Penjelasan dikeluarkan hari ini oleh kumpulan penyelidik aplikasi diet untuk pesakit kanser dan survivor dikenali sebagai CanDi App yang dibangunkan universiti berkenaan berikutan kekeliruan yang tercetus sejak beberapa hari lalu.

Ketua penyelidiknya, Prof. Lua Pei Lin berkata, aplikasi telefon pintar itu cuma menawarkan cadangan hidangan serta resepi makanan yang bersesuaian bagi pesakit kanser dan survivor, bukanya disyorkan sebagai ubat.   

“Ikan singgang yang merupakan hidangan tempatan, kebetulan tergolong antara contoh hidangan tersebut kerana tidak berminyak di samping kandungannya yang berasaskan ikan adalah sihat sebagai hidangan harian yang mudah disediakan.

“Ia tidak sekali-kali disyorkan sebagai ubat atau rawatan kanser, jadi saya minta masyarakat tidak terkeliru atau salah faham dengan maklumat yang ditularkan di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

 Ikan singgang, makanan citarasa tempatan itu  merupakan masakan ikan segar biasanya kembong atau ikan tongkol  yang direbus dengan adunan lengkuas, bawang putih, bawah merah, kepingan asam gelugur,  sedikit garam dan  kunyit untuk memberi warna di samping bendi dan lada.

Baru-baru ini seorang pengguna laman Facebook menyatakan ikan singgang merupakan ubat kanser dalam postingnya, kononnya dimaklumkan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif dalam satu mesyuarat yang memberikan  tanggapan  boleh dijadikan ubat gantian.

Sehubungan itu, Pei Lin menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan setiap maklumat sesuatu penyakit kronik terlebih dahulu dengan kumpulan penyelidik dan profesional bertauliah. 

Katanya, mereka yang masih musykil beliau menghubungi penyelidik CanDi di talian 09-668 8520.-UTUSAN ONLINE