perkara yang terlalu teruk untuk dibicarakan, apa yang penting anda perlu merujuk dan mendapatkan mereka yang pakar dalam bidang ini, bukannya mengambil pendekatan berdiam diri sehingga berlaku rasa tidak puas hati antara pasangan atau apabila rumah tangga sudah tidak harmoni.

“Setiap pasangan perlu mencari masa yang sesuai untuk duduk bersama dan menyelesaikan isu ini. Suami perlu terbuka untuk berjumpa doktor mendapatkan rawatan, manakala isteri pula memberi sokongan kepada suami dan membantu melalui saat-saat sukar ini.

“Isteri perlu bijak mencari masa untuk duduk dan berbincang tentang masalah seksual bersama suami dan suami pula perlu buang ego mereka untuk menyelesaikan masalah yang ditanggung.

“Memang tidak mudah, tetapi perkara itu perlu dilakukan demi kepuasan dalam hubungan intim kedua-duanya” jelasnya beliau pada program Talk Show with Papi Zak ‘ Couple ED-ucation’ anjuran Pfizer, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Dr. Zulkifli turut mengingatkan kepada pesakit agar tidak menyelesaikan masalah seksual dengan hanya merujuk kepada perubatan tradisional, mencari maklumat dalam Internet atau menggunakan ubat-ubat yang tidak selamat, semata-mata mahu menyelesaikan masalah seks yang dialami secara rahsia.

Kewujudan iklan-iklan ubat seks di merata tempat selain kemudahan akses kepada laman sesawang yang menjual pelbagai ubat dan menawarkan kaedah rawatan ED juga menyebabkan golongan lelaki lebih senang menyelesaikan masalah itu sendirian.

“Lazimnya, orang lelaki terlalu suka mendapatkan rawatan urutan batin untuk meningkatkan tahap seks. Cara itu bagi mereka lebih mudah dan tidak perlu berhadapan dengan terlalu ramai pihak, namun itu bukan cara yang betul kerana rawatan berkenaan belum ada bukti kejayaan selain membazirkan wang sahaja,” ujarnya.

Justeru itu, bagi mengurangkan rasa tidak selesa kepada golongan lelaki yang mengalami ED, hospital disaran menyediakan kakitangan di unit berkaitan dengan jantina yang sama agar pesakit tidak malu, selain waktu bertemu dijadualkan bukan pada waktu puncak bagi mengelakkan mereka berdepan dengan orang ramai.

ED bukan sahaja memacu kepada masalah seksual tetapi juga menjadi punca utama masalah kesihatan yang kronik berkaitan kardiovaskular, hipertensi, diabetes serta obesiti di kalangan lelaki. Oleh itu golongan lelaki perlu memandang masalah ED satu perkara yang serius.

Pada program bual bicara itu, pelakon dan pelawak terkenal, Harith Iskander dan isterinya, Dr. Jezamine Lim, turut berkongsi tentang bagaimana cara mereka berkomunikasi tentang seksual.

Mengakui terlalu sibuk dengan kerjaya, Harith dan isterinya memilih bersikap terbuka dalam isu hubungan intim memandangkan elemen seksual amat penting dalam kebahagiaan sesebuah rumah tangga.

“Kami memang terlalu sibuk dengan kerjaya serta tiga cahaya mata, namun saya dan isteri pasti meluangkan masa bersama untuk perkara-perkara penting seperti ini. Kami masih belajar untuk menerima segala keadaan secara terbuka terutama soal seksual,” kata Harith.- Gambar HALIM KHALID