Hakikat yang anda perlu tahu,merokok bukan sahaja boleh menyebabkan kemudaratan ke atas kesihatan diri sebagai perokok aktif, malah kepada mereka yang tidak merokok (perokok pasif) berdekatan anda.

Menurut Pakar Perubatan Respiratori Pusat Perubatan Princecourt, Dr. Fauzi Md. Anshar, merokok berterusan akibat ketagihan nikotin bukan sahaja menjejaskan kesihatan perokok, bahkan kepada individu-individu berdekatan mereka.

Golongan ini dikategorikan sebagai perokok pasif atau perokok kedua yang terdedah dengan asap rokok seperti isteri, anak, ibu bapa, ahli keluarga, rakan-rakan dan orang awam.

Secara umum, katanya, masyarakat biasa mendengar mengenai perokok aktif, iaitu mereka yang menghisap rokok secara langsung dan perokok pasif iaitu mereka yang menghidu asap rokok dari rokok yang sedang menyala atau asap yang dihembuskan oleh perokok aktif.

Namun, kini terdapat satu istilah baharu, iaitu perokok ketiga (third hand smoker), yang secara ringkas ditafsirkan sebagai individu yang menghidu ‘asap ketiga’.

Malangnya, kata Dr. Fauzi, perokok ketiga ini lebih cenderung berlaku kepada kanak-kanak kecil atau bayi yang tidak sengaja mendapat masalah kesihatan disebabkan oleh perokok yang hampir dengan mereka, seperti bapa atau ibu, abang, datuk, orang awam atau penjaga.

“Asap perokok ketiga merujuk kepada sisa-sisa partikel daripada pembakaran rokok seperti tar, formaldehyde, ammonia, nikotin, karbon monoksida dan arsenik.

“Asap ketiga ini yang mengandungi nikotin, iaitu partikel melekit mudah melekat pada langsir, sofa, dinding dan siling selama berbulan-bulan lamanya.

“Asap ini juga boleh melekat pada rambut, pakaian dan kulit seseorang yang akan menyebabkan bau asap kepada pakaian atau sesuatu ruang.

“Antara masalah kesihatan yang bakal dihadapi bayi dan kanak-kanak akibat menghidu asap ketiga secara berterusan daripada penjaga mereka yang menghisap rokok, ialah penyakit paru-paru, jangkitan telinga, kematian mengejut pada bayi, masalah pembelajaran, alahan dan kanser seperti leukimia, kanser kelenjar dan paru-paru.

“Bagi bayi yang baru lahir pula, menghidu asap rokok akan menyebabkan mereka mempunyai masalah pernafasan yang boleh membawa masalah seperti bronchitis, bronchiolitis, meningitis dan radang paru-paru,” katanya.

Menurutnya, di dalam kebanyakan rokok, terdapat penapis yang menghalang perokok aktif daripada menyedut toksin tertentu, malangnya perokok pasif pula menyedut toksin di dalam asap yang dibebaskan, yang mengandungi partikel halus lebih mudah serap ke dalam paru-paru, permukaan kulit dan salur darah.

“Dalam keadaan ini, kanak-kanak kecil dan bayi lebih berisiko untuk mendapat penyakit akibat asap ketiga kerana sistem pernafasan dan sistem imuniti mereka belum matang sepenuhnya.

“Kanak-kanak ini atau bayi yang baru belajar berjalan dan merangkak lebih berkemungkinan untuk menyedut, menelan dan menyerap sisa-sia partikel ini melalui kulit semasa mereka meniarap, merangkak, tiupan angin atau memasukkan tangan ke dalam mulut,” jelasnya.

Justeru, Dr. Fauzi juga menasihatkan perokok tegar agar segera berhenti merokok dan bagi mereka yang ingin mula merokok agar melupakan niat itu.

Tabiat tersebut katanya, tidak membawa sebarang kebaikan, sebaliknya hanya mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada perokok itu sendiri, bahkan individu lain, tambahan sekiranya mereka mempunyai masalah pernafasan dan asma.

Anak-anak kecil dan bayi tidak dapat menyuarakan hak agar ibu bapa atau penjaga tidak merokok yang boleh menjejaskan kesihatan mereka dalam jangka panjang dan mereka sebenarnya tidak selesa berada berhampiran atau dakapan orang yang merokok.

Apatah lagi, peri laku penjaga mereka yang menghisap rokok bakal dijadikan contoh anak-anak, yang mungkin akhirnya akan terjerumus kepada ketagihan rokok seawal usia remaja lagi.

“Kepada isteri, cuba nasihatkan suami agar mereka berhenti merokok atau bantu untuk datang ke klinik mendapatkan nasihat dan cara-cara menghentikan ketagihan.

“Bagi pasangan pula, pastikan bakal suami mereka tidak merokok atau jadikan syarat agar mereka tidak merokok sekiranya mahu menjadi pasangan sepanjang hayat.

“Bagi mereka yang cuba berjinak-jinak merokok, saya nasihatkan lupakan saja hasrat itu, yang sudah merokok, tolong berhenti.

“Selain itu, jangan sesekali menghampiri vape, kerana bahan ini juga boleh menyebabkan ketagihan.

“Bagi perokok tegar, memang susah hendak berhenti merokok dan jangan selepas kesihatan merosot baharu mendapatkan rawatan. Ketika itu mungkin sudah terlambat,” katanya.