Program ini merupakan yang pertama seumpamanya di rantau ini dan bertujuan meningkatkan kesedaran serta pengetahuan mengenai kemahiran pertolongan cemas merentasi Asia.

Lanjutan kejayaan dua program terdahulu yang memberi tumpuan kepada bencana alam dan keselamatan jalan raya, program ini bertujuan menyediakan maklumat pertolongan cemas yang penting kepada semua penduduk Asia.

Pelancaran yang diadakan bersempena Hari Pertolongan Cemas Sedunia (World First Aid Day) IFRC yang diiktiraf pada peringkat global, bertujuan mempromosi pengetahuan pertolongan cemas demi memperkasa masyarakat dalam menghadapi sebarang kecemasan jika diperlukan.

Saban hari, sekitar 16,000 individu maut akibat kecederaan di seluruh dunia. Walaupun ramai yang terselamat, mereka terpaksa berdepan kecacatan kekal. Meskipun rumah dianggap sebagai tempat yang selamat, namun 80 peratus daripada kemalangan sebenarnya berlaku di rumah.

Menerusi program ini, Yayasan Prudence dan rakan-rakan kerjasama berhasrat menangani isu ini dengan mendidik orang ramai mengenai konsep pertolongan cemas yang mudah difahami, sekali gus membolehkan mereka membuat persediaan bagi menyelamatkan nyawa.

Safe Steps First Aid terdiri daripada satu siri yang merangkumi enam video pengumuman perkhidmatan awam yang berdurasi satu minit untuk setiap video.

Setiap video ini bertujuan membina pengetahuan mengenai topik asas pertolongan cemas, seperti patah tulang, lecur, tercekik, CPR, pendarahan teruk dan strok.

Video-video ini menyediakan panduan kritikal mengenai langkah-langkah yang patut diambil dalam keadaan kecemasan. Setiap pengumuman memaparkan salah satu daripada tiga duta progam yang dipilih oleh Yayasan Prudence atas dedikasinya dalam menyelamatkan nyawa dalam kehidupan harian mereka.

Duta berkenaan termasuk Maria Guevara (doktor dan pendukung kemanusiaan), Marshello Aryafara (anggota penyelamat dari Bali), serta Wee Chee Ong (paramedik dari Singapura).

Pengerusi Yayasan Prudence, Donald Kanak berkata, sebagai sebahagian daripada Prudential, yayasan ini bertujuan untuk membantu keluarga dan komuniti menjadi lebih selamat dan berdaya tahan.

“Kami berbesar hati untuk melancarkan Safe Steps First Aid untuk mempromosi maklumat menyelamatkan nyawa yang kritikal serta kemahiran pertolongan cemas kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBSMM, Datuk Sayed A. Rahman Sayed Mohd. berkata, dalam keadaan kecemasan, kekurangan pengetahuan pertolongan cemas boleh menyebabkan kecederaan dan kecacatan, bahkan kematian, oleh itu pelancaran program seperti ini sangat penting dalam membantu rakyat Malaysia lebih bersedia untuk menghulurkan bantuan perubatan dalam keadaan kecemasan.

Pengumuman perkhidmatan awam tersebut bakal disiarkan di saluran National Geographic dan Fox. Bermula dengan pelancaran berkenaan, video itu juga bakal disiarkan di 17 saluran merentasi Fox Networks Group Asia yang mampu mencecah lebih 80 juta keluarga di rantau ini.

Kandungan video akan diiringi dalam sembilan bahasa tempatan iaitu bahasa Malaysia, Indonesia, Burma, Kantonis, Khmer, Mandarin, Tagalog, Thai dan Vietnam.

Di samping itu, pelbagai infografik serta maklumat yang berguna bakal dilancarkan menerusi kerjasama dengan pihak sekolah, universiti, badan kerajaan dan bukan kerajaan serta beberapa syarikat swasta di seluruh rantau ini.

Segala maklumat mengenai Safe Steps First Aid boleh didapati di laman web www.safesteps.com.