Antaranya ialah masalah otot pada bahagian itu, masalah paru-paru, masalah pada bahagian tulang rusuk, masalah pernafasan, bronkitis, pneumonia, jangkitan kuman, tekanan atau trauma kesan akibat dihentak atau dipukul.

Sakit dada juga boleh disebabkan oleh inflamasi pada bahagian selaput paru-paru yang dipanggil pleurisy. Antara simptomnya ialah batuk kering dan sakit pada bahagian dada apabila menarik nafas dalam-dalam.

Sakit pada bahagian dada dirasakan apabila rasa tidak rasa selesa, seolah-olah dada mengetat atau terasa tekanan pada bahagian itu.

Menurut Pakar Kanak-Kanak dari Pusat Perubatan Sri Kota, Klang, Selangor, Dr. Diana Osman, hanya satu peratus kanak-kanak atau bayi dikaitkan dengan masalah jantung sekiranya mengalami kesakitan pada dada, manakala selebihnya berpunca daripada masalah-masalah yang disebutkan tadi.

Kebanyakan penyebabnya tidaklah serius tetapi perlu diberikan rawatan oleh doktor.

“Bagi kanak-kanak yang telah boleh bercakap, mereka boleh menyatakan kesakitan yang dialami dan agak mudah untuk mengesan punca sakit berbanding bayi.

“Bagi bayi, cara tangisan mereka yang mungkin dapat merungkai masalah yang dialami memandangkan mereka tidak boleh bercakap untuk memberitahu doktor atau ibu bapa bahagian mana yang sakit,” tegas Dr. Diana.

Jelasnya, sakit dada juga boleh dialami kanak-kanak akibat kekerapan menyandang beg sekolah yang berat, atau terkena bucu beg ke dada atau mengangkat barang berat yang menyebabkan mereka alami kesakitan pada bahagian itu.

Beritahu Dr. Diana, sekiranya ibu bapa mendapatkan rawatan bagi anak-anak, terlebih dahulu mereka akan ditanya mengenai apa yang telah dialami anak mereka.

Sama ada anak mereka itu mengalami demam, batuk berterusan atau selesema, bagaimana bentuk sakit tersebut adakah seperti menyucuk apabila menarik nafas atau bernafas yang pendek-pendek dan kesakitan terasa pada dada sebelah lagi.

“Asma juga merupakan salah satu penyumbang kenapa golongan ini mendapat sakit pada bahagian itu kerana apabila serangan asma, dada akan terasa sedikit ketat dan sukar untuk bernafas yang menjadikan dada mereka sakit.

“Begitu juga gastrik, ia juga boleh dikaitkan dengan sakit pada bahagian dada akibat pedih hulu hati disertai rasa mual dan muntah.

“Sekarang, kanak-kanak berumur dalam lingkungan lima tahun juga sudah mengalami gastrik akibat faktor pemakanan hari ini,” tegasnya.

Namun jelasnya, apa yang penting sekiranya ibu bapa membawa anak-anak untuk mendapatkan pemeriksaan, perkara utama yang akan ditanya kepada ibu bapa atau penjaga ialah adakah anak mereka itu mengalami trauma fizikal kesan lebam dipukul atau ditumbuk pada bahagian dada.

Begitu juga sekiranya guru-guru membawa murid bagi mendapatkan pemeriksaan sakit pada bahagian itu, mereka juga akan ditanya dengan soalan yang sama kerana dikhuatiri kanak-kanak itu mengalami kecederaan akibat dibuli atau terhasil oleh penderaan.

Nasihat Dr. Diana kepada semua ibu bapa atau penjaga yang sepatutnya lebih prihatin dengan keadaan anak-anak bawah jagaan mereka sekiranya mereka mengadu mengalami sakit dada.

“Banyak faktor yang memungkinkan mereka mengalami keadaan tersebut termasuk dikaitkan dengan masalah pada bahagian otot mahupun penderaan, justeru mereka perlu dibawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan rapi.

“Jangan mengambil mudah dengan sakit dada yang dialami anak-anak. Mungkin ada yang menggosok minyak angin pada dada untuk cuba memulihkan.

“Dalam keadaan tertentu sekiranya berhubung dengan kecederaan pada otot, mungkin dengan menyapu minyak angin akan memberikan sedikit kelegaan, tetapi perkara yang berkaitan dengan jangkitan kuman atau perkara-perkara lain, pemeriksaan oleh doktor perlu dilakukan,” katanya.