Kini sebuah syarikat kesihatan teknologi digital Doctor2U telah bekerjasama dengan hospital pakar jantung, Institut Jantung Negara (IJN) melancarkan sistem Online Result Viewing (ORV) dengan sasaran IJN menjadi hospital pintar dan menyediakan lebih banyak e-perkhidmatan untuk pesakitnya.

Kini pesakit IJN boleh memilih program ini semasa mendaftar masuk di kaunter IJN. Sebaik-baik sahaja mereka memberi maklumat yang diperlukan, mereka boleh melihat keputusan data perubatan dalam aplikasi mudah alih Doctor2U atau laman web.

IJN akan melancarkan fasa 1 projek ini bagi membolehkan pesakit melihat laporan radiologi dan imej dalam talian bermula 1 Ogos ini. Bagi Fasa 2, pesakit IJN boleh melihat keputusan patologi melalui aplikasi Doctor2U yang disasarkan bermula pada November tahun ini.

Aplikasi mudah alih ini adalah perkhidmatan percuma bagi melihat keputusan secara atas talian.

Perkhidmatan berkenaan dijangka bakal menjadikan kehidupan pesakit lebih mudah dan mereka tidak perlu berulang-alik ke IJN hanya untuk mendapatkan keputusan imej radiologi serta laporan makmal yang lebih selamat.

Ketua pegawai Eksekutif Doctor2U, Garvy Beh berkata, pesakit berhak mendapat data perubatan sendiri dan dengan Doctor2U mereka boleh mendapat akses kepada keputusan perubatan di mana sahaja pada bila-bila masa.

“Pesakit boleh mengenal pasti perkembangan kesihatan mereka dengan membandingkan keputusan pada masa berlainan dan berkongsi keputusan dengan mereka yang tersayang,” katanya semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi applikasi mudah alih Doctor2U di IJN, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr. Mohd Azhari Yakub percaya inisiatif ini adalah langkah untuk membawa IJN lebih jauh dan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin berkembang tiap hari.

“Ini akan membantu IJN ke arah sistem sentrik pesakit yang menyediakan keselesaan kepada mereka. IJN juga ke arah Hospital Pintar dan kita perlu lebih kompetitif dan terus ke arah transformasi teknologi bagi menjadi pusat kecemerlangan global,” katanya.