DR. MOHD AZHARI
DR. MOHD AZHARI

Kejadian mati mengejut bukan hanya berlaku dalam kalangan mereka yang baru berjinak-jinak dalam sukan dan senaman ke arah mengamalkan gaya hidup sihat tetapi juga melibatkan ahli sukan profesional.

Jika dahulu ramai beranggapan mereka yang berusia di bawah 30 tahun selamat daripada ancaman penyakit, tetapi jangan terkejut kerana kini ramai golongan belia di bawah 30 tahun dan aktif bersukan meninggal dunia secara mengejut.

Pada tahun 2003, pemain bola sepak Cameroon, Marc-Vivien Foe, berusia 28 tahun rebah di tengah padang semasa mewakili negaranya menentang Colombia. Pada tahun sama, satu lagi kes melibatkan pemain Seville FC, Anonio Puerta, 22, rebah ketika kelabnya menentang Getafe FC selepas memasuki minit ke-35. Tiga hari kemudian dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana kegagalan jantung.

Di Malaysia, tahun lalu seorang lelaki berusia 33 tahun tidak sedarkan diri dan meninggal dunia selepas sesak nafas dan pengsan semasa sedang bermain futsal di sebuah pusat futsal di Damansara, Selangor. Ini antara beberapa kes melibatkan ahli sukan profesional dan mereka yang mengambil peluang beriadah pada masa senggang.

Kajian menunjukkan kebanyakan kematian melibatkan golongan aktif bersukan disebabkan oleh masalah jantung. Inilah punca yang menyebabkan kematian mengejut semasa melakukan aktiviti fizikal.

Justeru individu yang aktif dalam aktiviti sukan digalakkan menjalani sesi pemeriksaan kesihatan secara berkala, iaitu sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mengelak sebarang risiko kesihatan tidak dijangka ketika bersukan.

Aktiviti bersukan sebilangan individu sebagai amalan gaya hidup tetap mendatangkan risiko kepada kesihatan seperti sakit jantung sekiranya tiada pemeriksaan dilakukan sebelum memulakan aktiviti berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Seri Dr. Mohd Azhari Yakub berkata, atlet dan individu yang gemar bersukan biasanya mempunyai tahap kesihatan lebih baik berbanding orang biasa.

Bagaimanapun, beberapa kejadian seperti kecederaan serius dan kematian mengejut dalam kalangan mereka yang aktif bersukan menarik perhatian IJN untuk mencari langkah proaktif bagi menanganinya.

Menurutnya, IJN sering menerima berita golongan ahli sukan profesional 
dan mereka yang baru berjinak dengan sukan dan riadah hujung minggu juga mengalami masalah seperti serangan jantung ketika bersukan dan beriadah seperti berjoging.

“Kesedaran sudah ada dalam kalangan masyarakat untuk memilih gaya hidup aktif tetapi mereka kurang kesedaran untuk mengetahui status kesihatan sebelum menjalani aktiviti sukan.

“Jadi, kami adakan program dinamakan Pakej Kecergasan Atlet bertempat di Pusat Kesihatan IJN yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada ahli sukan profesional dan individu yang baru berjinak-jinak dengan sukan sebagai gaya hidup.

“Menerusi pakej pemeriksaan kesihatan lengkap dan ujian fungsi utama tubuh termasuk jantung, hati, buah pinggang dan paru-paru, diharapkan masalah kesihatan yang tidak diketahui sebelum ini dapat ditangani dengan rawatan,” katanya.

Bersukan secara keseluruhannya memberikan kesan baik kepada kesihatan kecuali individu terbabit mengalami masalah jantung koronari yang tidak pernah dikesan sebelum ini.

“Tanda seseorang mengalami serangan jantung ketika bersukan seperti individu lain seperti rasa berat di dada mungkin merebak ke bahagian tekak, tangan kiri, sesak nafas, rasa hendak pitam, peluh sejuk dan jantung berdebar,” katanya.

Mereka yang baru berjinak-jinak dengan sukan jangan memaksa diri jika rasa terlalu penat. Misalnya semasa fun-run jika sudah penat berjalanlah seketika dan jika terasa degupan jantung semakin laju hentikan dulu aktiviti sukan.

Dr. Mohd Azhari berkata, pakej pemeriksaan yang ditawarkan juga dilihat berupaya menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil langkah aktif dalam soal menjaga kesihatan dalam jangka masa panjang.

“Pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh ini baik dilakukan terutama perokok dan yang ada sejarah penyakit jantung. Melalui pemeriksaan jantung secara berkala dapat memantau sebarang perubahan pada tubuh dan sejarah penyakit,” katanya.

“Selain ujian darah, pemeriksaan jantung seperti Elektro Kardiogram (ECG), ujian senaman dan Ekokardiogram dilakukan sekiranya ada kelainan dikesan ketika pemeriksaan fizikal,” katanya.

IJN adalah satu-satunya pusat kesihatan yang menawarkan pakej pemeriksaan khusus untuk ahli sukan dan mereka 
yang mengalami masalah kesihatan jantung akan diberikan rawatan dan nasihat sebelum meneruskan aktiviti sukan.

“Selain itu ahli sukan juga akan dapat meramalkan prestasi mereka sebelum sesuatu pertandingan berlangsung sama ada mereka boleh meneruskan pertandingan dan kebarangkalian untuk menang,” katanya.

Dr. Mohd Azhari berkata, sehingga ini tahap kesedaran masyarakat terhadap pemeriksaan kesihatan semakin meningkat apabila semakin ramai yang mendapatkan pemeriksaan kesihatan sebelum melakukan aktiviti lasak dan bersukan.