Sesungguhnya pepatah beauty is pain sangat sesuai dengan penggunaan kanta lekap. Ini disebabkan pemakaian kanta lekap dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan bebola mata hitam pemakainya mengalami kekurangan oksigen yang diperlukan. Banyak kes melibatkan pemakaian kanta lekap bukan sahaja di Malaysia tetapi di luar negara.

Di London seorang pakar bedah menemui 27 kanta lekap melekat pada mata seorang wanita ketika hendak melakukan pembedahan kataraks.

Dalam kes lain, seorang pemakai kanta lekap tegar yang memakainya lebih 10 jam setiap hari disahkan doktor pakar bahawa salur darah di bahagian matanya telah masuk ke dalam bebola mata hitam kiri. Jika tidak dirawat boleh mengakibatkan kebutaan.

Kebanyakan pengguna kanta lekap memakainya untuk mengikut trend terkini dan ingin kelihatan cantik seperti kanta lekap hiasan berwarna dan bercorak.

Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (USFDA) memberi amaran kepada pengguna kanta lekap hiasan supaya berhati-hati dengan kesan sampingan berbahaya.

Di United Kingdom (UK) seorang gadis terkena jangkitan teruk pada mata, parut pada kornea dan penglihatan rosak selepas memakai kanta lekap hiasan sepuluh jam sehari.

Menurut USFDA, kanta lekap tidak berdaftar memberi kesan seperti ulser kornea, lelasan kornea, masalah penglihatan dan kebutaan.

Pemakaian kanta lekap boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada mata jika tidak dijaga dengan baik.

Bagi menjaga kesihatan mata akibat kanta lekap, Persatuan Optometris Malaysia (AMO) bersama-sama Majlis Optik Malaysia (MOC) melancarkan Kesedaran Mata Kebangsaan (NEHA) untuk meningkatkan kesedaran kesihatan mata dan menekankan keperluan rakyat Malaysia menjalani pemeriksaan dan mendapatkan nasihat betul mengenai mata.

Presiden AMO, Murphy Chan berkata, optometris memainkan peranan penting sebagai barisan pertama yang memberikan perkhidmatan penjagaan mata utama untuk orang ramai dan percaya bahawa piawaian konsisten dalam amalan kanta lekap akan membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan penglihatan lebih sihat dan selesa.

“Menurut kajian terkini dijalankan oleh Johnson & Johnson (J&J), 79 peratus pengguna kanta lekap menyatakan kesihatan mata sering membimbangkan manakala 42 peratus pengguna kanta lekap tidak tahu bahawa kanta lekap adalah alat perubatan yang memerlukan preskripsi.

“Selain itu, 91 peratus pengguna kanta lekap berkata, mereka percaya cadangan pembetulan penglihatan yang diberikan oleh pakar penjagaan mata (eye care professional, ECP).

“Ini menunjukkan betapa pentingnya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesihatan mata dan membuktikan peranan ECP dalam memberi nasihat mengenai penjagaan mata yang betul,” katanya selepas majlis pelancaran kempen Kesedaran Kesihatan Mata Kebangsaan (National Eye Health Awareness, NEHA) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kaji selidik menunjukkan ECP memainkan peranan penting dalam memberi nasihat mengenai penjagaan mata kepada pesakit dan membantu mereka mendapatkan kanta lekap paling sesuai.

Di bawah Akta Optikal 1991, hanya optometris dan pakar optik dengan permit kanta lekap disahkan oleh MOC sahaja diberikan lesen preskripsi mengeluarkan kanta lekap.

Sementara itu Setiausaha Majlis Optik Malaysia (MOC), Nor Azizah Ismail berkata, pengguna yang ingin mengenakan kanta lekap, perlu mendapatkan nasihat doktor atau pakar optometri kerana bukan semua orang sesuai memakai kanta lekap.

“Sebelum membuat pembelian, pastikan penjual kanta lekap adalah penjual sah yang telah mendapat lesen daripada pihak berkuasa.

“Elakkan membeli di pasar malam atau atas talian dan paling utama, pastikan kanta lekap sesuai dengan mata.

“Kanta lekap boleh diibaratkan seperti kasut yang perlukan saiz sesuai bukan saja untuk keselesaan tetapi juga keselamatan mata. Jika terlalu longgar kanta lekap mudah terjatuh dan jika terlalu ketat, oksigen tidak dapat masuk ke dalam mata dan jika dipakai berterusan boleh menyebabkan masalah penglihatan,” katanya.

Nor Azizah menambah, pengguna harus ingat, kanta lekap tidak boleh dikongsi bagi memastikan kebersihannya.

Pastikan kebersihan kanta lekap tersebut sebelum menggunakannya dan patuhi syarat penjagaan kanta lekap tersebut.

“Pengguna dinasihatkan jangan menyimpan kanta lekap di dalam tandas kerana terdapat banyak mikrob berbahaya yang boleh menyebabkan infeksi mata pengguna akibat mikrob yang melekat pada kanta lekap.

“Selain itu pengguna kanta lekap perlu mendapatkan pemeriksaan berkala setiap enam bulan bagi menjaga kesihatan mata,” katanya

Amalan Penggunaan Kanta Lekap

1. Fiting atau mengukur

2. Dispensing atau memberikan kanta lekap dengan nasihat

3. After care check-up atau pemeriksaan selepas penggunaan

4. Replenishment atau prosedur tambahan.