Selagi tidak penuh makanan di pinggan, seperti tidak lengkap menu berbuka puasa. Golongan wanita pula tidak perlu penat memasak. Semuanya seperti sudah tersedia dengan pelbagai juadah yang ada di bazar Ramadan.

Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman boleh dibeli untuk hidangan keluarga. Ada pula yang bertanya, “cukup tak makanan kita hari ni?” Ada pula yang berkata, “tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk.”

Selain keletihan, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Ramai yang membeli makanan tidak menilai keperluan makanan tetapi lebih kepada selera.

Hakikatnya, ketibaan Ramadan bukan saja memberi peluang kepada kita mempertingkatkan amalan kerohanian malah amat berfaedah untuk kesihatan. Ini disebabkan puasa merupakan masa yang sesuai untuk mempertingkatkan tahap kesihatan tubuh kita.

Apa pun, kegembiraan menyambut Ramadan tidak harus keterlaluan hingga boleh memudaratkan. Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah bahaya yang mungkin menjelma jika tiada batasan dan kawalan dalam menikmati hidangan berbuka.

Ini kerana, keracunan makanan khususnya pada musim perayaan boleh berlaku jika perkara ini dipandang remeh.

Apa itu keracunan makanan? Menurut Pakar Perubatan Dalaman dan Perubatan Respiratori, Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Muhammad Redzwan S. Rashid Ali, keracunan makanan ialah apa jua penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar.

Ini terjadi akibat makanan yang diambil tercemar dengan bakteria, virus, bahan kimia dan organisma-organisma lain.

“Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan keracunan makanan, antaranya ialah makanan yang tercemar oleh kuman yang berbahaya, tercemar oleh bahan-bahan kimia, tercemar oleh lalat, habuk dan sebagainya,” katanya.

Penyimpanan

Tambah beliau, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan makanan tercemar antaranya ialah makanan tidak dimasak dengan sempurna khususnya makanan laut dan makanan-makanan yang berasaskan haiwan seperti telur, daging, ayam, susu dan hasil tenusu.

Selain itu, berpunca daripada pengendali makanan itu sendiri yang tidak mengamalkan kebersihan termasuk kebersihan diri, kebersihan peralatan untuk mengambil makanan dan kebersihan makanan itu sendiri.

“Cara penyimpanan makanan juga menjadi punca utama masalah ini, makanan yang disimpan terlalu lama pada suhu bilik akan mudah dijangkiti bakteria. Makanan yang telah dimasak mesti disimpan dalam peti sejuk untuk mengelakkan pertambahan bakteria dengan cepat,’’ katanya.

Dr. Muhammad Redzwan menjelaskan, mereka yang mengalami keracunan makanan biasanya akan loya dan muntah, cirit-birit, memulas, sakit perut, kadangkala demam dan kesejukan. Kebiasaannya tanda dan gejala ini timbul beberapa jam selepas makan makanan yang sudah tercemar atau beberapa hari kemudiannya.

Tanda dan gejala yang dialami berbeza daripada setiap individu bergantung kepada sistem ketahanan badan (imuniti) seseorang, kuantiti bakteria, virus atau agen penyebab toksin yang telah dimakan dan umur seseorang.

Komplikasi lebih mudah terjadi pada golongan kanak-kanak, ibu mengandung, orang tua dan golongan kurang imuniti.

Jika tidak mendapatkan rawatan awal keracunan makanan boleh membawa kepada kematian. Ia juga boleh mengakibatkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi yang berpanjangan.

Selain itu, kesan daripada muntah dan cirit-birit boleh meyebabkan komplikasi kehilangan cecair badan yang ketara hingga menyebabkan dehidrasi. Ini seterusnya akan menurunkan tekanan darah (tekanan darah rendah), kegagalan buah pinggang dan lain-lain lagi.

“Antara kesan lain kepada badan adalah kehilangan garam kalium yang terlalu banyak dari tubuh mengakibatkan kekejangan otot termasuk jantung, sawan dan juga koma,” jelasnya.