Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bantu tangani mati pucuk

Masalah mati pucuk berpotensi menimbulkan masalah rumah tangga. 4
Masalah mati pucuk berpotensi menimbulkan masalah rumah tangga. -Gambar hiasan

Mati pucuk (MP)bermaksud ketidakupayaan lelaki untuk mencapai tahap ereksi yang sesuai untuk perhubungan seksual. Berdasarkan beberapa kajian, peningkatan kadar populasi global yang menghidap penyakit berkenaan semakin meningkat terutama di negara-negara maju dan membangun.

Stres, pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat adalah merupakan faktor yang dikenal pasti bakal meningkatkan risiko penyakit tersebut pada masa hadapan. Penyakit berkenaan juga telah dikenal pasti berkait rapat dengan pelbagai penyakit seperti penyakit kardiovaskular contohnya kencing manis, darah tinggi dan strok.

Dengan meningkatnya gejala penyakit itu secara langsung menunjukkan penurunan kualiti dan kesuburan lelaki.

Dalam usaha merawat dan mengurus gejala-gejala penyakit, langkah pertama haruslah dimulakan dengan mengesan dan mendiagnosis penyakit dengan menggunakan teknik yang tepat dan berkesan.

Hasil diagnosis yang tuntas akan memudahkan pakar urologi memilih rawatan susulan yang sesuai bagi setiap pesakit.

Sekiranya diagnosis yang dibuat tidak tepat, pesakit tersebut berkemungkinan akan mengambil rawatan dan ubatan yang salah dan seterusnya menyumbang kepada masalah kesihatan yang lain.

Sayangnya, pelbagai teknik mengesan penyakit sedia ada mempunyai kelemahan dari pelbagai sudut. Sebagai contoh, teknik setem yang biasa digunakan di hospital dilaksanakan dengan melekat lilit setem ‘khas’ pada batang zakar pesakit dan dibiarkan selama semalam.

Pada keesokan harinya, sekiranya setem tersebut tidak koyak (akibat daripada ereksi) menandakan risiko penyakit tersebut yang tinggi. Walaupun mudah dan murah, teknik setem tidak mampu memberi maklumat yang jelas tentang kondisi zakar pesakit.

Besar kemungkinan setem yang terkoyak adalah disebabkan teknik pemakaian yang salah dan atas sebab-sebab yang lain.

Selain itu, teknik soal jawab juga biasa dibuat untuk mengumpul maklumat yang relevan daripada pesakit.

Namun ia hanya menilai pesakit dari segi kualitatif dan bukan kuantitatif (tidak menentukan ‘kadar’ penyakit yang tepat) menyebabkan ia sukar ditafsir oleh pakar kesihatan.

Selain itu, pesakit juga terpaksa berkongsi maklumat peribadi yang sensitif dengan doktor yang juga mungkin tidak menyelesakan.

Pelbagai peranti dan aplikasi sebenarnya telah pun direka cipta dan berada di pasaran untuk mengesan penyakit berkenaan dan seterusnya menghasilkan data kuantitatif dan mudah ditafsirkan oleh pakar.

Namun, pelbagai faktor dan kelemahan telah mengekang penggunaan alatan-alatan tersebut dengan meluas dalam kalangan pengguna.

Peranti BluBox yang dibangunkan oleh penyelidik Universiti Malaya (UM) berpotensi membantu mengukur dan mengesan penyakit mati pucuk dengan tepat, mudah dan selesa pada harga lebih rendah dan berpatutan.

BluBox mengaplikasikan teknologi pengukuran biorintangan dalam mengukur kadar ereksi zakar secara tepat dan berkesan. Sistem yang dibangunkan mengalirkan gelombang elektrik (100Khz) terus ke batang zakar pada tahap voltan dan arus yang selamat (kurang 1 volt (V) dan 1 miliampere (mA) untuk tempoh yang berpanjangan sehingga 36 jam dalam sekali cas.

Seterusnya arus kembalian akan diukur, dikira-kira dan diterjemahkan dalam bentuk grafik pada skrin komputer atau peranti mudah alih (telefon pintar dan tablet) bagi memudahkan para pakar membaca ciri-ciri ereksi yang telah dirakam.

Penggunaan Blubox disifatkan tidak invasif kerana tidak melibatkan prosedur yang berisiko tinggi seperti pembedahan. Saiz peranti BluBox yang kecil iaitu berdimensi 2 sentimeter (sm) x 6 sm x 5 sm), ringan dan tidak menonjol membolehkan pengguna memakainya dengan selesa.

Ketua Penyelidik Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, UM, Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim berkata, buat masa ini, percubaan klinikal sedang giat menjalankan dan BluBox berpotensi berkesan dalam membaca kondisi ereksi zakar dengan tepat, terperinci dan berkesan.

“Walaupun masih belum dipasarkan, prototaip BluBox berjaya menarik perhatian semasa ujian dijalankan,” katanya.

Bantu kumpul bahan bukti

Pakar urologi dari Fakulti Perubatan UM, Prof. Dr. Azad Hassan Abdul Razack berkata, BluBox juga boleh diaplikasikan dalam pelbagai profesion dan pekerjaan atas tujuan yang spesifik.

“Sebagai contoh, dari segi perundangan, BluBox boleh digunakan sebagai alat sokongan untuk bantu mengumpul bahan bukti dalam kes-kes perkahwinan dan perceraian rumah tangga. Selain itu, ia juga boleh digunakan dalam kes-kes tuntutan insurans kesihatan bagi membantu penuntut pampasan yang mengalami trauma ataupun kecederaan yang melibatkan alat kelamin,” katanya yang juga merupakan penyelidik bersama yang membangunkan BluBox.

BluBox juga boleh digunakan dalam pekerjaan yang lasak dan berisiko tinggi untuk membantu mengkaji kesan tahap pendedahan terhadap risiko keselamatan terhadap kesihatan seksual pekerja. Data dari BluBox juga boleh diaplikasikan bagi membantu majikan untuk menilai semula polisi pekerjaan yang tertentu.

Secara kesimpulannya, penilaian kesihatan seksual lelaki adalah suatu perkara yang amat asing daripada pengetahuan ramai tetapi terbukti memberi impak yang amat besar pada kehidupan masyarakat terutama dari segi kesihatan, psikologi dan kesuburan lelaki.

Tidak seperti sebelum ini, dengan adanya peranti BluBox, ia membantu dalam penilaian seksual lelaki, mampu milik dan berkesan. Adalah diharapkan dengan kehadiran BluBox nanti , ia sedikit sebanyak membantu menangani masalah yang dibincangkan ini.

Maklumat lanjut mengenai penyelidikan ini boleh didapati daripada Dr. Fatimah dengan menghubungi [email protected]

Bantu kesan simptom

SECARA khususnya, BluBox berpotensi untuk digunakan secara meluas dalam profesion kesihatan. Fungsi utama BluBox adalah untuk membantu mengesan kehadiran simptom matu pucuk pada individu yang sihat ataupun sakit termasuklah pesakit jantung, barah, strok dan lain-lain. Selain itu, BluBox juga sesuai untuk membantu mengukur tahap kesuburan suami atau pun bakal suami dan serta membantu dalam perancangan rumah tangga.

Oleh kerana tiada lagi aplikasi yang menjerut alat seksual lelaki , BluBox sesuai digunakan pada pesakit yang mengalami masalah pada alat sekual yang sensitif. Namun pada harga yang mampu milik memungkinkan penggunaannya secara meluas dan tidak terhad pada golongan yang berpotansi menghidap mati pucuk.

Secara umumnya, BluBox boleh juga digunakan oleh individu yang sihat tetapi mengambil berat akan perkembangan kesihatan seksual secara berterusan. 
 Dengan adanya maklumat kesihatan seksual yang komprehensif dari BluBox, mereka boleh menilai semula gaya hidup masing-masing dari segi pemakanan, pola tidur, aktiviti sosial dan lain-lain. Aktiviti seksual juga berkait rapat dengan keadaan psikologi seseorang.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan