Menurut Pakar Runding Pembedahan ENT Kepala dan Leher, Hospital Pakar KPJ Damansara, <strong>Dr. Mohd Ridzo Mahmud</strong>, kadangkala seorang ibu mengalami kesakitan dan merasa tidak selesa apabila mereka menyusukan bayinya. 

Hal ini mungkin disebabkan bayi mengalami masalah yang dipanggil tongue tie atau dasar lidah melekat lebih berbanding biasa menyebabkan bayi tidak boleh mengangkat lidahnya.

Keadaan ini juga menyebabkan bayi sukar untuk menyusu ibu sehingga adakalanya menjejaskan berat badan.

“Biasanya masalah tongue tie atau ankyloglossia berlaku pada lima hingga 10 peratus bayi ketika dilahirkan.

“Akibatnya bayi akan menghadapi masalah susah untuk menyusu terutama bayi yang menyusu ibu,” katanya semasa ditemui di Hospital Pakar KPJ Damansara baru-baru ini.

Seorang bayi biasanya hanya akan mengalami salah satu masalah sama ada tongue tie atau lip tie. Tetapi, pernah juga berlaku apabila ada bayi yang mengalami kedua-dua masalah ini sekali gus.

“Tongue tie adalah masalah membran di bahagian bawah lidah melekat pada lantai mulut dan menyebabkan pergerakan lidah terhad atau terikat menyebabkan hujung lidah bayi tidak dapat diangkat sehingga menyentuh lelangit dan tidak dapat digerakkan ke kanan atau ke kiri.

“Masalah lip tie pula apabila membran di bawah bibir dan gusi yang berhampiran dengan gigi depan menyekat pergerakan bibir. Ini biasa berlaku pada bahagian atas bibir,” katanya.

Bayi sukar untuk menyusu ibu kerana mereka sukar mengangkat lidah ke atas semasa menyusu dan menyebabkan puting susu ibu tidak dapat masuk ke dalam mulut bayi menyebabkan ada bayi yang mengalami kekurangan berat badan.

Biasanya tongue tie akan menyebabkan bayi mengalami masalah untuk menyusu, pertuturan dan kebolehan membersihkan sisa makanan dalam mulut.

Apakah yang menyebabkan kedua-dua keadaan ini? Ini adalah keadaan kongenital iaitu keadaan yang wujud sejak bayi lahir.

Dr. Mohd Ridzo berkata, keadaan ini boleh menyebabkan masalah pada permulaan penyusuan.

Sesetengah bayi akan menghadapi cabaran untuk melekap dengan baik pada payudara ibu. Ini menyebabkan ibu akan merasa sakit semasa menyusu dan kadangkala mengakibatkan luka pada puting sehingga berdarah.

“Bayi mungkin akan melekap dalam masa yang lama pada payudara walaupun sudah kerap kali menyusu. Ini satu-satunya tanda penyusuan tidak efektif yang disebabkan oleh masalah tongue tie dan lip tie.

“Bayi itu bukan sahaja tidak akan dapat susu yang secukupnya, malah dia akan cepat letih dan tertidur sebelum kenyang sepenuhnya,” katanya.

Tanda-tanda lain termasuk purata kenaikan berat badan yang rendah serta refluks yang disebabkan jumlah udara yang ditelan bayi akibat mulut bayi tidak melekap betul pada payudara ibu.

Jika keadaan tongue tie sangat teruk dan tidak dirawat dengan cepat, masalah berkenaan boleh menjejaskan pertuturan menyebut huruf ‘l’ dan ‘r ’selain menyukarkan cara bayi menyusu, makan serta menelan.

Ia juga akan memberi kesan kepada pertumbuhan gigi serta perkembangan bahagian wajah dan rahang bayi tersebut.

Biasanya ibu yang mempunyai bayi dengan tongue tie mengalami gejala berkaitan dengan penyusuan seperti:

  • luka pada puting ibu
  • mastitis
  • salur susu tersekat
  • bekalan susu rendah.

Semua ini boleh menyebabkan ibu berasa kecewa dan berhenti menyusu dengan lebih awal.

Dr. Mohd Ridzo berkata, bayi dengan tongue tie boleh dirawat dengan:

  • frenectomy lebih mudah dan mengambil masa yang singkat.
  • frenuloplasty lebih kompleks dan mengambil masa yang lama untuk pembedahan.

“Walau apa pun pemeriksaan mulut yang terperinci oleh pakar terlatih adalah cara terbaik untuk mengesan keadaan ini,” katanya.