Ketika ini jugalah bakal ibu seharusnya memberi diri sendiri peluang terbaik untuk melalui kehamilan bebas daripada masalah bagi melahirkan bayi yang sihat.

Sepanjang tempoh ini juga penting untuk ibu makan secara sihat bagi memastikan diri dan bayi dalam kandungan mendapat semua nutrien diperlukan.

Jika ibu hamil sedar cara pemakanan tidak begitu baik, inilah masanya untuk mengubah kepada amalan diet sihat dan seimbang.

Pemakanan sempurna ketika mengandung bukan sahaja penting bagi perkembangan fetus, malah pengambilan makanan yang seimbang serta diet bernutrisi juga membantu dalam membina asas yang kukuh bagi perkembangan bayi pada masa hadapan.

Menurut Ketua Jabatan Dietatik, Pusat Pakar Universiti Malaya, Rozanna M. Rosly, tempoh kehamilan adalah masa di mana tabiat pemakanan si ibu akan mendatangkan kesan langsung kepada bayi yang dikandung.

Tambahnya, keputusan ibu untuk mengambil sayuran, bijiran serta kekacang, protein dan pilihan makanan yang sihat dalam jadual makan sebelum dan ketika tempoh hamil boleh membantu meningkatkan tahap kesuburan, di samping membantu memastikan mereka sihat sepanjang tempoh kehamilan serta membantu semasa proses kelahiran.

“Sepanjang tempoh kehamilan, ibu-ibu dinasihatkan dan digalakkan mengambil makanan yang seimbang serta diet yang bernutrisi.

“Ini semua adalah untuk membantu dalam membina asas yang bagus bagi perkembangan bayi di samping memberikan mereka permulaan yang kukuh dalam kehidupan.

“Secara amnya terdapat beberapa panduan untuk kehamilan sihat. Panduan tersebut adalah dengan merancang rawatan antenatal dari awal, makan dengan baik, berhati-hati tentang kebersihan makanan, mengambil tambahan folik asid, makan ikan, bersenam selalu, mula lakukan senaman lantai pelvik, tiada pengambilan alkohol, kurangkan pengambilan kafein, berhenti merokok dan lebihkan berehat,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Bayi Tollyjoy 2017 di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Rozanna turut menasihatkan agar ibu-ibu hanya memberikan susu ibu pada enam bulan pertama kelahiran bagi membolehkan perkembangan, pertumbuhan serta kesihatan optimum bayi.

Katanya, ibu yang menyusu bayi juga harus menitikberatkan kepentingan nutrisi sejajar dengan keperluan nutrisi bayi mereka.

Pada masa yang sama, semua ibu dinasihatkan untuk terus menyusukan bayi masing-masing kerana susu ibu merupakan hidangan lengkap yang baik terhadap perkembangan fizikal dan mental bayi.

Berbalik kepada ibu hamil, kata Rozanna, adalah sangat penting ibu mengawal pemakanan dan mengambil makanan sihat ketika hamil.

Ini kerana gula, atau glukosa, terkandung dalam kebanyakan makanan yang diambil ibu.

Ramai beranggapan ketika mengandung ibu perlu makan dua kali ganda, iaitu untuk diri sendiri dan bayi mereka.

Sebenarnya tanggapan itu salah, sebaliknya ibu tidak perlu makan secara berganda bagi memenuhi keperluan dua individu.

“Ibu mengandung memerlukan tambahan kira-kira 300 kalori sehari apabila kandungan memasuki trimester kedua bagi mendapatkan berat badan dan nutrien yang diperlukan untuk menyokong kehamilan berbanding ibu tidak mengandung.

“Apa yang diperhatikan, ibu hamil gemar memilih makanan berkalori tinggi tetapi rendah kandungan nutrien. Justeru, mereka digalakkan memilih makanan yang padat dengan nutrisi, vitamin dan mineral selari dengan kalori yang mereka perlukan.

“Pemakanan berkhasiat perlulah seimbang, pelbagai dan sederhana mengikut piramid makanan,” sambungnya lagi.

Dalam pada itu, sambutan Hari Bayi Tollyjoy 2017 merupakan anjuran Tollyjoy Corporation dengan kerjasama dan Yayasan OrphanCare.

Hadir sama pada sambutan tersebut, Pengurus, Tollyjoy Corporation, Grace Ng dan Pemegang Amanah Yayasan OrphanCARE, Noraini Hashim dan Ketua Pegawai Operasi Yayasan OrphanCARE, Datin Rashidah Hashim,

Grace berkata, hari tersebut telah pertama kali diperkenalkan pada 2015, bertujuan menitikberatkan aspek kekeluargaan, kasih sayang serta penjagaan sempurna kepada setiap kanak-kanak, termasuk mereka yang kurang bernasib baik.

Katanya, bagi tahun ini ia memberi fokus mengenai pemakanan, kerana selain daripada kasih sayang yang diberikan kepada si kecil, pemakanan yang baik sejak peringkat permulaan diperlukan bagi mereka mencapai potensi menyeluruh.

Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan demonstrasi penyediaan tiga sajian berkhasiat oleh Rozanna.

Ketiga-tiga sajian tersebut ialah lapisan buah-buahan rangup bersama oat, yogurt rendah lemak, jem strawberi dan jus tembikai; bubur oat plum; dan smoothie pisang bersama susu soya dan buah-buahan segar.