Antaranya, bahan-bahan yang terdapat di dalam ubat gegat, racun tikus, racun serangga, pemusnah anai-anai, pencuci lantai, bateri kereta, bahan api roket, asap kenderaan, pelarut industri dan bahan bakar pemetik api.

“Asap rokok kelas ketiga merujuk kepada sisa-sisa partikel daripada pembakaran rokok seperti tar, formaldehyde, ammonia, nikotin, karbon monoksida, arsenik dan sebagainya. Selain itu, asap ini berbahaya kerana boleh melekat pada rambut, pakaian dan kulit seseorang dan menyebabkan bau asap pada pakaian kita.

“Lebih berbahaya lagi, ia merupakan sumber racun terhadap tubuh kita dan orang lain yang bakal kita temui. Asap ketiga juga dapat melekat selama berhari-hari pada permukaan benda-benda tersebut, walaupun ruang tersebut telah dibersihkan atau dianginkan dengan membuka kipas atau jendela,” jelas Pakar Perubatan Dalaman dan Perubatan Pernafasan, Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Muhammad Redzwan S. Rashid Ali.

Lebih membimbangkan, perokok pasif dan ketiga menanggung bahaya yang lebih dahsyat berbanding perokok aktif. Ini kerana perokok pasif ialah mereka yang tidak merokok namun mereka yang terdedah dengan asap rokok yang sedang menyala. Mereka menghidu asap rokok apabila terdapat perokok aktif menghembuskan asap secara terbuka.

Tambah Dr. Muhammad Redzwan, perokok pasif dan ketiga menanggung bahaya yang dahsyat kerana golongan ini menyedut lebih banyak toksin dalam asap yang terbebas daripada pembakaran rokok. Seperti yang kita tahu, kebanyakan rokok terdapat penapis yang menghalang perokok aktif daripada menyedut toksin tertentu.

Mereka menyedut asap sisa pembakaran hujung rokok yang mempunyai kandungan agen penyebab kanser (carcinogens) yang lebih tinggi. Asap rokok yang dihembus oleh perokok aktif mempunyai partikel yang lebih halus daripada yang terkandung dalam asap rokok yang disedut oleh perokok aktif. Partikal halus ini lebih mudah diserap ke dalam paru-paru, permukaan kulit dan salur darah.

“Risiko kepada kesihatan bagi perokok ketiga adalah sama seperti perokok tegar. Perokok ketiga yang dimaksudkan ialah kaum wanita, kanak-kanak dan orang awam yang menerima kesan asap ketiga.

“Dalam pada itu, perokok tegar bukan sahaja meletakkan anak-anak mereka kepada bahaya penyakit tertentu akibat merokok, tetapi juga kemungkinan bagi kecacatan anggota serta menggugat pertumbuhan fizikal dan minda anak-anak mereka,” jelasnya.

JIKA anda merokok, kemungkinan besar anda sedia maklum ia boleh menjejaskan kesihatan anda. Tetapi, tahukah anda bahawa asap rokok yang sesedap rasa anda hembuskan ke udara itu turut mengancam nyawa mereka yang tidak merokok di sekeliling anda?

Golongan ini secara tidak langsung mendapat risiko di tandas awam, taman rekreasi, terminal pengangkutan awam, dalam rumah yang didiami atau di dalam kenderaan yang kita naiki, kedai makan dan kafe siber.

Dr. Muhammad Redzwan menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada menjadi perokok kedua. Dengan secara tidak langsung, kita tidak membawa pulang saki baki asap rokok ke rumah dan tidak menyebabkan keluarga kita menjadi perokok ketiga. Elakkan daripada melalui kawasan yang penuh dengan asap-asap rokok.

Dengan kata lain, jangan duduk berdekatan dengan perokok pertama. Sekadar menutup hidung tidak mencukupi kerana biarpun kita mencuba untuk mengelakkan asap daripada memasuki saluran pernafasan kita, asap rokok tersebut masih boleh melekat ke atas baju kita. Misalnya, sekiranya anda berada di stesen bas, dan tiba-tiba seorang perokok menghisap rokok di sebelah anda, teruslah beredar dari situ. Lebih elok jika kita beredar pada saat ketika perokok belum lagi menyalakan rokok.

Seterusnya, menjaga kebersihan tangan dan badan. Galakkan pembersihan diri dan tangan selepas tiba di rumah. Kita tidak pasti sekiranya ada tersentuh atau sudah berada di kawasan yang pernah dilalui perokok. Jadi, cara terbaik ialah membasuh tangan sejurus pulang di rumah dan menyalin pakaian terlebih dahulu, sebelum menyentuh anak-anak atau membuat kerja-kerja yang lain di rumah. Ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan saki-baki asap dan bahan rokok yang telah melekat pada badan dan pakaian kita. Sekali gus dapat mengurangkan pendedahan bahan rokok kepada ahli keluarga dan mengurangkan jumlah perokok ketiga setelah tiba di rumah.

Kesimpulannya, usaha menggapai impian untuk mewujudkan dunia bebas asap rokok perlu bermula daripada diri sendiri. Biarpun tenaga dan peranan daripada semua pihak itu perlu, namun semuanya bermula daripada sikap individu.

INFO

Wanita

  • Jika suami merupakan perokok tegar, isteri akan berisiko 30 peratus lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru.
  • Wanita yang hamil akan berisiko keguguran bayi dan kematian bayi dalam kandungan.
  • Kelahiran bayi yang kurang berat badan dan tidak cukup bulan.
  • Kurang kesuburan dan putus haid awal.

Orang awam

  • Mengalami kesan-kesan seperti batuk, pedih mata, loya dan pening kepala.
  • Bagi pesakit jantung, mereka lebih mudah mendapat serangan jantung.
  • Bagi pesakit asma pula, mereka mudah mendapat serangan asma yang teruk.

Kanak-kanak dan bayi

  • Mudah mendapat asma atau lelah.
  • Risiko mendapat jangkitan paru-paru.
  • Pertumbuhan paru-paru terganggu.
  • Masalah pembelajaran terbantut.
  • Sindrom kematian mengejut bayi.

Kesan

  • Mata kanak-kanak yang terdedah pada asap rokok secara kerap akan mudah berair dan lebih kerap berkedip.
  • Kerosakan otak dan mental di mana pada jangka masa panjang membawa kepada tumor otak.
  • Saluran pernafasan juga akan merosot dan berlaku gejala pernafasan kronik seperti batuk, kahak, asma/ lelah, dan jangkitan paru-paru.
  • Jangkitan di telinga.
  • Peningkatan risiko penyakit jantung.
  • Melecur atau terbakar dalam kebakaran yang berpunca daripada bara rokok.