Masalahnya, ramai yang tidak perasan mereka menghidap penyakit ini, kerana biasanya tiroid tidak menimbulkan masalah seperti tidak berasa sakit.

Kelenjar tiroid berbentuk kupu-kupu atau perisai dan terletak di bahagian depan leher dan kerongkong. Ia berfungsi mengeluarkan hormon tiroid yang memberikan tenaga dan metabolisme.

Bengkak kelenjar tiroid dihidapi oleh kira-kira satu pertiga penduduk dunia, 80 peratus daripadanya adalah wanita dan antara puncanya ialah kekurangan iodin.

Kekurangan iodin boleh diatasi dengan memakan makanan yang tinggi kandungan iodin seperti yogurt, keju mozzarela, susu, telur, rumpai laut, kranberi, strawberi dan makanan laut.

Bagaimanapun, terdapat banyak juga jenis makanan yang menjadi penyebab berlakunya bengkak kelenjar tiroid seperti pic, pir, plum, brokoli, kobis, bunga kobis, terung, bayam, keledek, tomato dan sebagainya.

Penyebab lain kepada bengkak kelenjar tiroid ialah radang tiroid (Hashimoto, Riedel, De Quervain), genetik (masalah metabolisme), idiopatik, hipertiroid (Graves disease, Goiter toksin).

“Apabila leher membengkak, ramai yang tidak mengambil kisah kerana menganggap ia hanya beguk. Ada bengkak yang membesar secara perlahan dan mengambil masa di antara lima hingga 10 tahun. Terdapat juga yang jenis tidak membesar.

“Bengkak kelenjar tiroid tidak sakit, namun ada gejala-gejala lain seperti membesar dengan perlahan, susah menelan, terganggu pernafasan (berdengkur, semput) dan perubahan suara (serak).

“Kebanyakan bengkak kelenjar tiroid masih berfungsi normal. Namun, ada juga fungsi tidak normal yang dibahagikan kepada dua, iaitu hipertiroid dan hipotiroid.

“Hipertiroid membuatkan badan penghidapnya kurus walaupun banyak makan, badan terasa panas walaupun berada di bilik yang tidak panas, kulit lembap dan berpeluh terutama tapak tangan, rambut nipis dan berkerinting, rasa gementar pada tangan dan jari tangan, jantung berdebar laju dan mudah lelah.

“Penghidapnya juga mengalami gangguan emosi seperti gugup, lekas marah, cemas, gelisah untuk tidur, cirit-birit, bola mata agak menonjol, kelopak mata turun dan haid menjadi tidak teratur,” kata Prof. Dr. Rohaizak Muhammad, Pakar Perunding Kanan dan Pembedahan Payudara dan Endokrin, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Dalam situasi kecemasan, jelas beliau, perkembangan ini boleh membawa maut.

Hipertiroid yang melampau menyebabkan tekanan darah tinggi, suhu badan meningkat, pernafasan laju, loya, muntah, kadar denyutan jantung yang laju, dehidrasi, keliru dan koma.

Katanya, hipertiroid lebih mudah dirawat dengan hanya memberikan ubat-ubatan kepada pesakit.

Namun, jika tidak dirawat boleh mendatangkan bahaya seperti mendapat lemah jantung dan ada kes pesakit meninggal dunia. Ini dinamakan tiroid storm.

Ada juga pesakit yang diberikan ubat radioiodin. Pesakit wanita tidak digalakkan hamil dalam tempoh enam bulan semasa pengambilan ubat kerana dibimbangi ada kesan sampingan seperti kecacatan pada bayi atau bayi juga mendapat tiroid.

Pilihan lain rawatan ialah dengan menjalani pembedahan. Kebiasaannya pesakit hipertiroid jarang mendapat kanser tiroid.

Bagi penghidap hipotiroid pula akan sensitif kepada sejuk, mendapat sembelit, kemurungan, daya ingatan yang tidak baik, haid tidak teratur, rendah libido, suara tidak jelas atau kasar.

Selain itu, mereka juga mudah penat dan keletihan, kurang selera makan tetapi naik berat badan, kulit menjadi kasar dan kering, rambut kering dan mudah gugur serta kejang otot.

Tambah Dr. Rohaizak, ramai yang bertanya adakah mereka mendapat hipotiroid kerana mereka kurang mengambil makanan beriodin.

Sebenarnya dalam makanan harian kita sudah cukup mengandungi iodin seperti garam, ikan laut, air paip dan sebagainya.

Justeru makanan bukan menjadi masalah utama.

Boleh jadi punca kanser

Pemeriksaan darah apabila berlaku bengkak pada kelenjar tiroid biasanya dilakukan bagi mengetahui fungsi tiroid sama ada tinggi atau rendah.

Menurut Prof. Dr. Rohaizak Muhammad, kebanyakan fungsi tiroid adalah normal, namun yang dibimbangkan jika terjadi kanser. Ini berbahaya.

“Apabila pemeriksaan darah menunjukkan normal, jangan seronok sangat. Oleh itu pemeriksaan lanjut perlu dilakukan seperti imbasan bunyi (ultrasound).

“Jika perlu, buat biopsi bagi memastikan bengkak tersebut bukan kanser. Pesakit sendiri perlu ada inisiatif bagi melakukan ujian-ujian lain.

“Kanser tiroid papilari biasanya dialami oleh golongan yang berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun dan bengkak di kelenjar leher. Kanser tiroid folikular pula dihidapi oleh mereka yang berusia antara 30 tahun hingga 40 tahun dan telah merebak hingga ke tulang.

“Kanser tiroid medulari pula disebabkan oleh keturunan dan melibatkan penyakit lain atau sindrom, manakala kanser anaplastik dihidapi oleh mereka berusia 60 tahun ke atas dan merebak dengan cepat.

Jelasnya, pemantauan tidak susah. Lakukan ujian darah setahun sekali, ujian fungsi tiroid T3, T4, TSH, ujian antibodi, iaitu anti-thyroglobulin, anti-TPO, ultrasound dan biopsi.

Bukan semua pesakit tiroid memerlukan pembedahan. Oleh itu tidak perlu takut. Pembedahan hanya untuk kes-kes tertentu seperti disyaki kanser, sukar makan atau mengah.

Di Malaysia ramai yang datang lambat berjumpa doktor dan menyebabkan semua tiroid perlu dibuang (total thyroidectomy). Oleh itu pesakit memerlukan hormon tiroid bagi mendapatkan tenaga.

Ramai juga yang tidak mahu menjalani pembedahan kerana bimbang suara boleh menjadi serak. Terdapat teknologi yang boleh mengenal pasti dan mengekalkan fungsi urat suara.