Malah, ahli farmasi yang memberikan ubat di kaunter selalu menasihatkan agar menghabiskan antibiotik yang diberikan dalam tempoh seperti yang dijadualkan.

Namun, adakah anda tahu apakah sebenarnya peranan antibiotik dalam membantu tubuh kembali sihat, dan apa jadi sekiranya tubuh mula menjadi penentang kepada antibiotik ini?

Bakteria adalah mikro organisme yang hidup di sekeliling kita. Terdapat bakteria yang baik dan bernilai seperti laktobasillus yang membantu sistem penghadaman manusia. Namun, ada juga bakteria yang jahat dan berbahaya seperti, streptocci, yang boleh memberi kesan radang kepada tonsil dan penyebab kepada jangkitan-jangkitan lain.

Menurut Doktor dan Pensyarah Perubatan Keluarga, Pusat Penjagaan Kesihatan International Medical University (IMU), Dr. Verna Lee Kar Mun, antibiotik digunakan lazimnya dalam merawat jangkitan bakteria.

Bagaimanapun, disebabkan telah digunakan dalam jangka masa terlalu lama, terdapat beberapa bakteria biasa telah dapat menempuh rintangan dan mereka menjadi kebal atau penentang kepada antibiotik yang sebenarnya dicipta bertujuan untuk membunuh mereka.

“Akibatnya, antibiotik kurang berkesan dalam rawatan kepada pesakit.

“Dalam kata lain, bakteria telah menjadi kebal kepada antibiotik. Apabila dijangkiti bakteria yang kebal antibiotik ini, jangkitan berkenaan akan menyebabkan semakin susah pesakit itu untuk dirawat.

“Kita fikir seperti inilah... bakteria-bakteria ini semakin kuat dan sudah pandai memakai ‘baju besi’ yang kalis peluru menyebabkan antibiotik tidak dapat membunuh mereka.

“Masalah ini sebenarnya semakin menjadi kebimbangan kerana keadaan ini akan menyebabkan kos perubatan akan menjadi semakin mahal apabila pesakit perlu berada di hospital lebih lama kerana faktor kesembuhan yang menurun dan meningkatkan kadar kematian,” katanya.

Bakteria yang kebal antibiotik akan menjadi ancaman kepada hospital dan klinik kerana pesakit boleh mengalami sindrom pernafasan akut teruk dan berakhir dengan kematian sekiranya jangkitan berlaku pada pembuluh darah (septicaemia) dan pneumonia.

Bagaimana bakteria boleh jadi rintang atau kebal terhadap antibiotik?

Menurut Dr. Verna, sikap pesakit yang menggunakan antibiotik secara keterlaluan ialah faktor penyebab berlakunya kekebalan antibiotik. Faktor-faktor lain termasuk tersalah dos.

“Sebagai contoh, mengambil antibiotik adalah satu perkara biasa bagi pesakit yang mengalami demam. Namun apabila demam itu disebabkan oleh jangkitan virus dan bukannya bakteria, tetapi pesakit mengambil dos antibiotik tanpa rujukan doktor, itu yang menjadi salah.

“Doktor perubatan selalunya akan memberikan prekripsi antibiotik apabila mereka yakin dan mengesyaki pesakit itu mengalami jangkitan disebabkan oleh bakteria, organisme pada tekak (bagi batuk dan sakit kerongkong), paru-paru
(demam dan batuk) dan intestinal (kesakitan pada bahagian perut dan cirit-birit) jangkitan disebabkan oleh virus, tidak memerlukan antibiotik,” kata Dr. Verna.

Antibiotik dibuat untuk membunuh bakteria dan bukannya virus. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menggariskan satu undang-undang bagi mengawal penggunaan antibiotik dalam kalangan pesakit dan pengguna, namun penggunaan antibiotik masih meningkat apabila pengguna sendiri mendapatkan rawatan berkenaan tanpa pengetahuan doktor.

Daripada Laporan Antibiotik 2015, data yang diperoleh dari 39 buah makmal hospital di negara ini, menunjukkan pesakit yang mengambil antibiotik, adalah jauh lebih banyak daripada yang didokumenkan.

Ambil dos yang betul

Antibiotik kebanyakannya telah mempunyai dos yang ditetapkan secara spesifik untuk kanak-kanak atau orang dewasa dan telah dibuktikan secara saintifik menerusi kajian di makmal dan klinik.

Semua doktor adalah terlatih untuk prekripsi ubat ini mengikut sukatan atau dos yang diperlukan dengan betul dan menasihatkan pesakit mengikut jadual.

Mengambil dos yang berlebihan akan menyebabkan kesan sampingan seperti sakit perut atau cirit birit tetapi sekiranya terlalu kurang mengambil dos yang ditetapkan pula tidak akan mematikan bakteria seratus peratus. Jangkitan tidak akan dirawat sepenuhnya.

Simptom-simptom penyakit mungkin akan kelihatan tiada tetapi bakteria itu akan kekal di dalam tubuh anda secara senyap dan risiko ia untuk bermutasi adalah tinggi apabila antibakteria yang kebal atau penentang ini akan bertambah.